ANARKISME & EIDUL FITRI
- Hadri Shah
- Jun 30, 2017
- 4 min read

Menulis untuk menyangkuti pertautan antara anarkisme dan perayaan eidul fitri ini barangkali aromanya tidak jujur.
Tidak adil dan keterlaluan, mungkin.
Kerana anarksime, ideologi kiri yang pengertiannya sering menemukan kesalahpahaman dalam ruang fikir masyarakat langsung tidak mempunyai hubungan dengan perayaan kaum muslim, apalagi bersangkutan penuh dengan praktis agama Islam.
Seperti mana adanya sebilangan kaum Marxis yang berniat meng"islam"kan marxisme, begitu juga andai teks-teks disini bertujuan meng"agama"kan anarkisme. Mana mungkin!
Tiada klaim agama ke atas anarkisme ; suatu format mengenepikan negara, pemerintahan dari kelas elitis dan lembaga-lembaga yang menumbuhsuburkan penindasan terhadap kehidupan. Menurut Louise Plottel, penulis siri makalah "Pertautan antara Islam dan Anarkisme" diterbitkan anarkis.org, dia menulis "Keduanya (Islam dan Anarkisme) tidak wujud dalam perwujudan yang tipikal; sebuah islam-anarkis merupakan hal yang berbeda baik dengan gagasan anarki maupun Islam yang biasanya dipandang normal." Namun tambah Louis "para teolog dan teoritikus anarkis harus memberikan ruang terhadap jenis transformasi ini karena inilah satu-satunya jalan bagi anarki dan islam untuk bisa menjadi inklusif".
Kerana Anarkisme dan Islam dari awalnya tidak berlangsung nyaman. Boleh jadi, ianya kerana pengalaman-pengalaman lalu dan terkini yang menyaksikan peranan agama (tidak hanya memfokus kepada Islam) yang opresif seperti yang pernah berlaku di Eropah dan ketidakpedulian gereja dan juga orang-orang agama berstatus elit (setelah diinstitusikan) terhadap nasib masyarakat dimana "takdir" hidup mereka ditentukan penguasa/pemerintah/politikus/ dan golongan istana.
Namun begitu, pengalaman sejarah lalu telah mencetak bahawasanya risalah-risalah Islam yang dibawa oleh nabi-nabi utusan Tuhan ribuan tahun dahulu menjadi penggerak; front-front utama mendepani tirani bagi mencipta kemerdekaan buat masyarakat. Agama lantas hadir sebagai pemangkin memenangkan kaum tertindas dari kaum penindas, memecah dominasi ekonomi yang menjaga kebajikan penguasa langsung memartabatkan keadilan, kesamarataan seterusnya mengilustrasikan kehidupan masyarakat yang harmoni tanpa kelas walau berbeza agama, ras, budaya dan bangsa.
Sepertinya anarkisme hadir sebagai ubat buat kelas pekerja dan kelas masyarakat untuk merubah kondisi sosial dan menguntum status ekonomi yang lebih sihat supaya dapat dikongsi tanpa tangan-tangan eksploitasi yang memiliki kuasa. Anarkisme bukanlah wahyu tetapi anarkisme wujud disaat sistem hidup yang porak-peranda berakibatkan pengawalan total kuasa-kuasa kapital.
Eidul Fitri disambut jutaan muslim selepas berakhirnya ramadhan. Ia adalah tradisi meraikan hari kemenangan sekian berpenat lapar dahaga sebulan di bulan ramadhan. Seperti ramadhan, nasib eidul fitri diseret dengan kefahaman yang tidak revolusioner.
Ramadhan seakan bulan untuk mengejar dan mengutip pahala. Dengan itu, muslim disuruh suruh untuk membanyakkan sedekah, menjamu makan orang-orang susah, mengkhatam kitab suci Al Quran dan bersolat. Nyatanya, doktrinasi begini mesti ditingkatkan lagi supaya ritual berpuasa menjadi titik perubahan dan bukan sekadar festival mengutip pahala.
