top of page

Memupuk Pemikiran Kritis Dalam Masyarakat.

  • Wan Khuzairey
  • Jul 6, 2017
  • 3 min read

DISAAT kita asyik menikmati rendang, ketupat dan lemang yang dimasak khas untuk menyambut hari kemenangan kita iaitu Aidilfitri, banyak isu yang telah berlaku di sekeliling kita. Antaranya adalah krisis yang berlaku dikawasan timur tengah seperti Arab dan juga Qatar, penglibatan Amerika Syarikat dalam politik dunia, penguasaan China ke atas ekonomi. Jika kita mengatakan bahawa isu ini tidak mempunyai kaitan dengan kita, maka terdapat juga isu yang berlaku di dalam negara seperti kes penyelewengan projek ikan yang bernilai 47.6 juta oleh bekas pegawai FELDA, Isu jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin yang tidak diambil peduli serta krisis penipuan dalam politik yang tidak berkesudahan.


Semua itu adalah antara rangkuman isu yang perlu diambil perhatian kerana ia amat memberikan kesan kepada kita. Namun, dalam kita menimbang tara isu-isu ini, kemungkinan kita tidak dapat mencari jalan penyelesaian dan membuat keputusan yang baik kerana kita terlampau banyak berhadapan dengan pilihan sehingga kita gagal membuat keputusan. Rene Descartes adalah antara ahli falsafah yang amat menekankan penggunaan akal sehingga ungkapannya iaitu cogito er sum (aku berfikir, maka aku ada) dalam Discourse of Method menjadi buah mulut manusia di dunia. Selain itu, Profesor Diraja Ungku Aziz juga ada menyatakan otak itu tidak akan berfungsi sekirannya tidak digunakan. Dengan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa otak atau akal atau pemikiran itu amat penting dalam kehidupan, tetapi pemikiran yang bagaimana? Untuk itu, kita amat memerlukan kaedah berfikir secara kritis.


Berfikir secara kritis ini adalah salah satu cara yang boleh membantu kita untuk deconstruct sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati, mendedahkan isu-isu yang tersembunyi seperti manipulasi juga bias demi mengeluarkan satu keputusan yang terbaik.


Acap kali pemikiran secara kritis ini berbunyi sangat negatif, namun hakikatnya pemikiran ini memang negatif. Kita tidak membuat keputuan kerana kita ‘merasakan’ ia tepat, manusia yang mengamalkan kedah pemikiran ini akan meletakan semua perkara harus dikaji dan perlu diragukan. Dengan menggunakan kaedah ini, mereka akan membuang perkara yang betul-betul tidak berguna dan hanya meninggalkan maklumat yang betul-betul boleh dipercayai.


Antara kaedahnya:


1. Merumuskan persoalan atau dalam erti kata mudahnya tahu apa sebenarnya yang kita cari. Malangnya perkara ini tidak mudah seperti apa yang kita bayangkan. Contohnya jika kita ingin mencuba kaedah diet yang baru, mungkin kita akan dikaburkan dengan beberapa faktor seperti kita ingin melihat kesan itu hanya dalam masa dua minggu. Tetapi jika kita renungi kembali tujuan kita diet sama ada kita mahu mengurangkan berat badan, nutrisi yang lebih baik atau menambahkan tenaga maka ia akan membantu kita untuk menelususri setiap maklumat ini dengan lebih kritikal dan menjumpai apa sebenarnya yang dicari selepas itu barulah kita mampu membuat keputusan adakah kaedah baru ini sesuai dengan keperluan kita.


2. Kumpulkan maklumat


Terdapat banyak maklumat yang terhidang di luar sana, jadi mempunyai idea yang jelas berkaitan dengan soalan akan membantu kita untuk menentukan maklumat apa yang relevan. Jika tujuan kita diet adalah untuk memperbaiki kandungan nutrisi dalam badan, seharusnya kita memerlukan nasihat pakar atau melihat testimoni daripada orang lain. Kaedah ini akan menyediakan beberapa pilihan untuk kita mencapai tujuan kita.


3. Mengaplikasikan maklumat yang diperolehi


Kaedah ini bertindak dengan kita menyoal soalan-soalan yang kritikal terhadap perkara atau isu yang kita temui. Dalam membuat keputusan kita harus bertanya kepada diri konsep apa yang sedang bekerja? Andaian apakah yang wujud? Adakah interpretasi saya terhadap sesuatu maklumat itu logik? Pening? Jangan risau ada contoh. Contohnya jika kita menerima email yang menjanjikan kita dengan hadiah wang tunai berjuta ringgit, apakah yang membentuk pendekatan kita terhadap situasi ini? Adakah perlu kita mengandaikan bahawa penghantar email itu bercakap benar? Berdasarkan bukti-bukti, adakah kita boleh menaggap diri kita mampu memenangi wang yang ditawarkan?


4. Pertimbangkan implikasinya


Memandangkan pilihan raya yang makin tiba, maka situasi ini amat sesuai dijadikan contoh. Bayangkan kita berada dalam musim pilihan raya, dan kita telah memilih calon ahli politik berdasarkan janji mereka iaitu ingin menurunkan harga minyak supaya pemandu mampu mengisi minyak dengan kos yang lebih rendah. Dalam pandangan yang pertama, kemungkinan kita akan memuji ahli politik terbabit, tetapi bagaimana pula implikasi janji ini terhadap persekitaran dalam jangka masa panjang? Jika penggunaan petrol kurang dibatasi oleh kos, maka ia akan memberikan kesan kepada pencemaran alam sekitar dan impilikasi-implikasi lain yang perlu kita fikirkan.


5. Memeriksa “point of view” dari pihak lain.


Sebenarnya kaedah kelima ini merupakan satu kaedah yang kerap kali kita abaikan. Dalam mendengarkan hujahan politik, kita sering mengambil tahu hujah-hujah yang dibahaskan oleh individu yang kita sokong tanpa mendengar hujah dari pihak lawannya. Walaupun kita tidak bersetuju dengan hujah yang dibentangkan, tetapi dengan kita mendengarnya mungkin kita dapat memahami mengapa sesetengah hujah itu nampak tidak relevan kepada kita tetapi berguna untuk orang lain. Dengan ini, akan membantu kita untuk mengkaji alternatif yang ada, menilai pilihan yang telah kita lakukan dan yang paling penting dapat membantu kita membuat keputusan dengan lebih bermaklumat.


Kaedah ini bukanlah satu kaedah yang paling baik, tetapi kaedah ini boleh diterapkan dalam pemikiran untuk menghadapi hari-hari yang mencabar pada zaman ini. Jika kaedah pemikiran secara kritis ini digunakan secara maksimum oleh masyarakat, maka percayalah kita boleh menjadikan dunia ini lebih bermakna.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page