MENYAMBUT 50 TAHUN PENJAJAHAN ISRAEL KE ATAS PALESTINA
- ZF Zamir
- Jun 22, 2017
- 5 min read
12 HARI YANG LEPAS, tepatnya 50 tahun yang lalu, pada 10 Jun 1967, Israel memenangi perang 6 hari yang telah mengubah peta Timur Tengah selama-lamanya.
Mereka bermula dengan menghancurkan pesawat-pesawat tempur Mesir, Jordan, Iraq & Syria pada hari Isnin. Kemudian mereka menghancurkan pertahanan Mesir di Sinai pada hari Selasa. Kota lama Jerusalem kemudian ditakluki pada hari Rabu. Kemudian mereka melepasi Terusan Suez pada hari Khamis. Mereka seterusnya mendaki dan menakluki Bukit Golan pada hari Jumaat. Pada hari Sabtu apabila mereka melihat kota Damsyik dari puncak, dunia mengisytiharkan gencatan senjata. Pada hari ketujuh iaitu hari Ahad, bukan saja askar-askar mereka berehat, dunia secara automatiknya menyerahkan Palestin, wilayah Tebing Barat beserta semenanjung Gaza kepada Israel untuk mereka ratah dan duduki secara haram. Apa yang berlaku setelah itu adalah sejarah.
Kesemua ini berlaku hanya dalam masa 6 hari.
Kontra dengan perang 1947-48 ketika puluhan ribu rakyat Palestin diusir keluar dan ratusan kampung dihancurkan Israel, perang pada 1967 ini berlaku dengan begitu pantas sehingga tentera Israel tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghalau rakyat Palestin keluar dari tanah mereka sendiri.
Untuk itu tahun ini mereka merayakan ulangtahun yang begitu istimewa iaitu 120 tahun setelah Kongres Zionis Pertama di Basel, 100 tahun setelah Deklarasi Balfour yang menjanjikan kaum Yahudi untuk ‘pulang dan membina penempatan haram di atas tanah orang’, 70 tahun setelah United Nation mencadangkan tanah-tanah Palestin dipecah dan diagih-agihkan kepada negara Arab dan negara Yahudi serta 50 tahun kemenangan bergaya mereka di dalam perang 6 hari tersebut.
Hari ini, intifada dilambangkan dengan watak anak kecil membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Intifada pertama berakhir dengan Perjanjian Oslo pada 1993. Malangnya Perjanjian Oslo sebenarnya memberi peluang kepada pendudukan haram yang lebih dahsyat oleh Israel. Lebih banyak pertumpahan darah, pembahagian kawasan yang tidak adil serta kehilangan tanah kepada penduduk haram Israel. Kepulangan Yasser Arafat pemimpin Palestine Liberation Organization (PLO) ke tanah Jerusalem pada 1994 setelah mendapat mandat oleh Perjanjian Oslo tidak membawa sebarang kebaikan kepada warga Palestin. Pendekatan PLO untuk berbaik-baik dengan Israel nampaknya mencipta lebih ramai rakyat Palestin yang hidup sebagai pelarian di negara Arab serta membiarkan rakyat Palestin yang hidup di Jerusalem sebagai warganegara kelas kedua yang sibuk berjuang untuk hak asasi mereka dalam sempadan Israel yang dibina pada 1967.
Intifada kedua pula terhasil akibat kegagalan rundingan Camp David pada tahun 2000. Dan untuk mengekang Intifada kedua ini, Israel mengepung Gaza pada 2007. Ini bermakna pada tahun ini hampir 10 tahun Gaza dijadikan penjara terbesar di dunia oleh Israel dengan mengawal pergerakan keluar masuk manusia serta barangan. Dengan bantuan Mesir, pintu Rafah kini ditutup sepenuhnya melumpuhkan ekonomi Gaza serta menjadikan pembinaan semula Gaza hampir mustahil. Laporan Amnesty International 2016/2017 mengenai Palestin menyatakan sekitar 51,000 orang masih menjadi pelarian akibat konflik pada 2014. Hampir 694 tahanan dilakukan pihak berkuasa Israel terhadap warga Palestin tanpa membenarkan perbicaraan dijalankan, 98 pembunuhan diklasifikasikan sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa serta 1089 rumah diruntuhkan kerana tidak mempunyai permit oleh kerajaan Israel melibatkan 1593 warga rumah. Laporan ini juga mendedahkan hanya 3 askar Israel disabitkan bersalah oleh tentera Israel terhadap krisis Israel-Gaza pada 2014 yang menyebabkan sehingga 1460 warga Palestin termasuk 551 kanak-kanak terbunuh serta menutup 12 penyiasatan tanpa mendedahkan sebab-sebab penutupan kes tersebut.
Laporan Human Rights Watch 2016/2017 mengenai Palestin pula mencatatkan pihak berkuasa Israel menggunakan kekerasan lebih dari 150 kes mereka, membunuh 94 warga Palestin dan mencederakan sehingga 3203 orang pada tahun 2016 sahaja. Malah penduduk yang menduduki tanah haram di Timur Jerusalem juga menyerang dan mencedarakan sehingga 26 orang dengan 66 insiden membabitkan kekerasan terhadap warga Palestin. Laporan itu juga mendedahkan pihak berkuasa Israel membunuh 8 demonstran Gaza di pagar sempadan di dalam daerah Gaza. Mereka juga dilaporkan berterusan menembak warga Palestin yang mendekati zon ‘no-go’ di pagar sempadan di dalam Gaza tersebut. Selain itu laporan itu juga mendedahkan nelayan Gaza tidak dibenarkan menangkap ikan lebih dari 6 batu nautika dari pantai kerana menganggap mereka akan menyeludup senjata.
