PERMINTAAN MENYALA DI TANGAN
- Hidayu Hatta
- Jun 24, 2017
- 4 min read

Abu M yang sudah banyak menolong sekolah kami sejak mula ditubuhkan di Irbid ni, minta aku tanyakan kepada pelajar Malaysia, kalau ada sesiapa yang nak jual peti sejuk. Kawan aku, Anisah, jumpa seorang pelajar Malaysia yang nak jual sebuah peti sejuk, berharga 30 Dinar. Masih elok dan berkualiti. 30 Dinar adalah bersamaan dengan lebih RM 180. Taklah mahal untuk kita. Tapi aku tahu jumlah ni agak tinggi untuk mereka. Jadi aku sengaja terasa teringin nak bayarkan separuh. Aku tak beritahu mereka. Aku nak bayarkan senyap-senyap. Aku cakap, harga peti sejuk cuma 15 Dinar.
Tapi akhirnya Abu M tahu tentang ini. Dia minta aku supaya tak belikan peti sejuk ini. Dia minta aku untuk belikan baju raya untuk anak-anaknya, Zayn dan Fadhol. Harga baju memang mahal. Sepersalinan lengkap mungkin mencecah lebih 30 Dinar. Kata Abu M, dia baru belikan baju raya untuk anak bongsu, Maryam, dan duit keluarga mereka sekarang cuma tinggal 35 Dinar. Begitu terperinci dia bercerita, sebab dia memang dah anggap aku keluarga. Dalam 35 Dinar yang mereka miliki ini, hampir setiap hari dijemputnya aku untuk berbuka puasa bersama keluarga mereka.
Ya. Aku tahu kita rasa ini tak penting. Ini tidak bijak. Keluarga dia tak patut sibuk nak beli baju raya anak-anak sedangkan duit itu boleh disimpan untuk jaga perut mereka.
Kawan-kawan, kita sedang bercakap tentang anak kecil. Sekarang beritahu aku, ibu bapa mana yang sanggup untuk korbankan anak-anak dalam kesusahan keluarga? Anak-anak sentiasa menang. Sebab ibu bapa sentiasa mahu beri yang terbaik.
Ibu bapa macam Abu M, mungkin dah tak peduli tentang malu untuk minta aku belikan baju raya anaknya.
Malu.
Pernah sekali, kami beri hadiah untuk anak-anak yang cemerlang dalam kelas Al-Quran. Seperti peristiwa-peristiwa lain, sesi menghargai pencapaian anak-anak akan diselitkan dengan adegan anak-anak yang mengada-ngada, anak-anak yang menangis, atau memberontak sebab tak dapat hadiah kerana tak cemerlang, atau sebab mereka yakin mereka paling berhak untuk menang.
Umar tak dapat hadiah. Umar menangis teruk dan tak mahu berganjak. Satu kepuasan untuk seorang aku kerana berjaya memujuk Umar, setelah satu jam Umar tak mahu beralah. Umar tak beralah selagi dia tak dapat hadiah. Umar tak malu untuk menangis di depan semua pelajar dan biar mereka tahu yang dia mahu hadiah.
Malu.
Masa tu aku teringat tentang Raghad. Umurnya sudah 13 tahun, tapi tersedu-sedu menangis sebab tak menang pertandingan fotografi yang kami adakan untuk ajar mereka seni gambar. Raghad koyakkan gambar-gambar yang sudah kami bingkai cantik di dinding sekolah. Memberontak. Ini peristiwa awal tahun lalu. Masa aku mula-mula belajar mengendali anak-anak. Malah masih bertatih menyebut perkataan Arab pada lahjah mereka. Aku tak tahu nak menerangkan yang kemenangan bukan apa-apa. Apa yang Raghad fikir bila dia buat begitu? Ketika itu aku rasa dia tak malu, dah besar panjang tapi tak mahu terima kenyataan. Aku rasa dia tak malu, sebab dia perempuan tapi mengamuk begitu.
Malu.
Sebab tu aku terharu bila aku mampu terangkan kepada Umar sekarang, yang kemenangan dan hadiah bukanlah hal terpenting dalam dunia ni.
Tapi siapa aku nak mendabik dada dan menghakimi anak-anak? Aku cuma mampu ajar perkara yang aku rasa betul di mata aku, atau sekurang-kurangnya tak salah di mata masyarakat.
