Di Mana Syaitan Selepas Ramadan?
- Rien Sd
- Jul 8, 2017
- 4 min read
SETELAH berhempas pulas sepanjang Ramadan; bulan mulia dan bulan ibadah, kita pun memasuki syawal; bulan kemenangan dan hari-hari kejayaan. Tiga puluh hari telah kita maknai dengan mengerjakan khitab tuhan, mengikuti kaum-kaum terdahulu yang taat, dan menyahut gagasan para nabi untuk mengimani setiap perintah yang disusun kemas dalam bentuk huruf-huruf hijaiyyah.
Ketika Ramadan, sepanjang bulan mulia ini kita dikhabarkan bahawa batalion-batalion syaitan telah dikurung, didiamkan dan dimatikan langkah. Mereka diikat, dijerat dan tidak lagi dibiarkan berkeliaran membisikkan sihir-sihir jahat ke telinga anak Adam. Tidak ada lagi simpulan-simpulan keingkaran yang diikat pada kaki tangan kita.
Kita diberi peluang menjadi muslim semuslim-muslimnya pada bulan Ramadan. Ganjaran-ganjaran yang lumayan turut ditawarkan kepada kita sekiranya mengerjakan ritual-ritual tertentu. Sebab itu, kita merengek-rengek kesedihan apabila Ramadan meninggalkan kita. Di ruang sosial, kita sudah terbiasa dengan fi’il masyarakat industri, yang mahukan pulangan lumayan walaupun kerja yang dilakukan hanyalah pada kuantiti yang sedikit. Akhirnya, yang kita tangisi hanyalah senarai ganjaran di bulan Ramadan, tanpa kita memecah masuk ke dalam falsafahnya yang sepatutnya sentiasa berdengung-dengung setiap bulan selepas itu.
Jika Ali Syariati pernah mengatakan; setiap bulan adalah muharam, setiap hari adalah asyura, maka kita harus meminjam semangat ini untuk berhenti menjadi cengeng dan mula melihat bahawa; setiap bulan adalah Ramadan, setiap hari adalah puasa. Mesej spiritual dan mesej sosial yang termuat naik dalam bulan ini, perlu dilanjutkan di setiap bulan di sepanjang tahun. Pastikan falsafahnya membentuk wajah sosial dalam masyarakat.
Dosa Struktural Pasca-Ramadan
Ketika Ramadan lalu, kita telah mengekang diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, yang boleh memakruhkan ibadah puasa kita. Segala hal-hal teknikal dan sistemik ini, hampir mengabaikan hal-hal fundamental yang sepatutnya menjadi tema besar dalam bulan Ramadan.
Lebih-lebih lagi, dalam budaya beragama di negara ini, kita telah dimomokkan dengan retorik-retorik semisal; seorang muslim itu perlu menjadi baik; meninggalkan perkara-perkara yang mungkar. Cakap-cakap ini diulang-ulang seakan-akan, menjadi baik adalah satu-satunya jalan untuk menghabisi segala hal-hal yang problematik.
Seorang yang baik, mungkin sahaja akan melakukan refleksi dan koreksi atas dirinya sendiri. Tetapi seorang yang baik dan cerdik akan membuat koreksi dan merespon ketidakberesan yang berlaku dalam lingkungannya, wacana yang melatarinya dan dosa struktural yang hari ini kelihatan seperti ralat kecil di mata masyarakat.
Dosa-dosa yang berlaku dalam kamar lebih kelihatan besar berbanding dosa-dosa yang berlaku dalam kantor para menteri, dosa tidak berpuasa lebih besar berbanding dosa kaum cukong dan pemodal yang kegilaan keuntungan (surplus-value) dengan menghisap kaum miskin sehingga tiada apa lagi yang tinggal, dosa meminum arak lebih besar berbanding dosa kaum tuan yang mengencing kaum budak dalam sfera sosial. Asatizah kita lebih tegas dengan isu selawat antara terawih berbanding projek perbudakan dan doktrin neo-liberalisme yang menggigit umat di luar sana. Mereka lebih tertarik dengan hal yang remeh-remeh, yang sudah diselesaikan oleh para sarjana silam.
Nampaknya, setelah beratus-ratus Ramadan, dosa-dosa struktural, praktik-praktik syaitan ini masih tidak terbendung. Kejahatan ini sengaja disusun atur oleh Tuhan sebagai simbol dialektik kepada kebaikan.