Dalam surah Al-Balad ayat ke 13-17 jelas menganjurkan "liberty" - kebebasan dari diperbudak/diperhambakan, kemestian menyediakan makanan buat kaum miskin dan menasihati akan kesabaran dan kasih sayang. Tetapi apabila maksud ayat ini difahami secara literal, kita menyaksikan tugas menyediakan makan hanya rancak berjalan di bulan puasa sehingga mengakibatkan pembaziran. Apabila syawal tiba sehingga melangkah ke bulan-bulan berikutnya, tugasan ini ditinggal sepi. Sepatutnya, pemahaman ini mesti dipahami lebih mendalam. Seperti tugas-tugas mengorganisasi bagaimana seharusnya perhambaan dan kemiskinan terwujud dari masalah neo-liberalisme yang mengakibatkan orang miskin bertambah susah. Dan disebabkan itu, kesabaran melalui jalan-jalan mencipta perubahan untuk mngembalikan kasih sayang, kehidupan harmoni masyarakat tidak terisi.
Ini tidak berlaku. Agama melalui ritual tahunannya di bulan puasa dan berakhir sebagai pesta dilihat individualistik. Pengamal agama gagal mempraktis semangat revolusinya melalui ajaran-ajaran pesuruh Tuhan untuk memperbaiki sistem sosial-ekonomi dan politik.
Eidul Fitri sebagai "hari kemenangan" sepatutnya dimaknai dengan kemenangan massa ke atas eksploitasi negara, kapitalis dan kaum borjuis setelah sekian lama merekalah punca perang, kegiatan imperialis, patriaki, rasisme, kemiskinan global, jurang kelas kaya dan miskin, kesenjangan sosial, ketidakadilan upah kelas pekerja, ekaploitasi keatas kaum wanita dan penafian hak-hak orang asal.
Eidul Fitri sebenarnya membawa pengertian yang terlalu besar; "kembali kepada fitrah" menjelaskan manusia seperti asal tujuan hidupnya adalah untuk hidup dalam solidariti , meraikan perbezaan, bersatu padu, bantu-membantu dan tiada kuasa yang diarah dari kaum minoriti terhadap kaum majoriti. Itulah fitrah sebenar seorang manusia!
Anarkisme seperti yang dijelaskan Proudhon dalam kitab agungnya What is Property adalah teori politik yang bertujuan mewujudkan anarki - ketiadaan tuan, tanpa raja yang berkuasa. Dalam pengertian lain, ia adalah teori untuk menciptakan suatu masyarakat yang didalamnya individu bebas berkumpul bersama demgam sederjat. Bukankah ini sealiran dengan anjuran Islam?
Bagi Alexander Berkman anarkisme bukan beerti kembali ke jalan hidup barbarisme atau kondisi hidup yang liar. Ia beerti tidak boleh ada perang, kekerasan, monopoli, kemiskinan, penindasan serta menikmati kesempatan hidup bersama-sama dalam kesetaraan.
Memang di saat ini kaum anarkis menentang kapitalisme kerana ia adalah kuasa paling teratas merosakan dunia. Kapitalisme menghasilkan nilai hieraki yang paling kejam dimana ia meletakkan kemanusiaan, alam semula jadi dibawah barang milik. L. Susan Brown seorang anarkis menyatakan "anarkisme adalah sebuah tradisi yang bernuansa lebih dalam dari sekadar perlawanan terhadap kekuasaan pemerintah. Kaum anarkis menentang pemikiran bahawa masyarakat memerlukan kekuasaan dan dominasi dan malah membela bentuk-bentuk organisasi sosial,politik dan ekonomi yang anti hierakis dan lebih kooperatif".
Hari-hari yang mendatang adalah cabaran-cabaran yang menduga masyarakat. Ramadhan adalah satu bulan aksi langsung; sebagai pengingatan buat kaum muslim untuk meneruskan kerja-kerja pembebasan. Setelah syawal tiba, ia disambut sebagai satu kemenangan yang bakal berkahir dengan kemenangan abadi masyarakat menumpaskan syaitan-syaitan yang menghinggapi struktur hieraki. Anarkisme pula muncul setelah masyarakat sudah terdidik bahawasanya mereka mampu memimpin diri sendiri tanpa diperintahkan penguasa di bawah langit.
Ajaran Islam selain dari menemukan manusia kepada tuhannya adalah suatu ajaran tentang kebenaran. Islam yang juga bermaksud merdeka, selamat dan damai mengandungi bulan kemenangan yakni bulan Syawal tetapi ia mesti dimengertikan selaras dengan kerelevenan kondisi dunia sekarang.
Anarkisme di akhirnya adalah satu pencerahan; satu dunia yang tercipta dari "class struggle", dunia tanpa negara, tanpa pendominasian kuasa - hari kemenangan, hari raya dimana manusia kembali kepada fitrah seorang manusia.
Comments