APA SELEPAS RAMADHAN ?
- Hadri Shah
- Jun 24, 2017
- 3 min read

Itulah soalannya.
Setelah bertahun tahun melalui pengalaman berpuasa setiap tahun, di hujung bulan yang dianggap suci ini, kita kerap bertanya lagi dan lagi - apa selepas ramadhan ?
Dan jika ianya dijawab orang-orang alim beragama, mereka katakan selepas ramadhan sesiapa yang sebelum bulan puasa tidak ke surau solat berjemaah selepas ramadhan akan konsisten berjemaah. Yang kedekut keluarkan derma sebelumnya akan berterusan menderma. Yang tidak menjaga tutur katanya kini sudah berakhlak dalam berkata-kata. Ini - kata mereka contoh-contoh puasanya diterima tuhan.
Tetapi, sekadar itu sahajakah penanda ritual berlapar dahaga selama bulan ini diterima tuhan? Spiritual sahaja? Bagaimana kesan puasa dalam mendepani kesenjangan sosial misalnya? Apakah berpuasa tidak memberi kesan dalam hal begini?
Yang pastinya, selepas ramadhan anak-anak yatim akan ditinggalkan kesepian semula. Tiada muka-muka VIP buat-buat sibuk datang menjenguk. Tiada rombongan sultan dan kaum kerabat. Tiada ahli-ahli politik datang mencurahkan rasa kasih yang entah dari mana datangnya. Tiada syarikat-syarikat besar yang bermurah hati menaja makanan enak-enak di hotel-hotel mewah. Tiada lawatan amal dari individu atau kumpulan yang simpatinya tiba-tiba tumbuh mekar.
Kaum gelandangan juga ditinggalkan secara tiba-tiba. Lambakan makanan pelbagai jenis berterabur, bersepah di sepanjang kaki lima, lorong-lorong kecil - kamar mini kaum gelandangan yang beratapkan selerakkan bintang-bintang di langit menjadi tanda; mereka-mereka yang tamakkan pahala sebulan lalu pernah berpusu pusu di jalanan mengutip pahala dengan cara melimpahkan kurma, nasi, ayam goreng, tepung talam, air jagung di setiap inci ruang tidur kaum yang dikatakan pemalas itu.
Ramadhan adalah bulan penurunan rahmat kepada pasar-pasar, nadi kepada mazhab konsumerisme. Konsumerisme, di sepuluh malam terakhir seolah-olah menyatakan kepada kita, ritualnya lebih dipilih dari usaha-usaha menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan. Ini terbukti dengan berlipat kali gandanya urusan membeli yang meraksa berlaku dari hari pertama dan semakin mengghairahkan di hujungnya.
Masyarakat lantas mengakui keberkatan ramadhan ke atas peniaga-peniaga kecil namun mereka tidak sedar yang tetap bernafas lebih bertenaga adalah kuasa modal yang memonopoli pasar-pasar.
Sekarang, bagaimana? Apa selepas ramadhan?
Adakah ramadhan mendidik kita supaya melawan fasisme beragama seperti mana larangan dari segolongan kaum pembenci untuk berbuka puasa dengan bukan muslim?Adakah ramadhan yang kita cermati setiap disiplinnya menggerakkan kita supaya giat membanteras kejahanaman rasisme seperti yang berlaku insiden baling selipar ke arah kereta atau insiden di pasar ramadhan di Kluang ?
Bagaimana pula isu buli yang mengakibatkan kematiaan pelajar sekolah? Bagaimana dengan pembaziran makanan yang katanya melibatkan 3 juta kilo sehari sedangkan ribuan anak-anak miskin berlapar di sekolah? Bagaimana pula kelaparan berbelas jam itu membentuk kepedulian terhadap skandal korupsi 1Mdb?
Di peringkat global, seluruh umat Islam mesti menanyakan diri masing-masing adakah praktis di bulan ramadhan menemukan diri mereka kepada tujuan mengkhatam quran, bersedekah, membayar zakat fitrah dan berqiyam di malam hari semata-mata?
Kebencian sedang marak menyala. Di Masjid Finsbury Park, kebencian mengakibatkan si fasis menzalimi seorang muslim. Di Amerika, kebencian terhadap Islam mengakibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mati dipukul ketika pulang dari masjid.
Kerana kebencian manusia kini hidup dalam porak peranda. Apakah selepas ramadhan tahun ini Yemen akan hidup semula? Apakah Syria bakal menemukan kebahagiaan? Apakah Palestina, Papua mencapai kemerdekaan seratus peratus? Apakah anak-anak Afrika akan bangun dari tidur tanpa bersedih hati kerana tiadanya makanan berzat untuk mereka? Apakah jurang kelas akan termansuh? Apakah si celaka Arab Saudi, pemerintah Amerika Syarikat, Zionis Israel dan semua kuasa besar itu akan dikalahkan?
Bertalu-talu soalan menyerang fikiran. Sampaikan di suatu tahap, kita terfikir, mengapa puasa diwajibkan? Adakah tuhan melalui suruhanNya berpuasa adalah kerana memberi ruang buat manusia bersepakat untuk hidup dalam siri-siri kebahagiaan dengan bersetuju untuk melawan kuasa-kuasa dimiliki sesetengah pihak yang selama ini kerjanya menjahanamkan hidup manusia lain melalui aturan mereka?
Andai ramadhan kali ini tidak memberi apa apa mesej kesedaran tentang kondisi dunia saat ini, maka tak usahlah mengada ngada bersedih hati kononnya ramadhan sudah mahu pergi.
Kerana perginya ramadhan, kebebalan kita tidak laju terhakis, malah semakin menebal bebalnya.
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.
Comments