Setelah kita bergembira dan bersorak sarai bahawa syaitan telah dibelenggu pada bulan Ramadan, maka wajarlah kita bertanya di mana syaitan hari ini-selepas Ramadan? Adakah kita berjaya menghapuskan mereka secara total ataupun mereka membiak berekor-ekor lagi? Adakah segala praktik-praktik jahat dan bejat dalam ruang sosial telah tamat, atau sekadar ditangguhkan selama tiga puluh hari? Adakah setelah para koruptor, kaum cukong dan pemodal mahir membaca Qu’ran dan mengkhatamkannya, maka segala kekecohan ini telah selesai?
Syaitan Besar Berwajah Hegemoni
Mahu tidak mahu, kita masih berhadapan dengan syaitan yang sama. Syaitan berwajah rejim dan adakalanya berbentuk sistem yang opresif dan diskriminatif. Kita masih terpisah daripada hal-hal lingkungan. Puasa di bulan Ramadan, sepatutnya mengangkat harkat kemanusiaan telah bertukar menjadi ritual mengikat perut daripada lapar dan mengikat leher daripada dahaga. Terhenti di situ.
Kita, secara personal mungkin sudah menjadi muslim yang baik, yang taat dan melazimi al Qur’an. Tapi, di luar sana, dalam sfera publik, masih ramai muslim berbaik-baik kepada hegemoni (kerana melihat ianya sebagai sesuatu yang normal), yang taat kepada kaum pemodal dan kaum tuan, dan melazimi al Qur’an untuk menjustifikasikan segala bentuk pembantaian, pembodohan dan penindasan dengan membabitkan Tuhan sebagai alat kekebalan (immunity).
Setelah Ramadan, walaupun bazaar Ramadan telah tutup, tapi masyarakat kita masih menjadi konsumerisma tegar. Pembaziran, boros, dan bermegah-megah hanya menjadi musuh sepanjang Ramadan, tapi tidak selepas itu. Kita mengulang fi’il ketika bulan Sya’ban.
Di ruang peribadi, kita telah membelasah syaitan sehabis daya. Tapi, syaitan ini masih berkeliaran di ruang sosial. Mereka berangkat ke daerah yang kosong, yang jarang diberi perhatian.
Bertarung Melawan Syaitan
Falsafah Ramadan perlu dimaknai. Diamati ke isi-isinya yang paling dalam. Muatan mesej sosial dalam ibadah puasa pada bulan Ramadan sentiasa valid pada bulan dan hari-hari lain.
Segala bentuk penindasan, projek pembodohan dan pembantaian tidak mampu dibelenggu. Mereka tidak lagi boleh dikekang, tiga puluh hari sangat singkat untuk menghukum para fasis, rasis dan pekerja-pekerja hegemoni. Perlawanan ini wajib berlangsung di setiap bulan, tempat dan masa.
Ini kerana, sekalipun kita membesar-besarkan Tuhan pada bulan syawal, tetap ada yang mahu menandingi kebesaran Tuhan. Mereka ini selalunya kelompok dominan (dominant group) yang mahu memerintah, mengurus dan menyusun hidup manusia lain. Mereka mewujudkan satu lagi kelas dalam kelas hamba yang berbentuk vertikal. Masyarakat anti-egaliter ini sentiasa mahu menunggangi. Menggunakan perkakas-perkakas negara (kuasa) untuk menggigit orang-orang lemah. Kita tetap akan tewas dan terluka dalam pertempuran ini, selagi kita melihat segala kondisi opresif ini sebagai normal dan natural. Bahkan kita menyangka segala polisi-polisi yang memijak ini, sebagai usaha untuk membaikpulih struktur sosial yang rancu.
Ketika kita galak menziarahi saudara mara, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sambil menagatakan ‘kosong-kosong’, sebenarnya kita sudah dibelasah teruk dalam gelanggang pertarungan ini sebanyak ‘lima-kosong’.
Kita ketinggalan jauh, dan yang mendahului kita adalah hegemoni, rejim autokratik, kaum pemodal, kaum tuan, para fasis dan mereka-mereka yang berkeliar di sfera publik. Tiada penjara yang boleh membelenggu mereka. Tiada tali yang mampu mengikat kaki tangan mereka. Mereka sentiasa beroperasi dan membentuk kekuatan.
Comments