Cabaran Dalam Memakna Islam Semula
- Mohd Syazreen Abdullah
- Jun 20, 2017
- 4 min read

SAAT menghadapi pertanyaan besar tentang apakah agama menghalang kemajuan dan apakah iman silang keagamaan dapat didamaikan atau disatukan? Inilah antara pertanyaan sekaligus persoalan penting yang sering kali muncul abad moden ini.
Hal ini merujuk kepada pengertian esensi spiritual dalam kehidupan majmuk. Mungkin benar pembahagian kata filsafat oleh Huston Smith bahawa wujud filsafat tradisional (filsafat parrenial) dan filsafat moden dalam merungkai kecelaruan pada makna agama.
Berbalik kepada fenomena manusia moden lewat ini, mereka begitu mudah menolak persoalan tentang filsafat ketuhanan. Melalui pembahagian filsafat, tradisi keagamaan mampu dikembangkan semula pada zaman moden ini, apatah lagi usaha seperti itu wujud dan pernah dibangunkan oleh pemikir-pemikir terdahulu.
Sebaliknya, keterujaan manusia moden dalam mencapai kebebasan menjadi serba keliru kerana menganggap spiritual agama sebagai suatu yang kuno; yang sulit dipraktis dalam zaman moden.
Demikian juga hal lain, fisafat yang membawa wacana arus moden hari ini banyak membersihkan perihal ketuhanan yang satu, atas nama sains mahupun rasio sahaja. Maka tidak pelik manusia moden hari ini, gagal bersikap kritis atas perbezaan, malah mendabik kebenaran yang dijulangnya sebagai pencerahan.
Atas kegagalan memahami pendebatan antara agama dan perilaku moden itu, program seperti liberalisasi, sekularisasi dalam tawaran Islam menerima tanggapan negatif oleh sebahagian masyarakat Islam. Lantas, agama terus dihukum dengan kejumudan.
Mengikut sarjana moden terjemahan al-Quran Yusuf Ali, revolusi pengetahuan adalah kunci menuju berbagai-bagai kemajuan masa depan dalam kebudayaan umat manusia. Menurutnya, banyak ulama tradisional gagal sama sekali mengikuti perkembangan zaman sedangkan Islam adalah agama yang tidak takut pada ilmu pengetahuan. Seruan Yusuf Ali itu mengajak ilmuan Islam supaya bukan lagi bersikap mengutip dari buku teks ilmu pengetahuan, bahkan mampu menghubungkan pandangan ilmiah terbaru.
Ini penting kerana pengetahuan menawarkan jalan menuju iman meskipun bahasa ilmu dan bahasa agama berbeza kelompoknya. Inilah anjakan menuju penafsiran agama yang lebih progresif (al-Quran) dan bukan secara beku atau kaku .
Sebahagian masyarakat lintas iman pada abad moden ini telah menyaksikan kegagalan masyarakat muslim untuk mempamerkan makna sebenar “apa itu Islam.” Pergelutan memahami makna Islam masih lagi ditinjau dari sudut ketauhidan yang sudah tersiap sempurna tanpa harus difikir dalam tataran kehidupan. Lalu, hasilnya masih membawa kepada hubungan yang tidak harmoni dan membunuh kehidupan plural.
Kekeliruan ini pula ditambah lagi dengan suara kebebasan yang cuba membawa idea keterbukaan tetapi hanya menambah kebebalan sedia ada lantaran sikap kebiadaban, sekaligus gagal menyerlahkan prinsip liberal sebenar.
Lebih malang lagi, konservatisme agama semakin berleluasa, malah memonopoli wacana hegemoni atas politisasi agama. Inilah realiti umat Islam khususnya di Malaysia yang akhirnya ajaran Islam ditentukan atau dicorak oleh institusi dan badan autoriti berkepentingan lalu menjadi sempit bersimpang siur dengan suara liberal yang bebal-gagal. Akhirnya, agama dilihat kaku oleh sebahagian golongan konservatif manakala di mata sebahagian kelompok lain, agama dilihat bebas menyimpang.
Sebenarnya, agama harus diulas dalam lingkup yang luas mencakupi tradisi tulen dan memenuhi kehendak zaman. Islam yang seharusnya berwatak liberal telah menjadi sempit kerana kegagalan memahami sejarah dan tradisi Islam sebenar. Keterputusan esensi spiritual dalam kehidupan keagamaan dengan hubungan agama lain antara faktor sering kali menemui kegagalan walaupun muncul lebih banyak retorika slogan Islam Pluralisme, Islam kosmopolitan, mahupun Islam toleransi.
