MELAWAN PERANG DENGAN PENDIDIKAN
- ZF ZAMIR
- Jul 10, 2017
- 5 min read
KAMI masuk ke dalam rumah Abu M setelah kurang lebih 5 minit menunggu. Aku difahamkan kebiasaannya orang Arab tidur sehingga tengah hari ketika cuti seperti Hari Raya Aidilfitri ini. Aku sendiri tidak pasti jika mereka tidak punya tradisi ziarah sesama keluarga seperti diamalkan orang Melayu.
Abu M mempersilakan kami duduk di ruang tamu dan menghidangkan air kosong sejuk dari peti aisnya. Abu M mula berbual dalam bahasa Arab dengan kami. Di belakang kedengaran bunyi pinggan dan mangkuk bertingkah menandakan isterinya sedang menyediakan sesuatu untuk kami.
Hidayu dan 2 lagi sukarelawan TFTN For Syria, Liyana & Shuhada mendengar dengan khusyuk cerita Abu M. Kemudian Faddhal dan adiknya, Zain menyertai kami di ruang tamu. Faddhal kebetulan memakai baju T-Shirt Ramadan Camp TFTN berwarna merah dengan tag di belakang yang masih belum dipotong.
Kemudian Abu M bangun ke dapur dan kembali dengan kopi Arab di dalam cawan kecil. Kopi ini hanya boleh diminum separuh kerana separuh lagi adalah serbuknya yang begitu pekat. Aku menambah 2 sudu gula sebelum meminumnya. Kemudian Abu M datang lagi dengan kurma berisi badam. Aku difahamkan kurma ini memberi rasa manis setelah meminum kopi yang agak pahit tersebut.
Berselang beberapa minit Abu M datang lagi. Kali ini dengan sedulang penuh manisan dan gula-gula. Aku semakin berasa kekok kerana Abu M adalah pelarian perang Syria. Kami tidak sepatutnya membebankan beliau dan keluarga dengan hidangan-hidangan seperti ini. Kemudian Hidayu menerangkan kepada aku bahawa mereka memang biasa menjamu tetamu seperti itu. Bahkan aku difahamkan sukarelawan sekolah TFTN For Syria juga berbuka puasa di rumah Abu M sepanjang Ramadan. Mereka bergotong-royong membelikan beras dan isteri Abu M akan memasakkan juadah berbuka untuk mereka.
Yang sebenarnya ini bukan kali pertama aku bertandang ke rumah Abu M dan dihidangkan makanan. Pada Mac 2015 aku pernah kerumahnya dan dijamu dengan nasi Arab sehingga kenyang. Untuk Abu M, rumahnya adalah rumah anak-anak Malaysia. Dia begitu rapat dengan sukarelawan di sini yang aktif menggerakkan pendidikan untuk anak-anak pelarian perang dari Syria. Untuk sukarelawan juga, Abu M seperti sudah ayah mereka sendiri.
Malah, kedatangan aku ke tanah Irbid di Jordan ini sebenarnya adalah kali ke-empat berturut-turut dalam masa empat tahun. Ini bermakna, sekolah TFTN For Syria juga sudah berusia genap empat tahun sejak ia pertama kali digerakkan oleh Ishak Assoufie pada 2014 yang lalu. Pertama kali datang pada Disember 2013 yang lalu, aku berserta rakan kongsi dari Malaysia Lifeline For Syria atau Persatuan Cinta Syria Malaysia, Naim Jusri adalah untuk meneliti bagaimana sekolah ini dapat digerakkan di sini. Pada Disember itu juga aku pertama kali bertemu dan berkenalan dengan Musa Nuwayri di Mafraq, yang terlebih awal telah memulai usaha pendidikan dan membuka sekolahnya sendiri di Mafraq di bawah label Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ).
2014, tanpa menunggu wang dari kami, Ishak dan rakan sukarelawan membuka sekolahnya sendiri dengan mengumpul wang dari rakan pelajar dari Malaysia. Selama berbulan-bulan, wang sewa bilik darjah, utiliti serta wang gaji kepada guru dari Syria dikutip sesama pelajar Malaysia yang berada di Jordan. Setiap pelajar diminta menderma sekitar 5 Jordanian Riyal (JD) atau sekitar RM 30 setiap bulan.
Ini bermakna sekolah ini yang kemudiannya menggunakan nama TFTN For Syria yang diketuai Ishak berjalan sepenuhnya atas aktivisme sukarelawan dan pelajar Malaysia secara independen tanpa melibatkan bantuan pihak lain selama berbulan-bulan. Seperti biasa akibat birokrasi, wang dari kami hanya dapat disalurkan pada hujung 2014 seterusnya mengurangkan beban pelajar yang terpaksa menampung perbelanjaan sekolah setiap bulan.