Laporan ini juga menyatakan sekatan pergerakan terhadap Gaza memberi kesan besar terutama kepada masyarakat awam, memisahkan keluarga, mengehadkan akses kepada ubat-batan, menyekat peluang ekonomi serta menyebabkan kemiskinan dan pengangguran. Hari ini sehingga 70% daripada 1.9 juta warga Gaza memerlukan bantuan kemanusiaan. Dicatatkan pada separuh pertama 2016 hanya 500 warga Palestin dibenarkan menyeberang melalui laluan Erez, berbanding 24,000 warga Palestin yang menyeberang pada tahun 2000. Hanya 158 muatan trak dibenarkan keluar sebagai bahan dagangan pada 10 bulan pertama 2016 iaitu hanya 15% berbanding 1064 muatan trak setiap bulan pada Jun 2007. Hanya 3196 orang dibenarkan menyeberang di pintu Rafah oleh Mesir pada 10 bulan pertama 2016 berbanding 40,000 orang setiap bulan pada 2013 ketika Presiden Morsi memerintah.
Hari ini, tepat 50 tahun kekalahan dunia Arab kepada tentera Israel yang sebelum itu hanya menduduki tanah Palestin secara haram dan hanyalah sekumpulan kecil manusia Zionis yang dahagakan tanah, umat Islam berpecah belah dan berantakan. Tidak ada lagi pakatan Arab menentang Israel. Tidak wujud lagi singa Arab seperti Gamal Abdel Naser yang sanggup melawan Israel. Yang wujud hari ini setelah 50 tahun perang 6 hari tersebut hanyalah Raja Salman dari Saudi yang bermain pedang dengan Presiden Amerika Donald Trump serta anaknya Putera Mohamad bin Salman (Mbs) yang sibuk memerangi negara Islam yang lain seperti Yemen dan Iran.
Dalam dunia pemimpin Arab ini hari ini, Israel bukan lagi musuh yang perlu ditentang. Yang perlu ditentang adalah elemen Syiah dan kerana itulah mereka berterusan menaja perang di Bahrain, Yemen serta Syria. Lebih menakutkan, negara-negara Gulf Cooperation Council atau GCC ini adalah penaung terbesar kepada ISIS seperti didedahkan didalam kebocoran emel Hillary Clinton oleh WikiLeaks. Ini bermakna, setelah 50 tahun kekalahan dunia Arab kepada Israel, mereka tidak lagi mempedulikan nasib warga Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza seperti didedahkan oleh laporan-laporan di atas. Selain sibuk bergaduh sesama sendiri, negara-negara Arab ini juga sebenarnya terlalu sibuk untuk mencari kekayaan dan nikmat dunia berbanding mempedulikan nasib warga Palestin ataupun kedudukan Mesjid Al-Aqsa.
Jadi hari ini, Jumaat terakhir Ramadan 1438 ataupun lebih dikenali Hari al-Quds sempena memperingati Palestin yang tertindas sepatutnya menjadi medan kita semua warga Islam untuk bersatu dan menunjukkan solidariti kepada Palestina. Walaubagaimanapun, setelah bersama-sama Presiden Trump memegang Orb bercahaya disamping Raja Salman dan lebih dari 50 pemimpin negara Islam yang lainnya pada 21 Mei yang lalu, sudah pasti kita semua malu-malu alah untuk berbicara perihal Palestina. Ini adalah kerana bicara mengenai Palestina, yang mewakili kaum tertindas haruslah dengan membicarakan juga Israel, yang mewakili kaum penindas. Sedangkan ketika kita tersenyum memegang Orb bersama Trump, menunjukkan bahawa kita sebenarnya sedang memberi sokongan kepada Amerika, yang diketahui penyokong kuat Israel. Ini sekali lagi memberi signal kepada semua bahawa kita sedang menyebelahi golongan penindas.
Sudah tentu yang paling girang hati dalam situasi pasca-50 tahun menyambut sambutan ulangtahun penjajahan ke atas Palestina ini adalah Netanyahu dan kuncunya di Jerusalem. Kali ini, setelah 50 tahun mereka tidak lagi perlu menyiapkan tentera untuk memerangi umat Islam atau berdepan perang seperti perang 6 hari pada 1967. Kerana melalui orang suruhannya hari ini, Saudi dan rakan-rakan GCC-nya sedang menjalankan kerja-kerja memecah-belahkan negara Islam. Kepada rakan-rakan di luar sana, selamat menyambut ulangtahun penjajahan dan pendudukan haram ke atas Palestina. Kerana hari ini kita semua tidak lagi peduli. Anak muda kita sendiri menganggap Hamas sebagai teroris. Imam kita tidak peduli, Ustaz kita tidak peduli, surau dan mesjid kita tidak peduli bahkan penjaga 2 kota suci kita juga tidak lagi peduli kepada Al-Aqsa.
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak
Comments