Kerancuan dalam menyingkap pentakrifan tersebut, makna Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan mempromosikan ekstremis dalam beragama. Ini terbukti kerana sebahagian umat muslim moden itu sendiri gagal memperagakan ajaran Islam yang lebih terbuka. Maka, tugas masyarakat beragama hari ini adalah menjadi suri teladan dengan menampilkan ajaran rahmah dan merawat kembali corak beragama yang terbuka, damai dan penuh hikmah. Ini sekaligus bakal mengembalikan pengertian agama yang segar dan bersesuaian dalam konteks semasa.
Sesungguhnya, Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh meliputi dimensi sosial kehidupan manusia. Kerana itu, terdapat peraturan diajar kepada manusia moden supaya tidak menyimpang dari prinsip hukum asal ajaran tersebut. Islam ditinjau dari pelbagai aspek, bukan lagi dari sudut fiqh halal-haram, bukan juga dari sudut fiqh satu mazhab sahaja.
Mengenal sumber Islam itu sangat luas terutama dalam membincangkan makna Islam yang pluralis. Bermula dari perkara teologi hingga kepada aktiviti kemanusiaan ke dalam ranah kehidupan yang meliputi segala sudut perkara.
Perbincangan tentang Islam sentiasa relevan, bermula daripada sejarah sumber kelahiran Islam awal sehingga kepada diskusi dan telaah sumber sejarah mengenainya.
Oleh sebab itu, persoalan yang selalu timbul dan harus dikembangkan adalah bagaimana menyimpulkan antara sumber sejarah dan sebuah nalar bersifat berterusan. Sukar sekali untuk kita putuskan doktrin bahawa Islam yang ada pada hari ini sudah sempurna kerana ia sebuah sejarah yang menyatu dan melalui proses perkembangan sejarah kemanusiaan.
Islam sentiasa relevan
Dalam dekad yang panjang, tentunya makna Islam ada pelbagai aspek yang harus direnungi semula seperti teologi, spiritual, moral, kebudayaan, sejarah, hukum dan bagaimana mengurus masyarakat moden plural hari ini. Setelah itu, wacana demi wacana pembaharuan setiap sudut aspek diangkat semula dan prosesnya bukan mudah dan tempohnya tidak singkat.
Dalam pertengahan proses tersebut, terjadi polemik dan perselisihan makna. Segala nilai-nilai yang bersifat kondusif haruslah dibangunkan untuk mencipta gagasan Islam yang sentiasa relevan seiring ijtihad berterusan. Ini untuk memperbaharui segala hukum nilai-nilai budaya mahupun agama.
Sebaliknya Islam versi tafakkur, toleran, kontekstual itu hampir sudah tidak ada dalam abad moden akibat kemunduran dan kejumudan berfikir sebahagian umat manusia. Manusia yang dikatakan moden hari ini lebih gemar menyusuli tindakan tanpa berfikir dan mengecualikan panduan bersumber agama. Maka, Islam banyak ditunggangi oleh orang-orang yang hilang pertimbangan akal dan hilang kesedaran manusiawi, lalu muncul Islam versi kekerasan, intoleransi, tidak rahmah.
Perkara paling mustahak adalah renungan semula tentang makna Islam untuk mencapai ketauhidan (dimensi spiritual) yang satu dalam titik temu masyarakat pluralis dengan merujuk semula perkembangan sejarah dan polemik teologi berdasarkan makna Islam yang terhasil lewat abad ini.
Sesungguhnya kebenaran wahyu tidak dapat tidak, adalah kerelevanan menyemak kembali fungsi wahyu yang tidak terbatas pada ruang dan waktu. Kegagalan memahami esensi keagamaan kemutlakan Tuhan yang satu telah gagal menimbulkan sikap saling menghargai antaara satu sama lain, sesama manusia. Untuk menghidupkan wacana kemajmukan di sebalik kontroversi yang melanda umat Islam saat ini, antara alternatif lain ialah kembali menghubungkan fungsi wahyu berasaskan teologi dan historis yang membenarkan pendekatan tafsiran kontekstual.
Seperti yang disebut oleh Kenneth Cragg (1971 h.17, The Event of The Quran; Islam and Its Scripture) bahawasanya mustahil wahyu itu tidak mengaitkan dengan berbagai-bagai peristiwa. Demikian itu, peristiwa titik temu antara agama dalam perkembangan Islam harus disemak dan dikembangkan agar menjadi sebuah pemahaman atau penafsiran keagamaan yang lebih toleran.
Sebahagian upaya intelektual harus dibangunkan abad ini dengan mengembalikan semula fungsi dialog teologi, menafsir semula hukum Islam dan mendekatkan tafsiran teks ke dalam kontekstual.
Comments