Advencer Ishak untuk membuka dan menggerakkan sekolah tidak berakhir setelah sekolah berjaya dibuka. Cabaran seterusnya adalah untuk mencari sukarelawan yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuk memastikan sekolah berjalan dan berfungsi serta memberi kesan kepada anak-anak yang datang. Januari 2016 ketika aku hadir untuk kali ketiga, sekolah telah membesar kepada bangunan kedua yang lebih besar. Aktiviti kelas juga bertambah dari program membaca dan menulis kepada aktiviti-aktiviti kelab seperti kelab teater dan kelab fotografi.
Sukarelawan juga berkembang dari hanya sukarelawan Malaysia kepada sukarelawan Arab juga. Ishak malah pada hari ini sudah pulang ke Malaysia setelah tamat pengajiannya pada 2016 yang lepas. Hari ini sekolah TFTN For Syria diketuai Hidayu dan generasi baru rakan-rakannya pula. Esok sebuah acara graduasi Ramadan Camp akan dijalankan di sekolah.
Kedatangan kami ke rumah Abu M adalah untuk meminta bantuan beliau menyediakan manisan seperti Kunafah sebagai jamuan ketika majlis berlangsung esok. Abu M mengatahui di mana untuk mendapatkan Kunafah dengan harga yang berpatutan.
Namun ketika mereka sedang rancak berbual, Abu M bangun dan duduk di sebelah Hidayu sambil menunjukkan gambar-gambar dari Whatsappnya. Salah satu gambar yang sempat aku lihat adalah gambar ibunya serta gambar rumahnya yang kelihatan seperti baru lepas dibom. Kata Abu M, semalam (hari raya kedua) sebuah bom oleh kapal terbang Assad telah menyasarkan rumahnya dan mengebom bilik bersebelahan dengan bilik ibunya di Deraa, Syria. Aku difahamkan daerah Deraa ini berdekatan dengan sempadan Jordan di Jerash.
Kata Abu M lagi, ibunya sudah pasti mati jika berada di dalam bilik yang hancur dibom itu semalam. Untuk meyakinkan kami juga, Abu M menunjukkan kesemua perbualan Whatsapp tersebut dan mengambil al-Quran di bawah TV-nya sambil bersumpah bahawa dia tidak mereka-reka cerita. Kata Hidayu lagi kepada aku, Abu M kini serabut memikirkan ibunya di kampung halaman di Deraa dan mahu membawa ibunya ke Jordan tetapi memerlukan wang sehingga 500JD.
Aku sendiri hampir tidak percaya Presiden Assad sanggup mensasarkan bom ketika Aidilfitri baru masuk hari kedua. Malah aku sendiri mempunyai pegangan yang berlainan sama sekali dengan Abu M dalam hal ini sebelum kemudian menyedari bahawa aku hanyalah seorang tukang cerita yang tidak perlu berpihak.
Kerana di dalam perang, satu-satunya cara terbaik untuk melawan adalah melalui pendidikan. Malah kehadiran watak sukarelawan seperti Hidayu, Liyana, Shuhada serta Ishak adalah bukti betapa kita hari ini sudah mampu untuk tidak berdiam diri berpeluk tubuh ketika berdepan dengan peperangan.
Catatan 3 Syawal 1438, Irbid, Jordan.
***
P/s – ketika tulisan ini disiarkan, sebuah ‘De-escalation zone memorandum’ telah ditandatangani oleh kerajaan Rusia, Amerika & Jordan berkenaan dengan wilayah selatan Syria termasuk Deraa, Quneitra & Suweida. Gencatan senjata akan bermula tengah hari 9 Julai waktu tempatan. Sarah Abed di dalam posting Facebooknya menulis sesuatu yang lebih signifikan mengenai memorandum terbaru ini;
“In the past, we have seen that these de-escalation zones, or agreements could easily be rendered obsolete by something as illegitimate as a faked chemical weapons attack by the white helmets for the benefit of the armed opposition groups,”
“Trump showed his cards when he authorized the attack on a military air base outside of Homs with 59 tomahawk missiles following a faked chemical weapons attack by the terrorists and their acting buddies the White Helmets.,”
“This act of aggression proved that Trumps non-interventionist campaign promises were anything but truthful,”
“If the de-escalation memorandum prevents Israel from striking Syria, that would, of course, be a good thing,”
“Israel voiced three main demands upon the US envoy: the separation of safe zone talks from the Astana talks; keeping Iran, Hezbollah and other Shiite militias away from the Israeli and Jordanian borders; and not playing any active role in controlling safe zones near its border,”
“As far as if I trust Trump, no... he has proven that he can not be trusted. It seems whenever the SAA makes significant progress and the US-led coalition or their other armed opposition group find themselves facing defeat, then the US jumps in to save their terrorists from being defeated. They are teamed up with US-backed SDF (Syrian Democratic Forces) which are incorrectly labeled because of the members are Kurdish not Syrian,”
Comentarios