Minggu lepas Rama tarik aku ke tepi.
“Miss, aku ada hal nak cakap dengan kau,”
Kemudian Rama bercerita. Aku tertekan. Aku masih mendengar hal yang sama. Rama minta aku salurkan bantuan kepada keluarganya. Malah hampir semua anak-anak di TFTN For Syria pernah suarakan hal yang serupa, atau bawa ibu mereka untuk suarakan permintaan kepada aku.
Maknanya nasihat aku tak pernah berjaya. Prinsip yang aku ulang mungkin lebih seribu kali kepada anak-anak ini, JANGAN MEMINTA-MINTA.
Prinsip ini tak penting dalam hidup mereka dan ibu ayah mereka sekarang. Etika dan harga diri bukan nombor satu bila bayi kita lapar susu, atau anak kita menangis minta baju raya.
Malu.
Aku, masih akan berdepan dengan permintaan-permintaan setiap hari. Atau kegembiraan-kegembiraan bila mendapat. Atau kesedihan bila tak dapat apa yang dimahukan.
“HARI NI MARKAZ NAK BAGI HADIAH?!”
“Hadiah apa?” aku angkat kening sebelah.
Muhammad tersengih sambil geleng kepala, “Tak ada apa-apa, miss.”
Aku ulang lagi. Jangan meminta-minta. Jangan mahukan sesuatu yang bukan milik kita.
Malu.
Aku tak tahu sebenarnya aku sedang ajar mereka etika, atau aku cuma tak mahu mereka berharap dan kecewa. Pengharapan sentiasa buatkan mereka terus hidup, malah memasang cita-cita. Tapi pengharapan juga yang buatkan seorang Raghad menjadi buas kerana kekalahan dan kecewa.
Tapi ini normal. Sebab mereka anak-anak. Kita semua akan gembira mendapatkan apa yang kita suka. Malah kadang-kadang kita juga tak malu meminta untuk dapat apa yang kita perlu, atau mahu. Bagi kanak-kanak kecil, meminta adalah usaha mereka.
Bagi aku, meminta-minta, adalah satu perbuatan yang tak manis. Sekurang-kurangnya ini yang diajarkan kepada aku oleh kehidupan. Kita patut malu untuk meminta-minta.
Jadi formulanya mudah. Anak-anak ini memang tak reti malu. Banyak benda mereka harus belajar untuk faham dunia dan manusia, juga cara fikir yang terbaik untuk adaptasi diri dalam masyarakat. Malah mereka belajar semua ini dari eksperimentasi dan pemerhatian reaksi sekeliling. Tindakan apa yang boleh buatkan mereka dimarahi. Tindakan apa yang boleh buatkan mereka disayangi. Ini fitrah.
Tapi bagaimana dengan orang dewasa? Sekarang bayangkan perasaan ibu-ibu dan ayah-ayah yang terpaksa telan segala ego dan kebanggaan mereka, ketepikan rasa malu seketika untuk meminta. Siapa kita untuk hakimi mereka? Siapa kita untuk kata apa-apa bila kita sendiri tak pernah alami situasi terpaksa jadi tak malu, untuk dapat sesuatu yang sangat kita perlukan?
Bukankah kita tahu yang pelarian-pelarian di Jordan ini tak dibenarkan berkerja? Bukankah kita tahu, yang mereka hidup atas permit pelarian untuk dapatkan kupon makanan atas ‘ehsan’ dunia?
Kehidupan-kehidupan mereka ini, adalah natijah kepada keputusan-keputusan kita.
Aku tertekan. Aku masih akan tertekan. Panggilan-panggilan telefon yang masuk, mesej-mesej meminta aku belikan susu dan lampin bayi, bukan sesuatu yang membahagiakan. Itu bukti kebobrokan dunia. Aku bukan suami mereka, tapi kenapa aku yang tak lena tidur sebab perkara ni?
Permintaan-permintaan ini penuh dengan pengharapan. Masalahnya, permintaan-permintaan ini tak akan selesai sampai segala jam di dunia ini berhenti berdetik. Kerana ini keputusan-keputusan kita. Peperangan dan kuasa adalah keputusan-keputusan kita.
Malu? Kita patut malu kerana ramai orang masih susah duduk di dunia bersama kita.
Jun 2017,
Irbid, Jordan.
Comments