Teori Kebapaan dalam politik dan Selamat Hari Bapa
- Wan Khuzairey
- Jun 19, 2017
- 3 min read
Beberapa tahun yang lepas, aku dikehendaki untuk mengikuti satu kem bagi memenuhi kehendak kursus pengajian aku. Untuk itu, kesemua pelajar yang mengambil program sejarah telah ditempatkan di sebuah taman reakreasi, kebetulan taman reakeasi tersebut terletak berhampiran dengan kawasan kajian yang hendak dikaji. Apabila malam menjelma, kesemua pelajar akan duduk berkumpul dengan tujuan untuk merapatkan lagi ukhuwah sesama pelajar. Pada ketika itu, seorang daripada fasilitator merangkap senior aku mula bercerita soal politik dan kuasa. Memandangkan pilihanraya kampus yang semakin hampir, maka topik ini dianggap relevan. Apa yang menarik perhatian aku selain ungkapan-ungkapan yang berbaur retoriknya adalah mengenai teori kebapaan. Menurutnya pemerintah itu bertindak sebagai bapa. Kita sebagai anak haruslah patuh kepada seorang bapa. Jangan sesekali mengingkari apa yang dikatakan oleh bapa. Jangan pula melupakan segala jasa yang telah dicurahkan oleh seorang bapa. Oleh itu jangan sesekali kita ingar kerana perbuatan itu umpama kacang lupakan kulit.
Suhu malam pada itu bertukar menjadi dingin, namun masih tidak dapat menghalang peluh aku dari mengalir disebabkan tidak berhenti dari memikirkan bait-bait perkataan yang diucapkan oleh senior aku. Beberapa bulan kemudian, aku ke perpustakaan untuk mencari beberapa bahan bacaan. Di sana, aku telah bertemu dengan penulisan John Locke yang bertajuk second Treaties Of Government. Dalam karyanya itu, John Locke ada menghuraikan mengenai kuasa kebapaan, huraianya ini agak bercanggah dengan apa yang selama ini kita faham. Menurut Locke ramai manusia yang menganggap bahawa kuasa pemerintah itu seperti kuasa seorang bapa terhadap seorang anak. Seorang bapa seharusnya mengasuh, menjaga tingkah laku anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke lembah yang membinasakan diri mereka dan orang lain. Selain itu, seorang bapa juga harus menentukan keputusan buat anak-anak mereka supaya anak-anak mereka ini tidak tersasar daripada peranannya yang sebenar. Begitulah peranan seorang bapa yang selalu dianggap dan difikirkan oleh masyarakat. Peranan ini pula sering dikaitkan dengan para pemimpin dan para pemerintah. Kadangkala hujah ini boleh dijadikan sebagai doktrin terhadap masyarakat.
Namun dalam keghairahan kita menyamakan konsep pemerintah dengan teori kebapaan, kita juga perlu mengambil tahu tentang suatu perkara iaitu sejauhmanakah kuasa kebapaan ini relevan terhadap anak-anak mereka. Seperti yang sedia maklum seorang bapa adalah pembuat keputusan terhadap anak-anak mereka sehinggalah anak mereka telah matang dan sudah mula boleh berfikir. Apabila anak-anak ini sudah matang dan mula boleh berfikir, ayah mereka seharusnya melepaskan mereka dan membiarkan mereka berdikari dan membuat keputusan sendiri. Pada ketika ini, seorang bapa tidak seharusnya bertindak dengan membuatkan keputusan untuk anak-anaknya kerana perkara ini akan menghalang anak-anak mereka dari berdikari dan juga untuk berfikir dengan matang selain mengehadkan kebebasan mereka. Selain itu, terdapat juga kemungkinan bahawa anak-anak itu mempunyai jalan penyelesaian yang lebih baik dengan sudut pandang yang berbeza daripada jalan penyelesaian yang dilakukan oleh bapanya sendiri. Jika bapanya menghalang dengan mengarahkan anak-anak mereka untuk menuruti apa yang dikatakan olehnya sahaja, adakah ini tidak mendatangkan kerugian? Rene Descartes dalam Discourse On Method ada menyatakan bahawa “akal adalah secara semulajadinya sama pada semua manusia dan kepelbagaian dalam pendapat kita bukanlah disebabkan ada yang lebih munasabah dari yang lain, tetapi hanya semata-mata kita menjalankan fikiran kita melihat jalan yang berbeza-beza dan tidak melihat perkara yang sama.”
Mungkin ada juga yang akan mencelah dengan mengatakan tindakan ini dikira sebagai derhaka, kerana kita tidak menuruti apa yang dikatakan oleh seorang bapa. Namun, kita perlu memikirkan kembali apa yang perlu kita lakukan. Sebagai anak, kita perlulah menjaga kebajikan ibu serta bapa kita. Kita tidak boleh membiarkan perkara seperti apa yang selalu digariskan oleh Maslow melalui “teori hierarki keperluan Maslow” dalam keadaan yang terabai dan tidak terurus. Sebagai seorang anak perkara ini mereka seharusnya utamakan. Selain itu, seorang anak juga tidak boleh menghalau bapa mahupun ibunya dari duduk atau menetap dari tempat yang selama ini mereka duduki. Seorang anak juga harus memastikan keselamatan ibu dan bapa mereka sentiasa hidup dalam keadaan yang selamat. Dalam erti kata yang mudah seorang anak seharusnya menjaga orang tua mereka dengan baik. Cumanya tidak semestinya seorang anak hanya menuruti apa yang dikatakan oleh bapa walaupun mereka sudah mencapai kewarasan akal dan juga mampu berfikir. Memetik kata Locke "All mankind... being all equal and independent, no one ought to harm another in his life, health, liberty or possessions."
Oleh itu, sekiranya kuasa pemerintah itu dianggap sebagai kuasa seorang bapa kepada anaknya, perkara asas yang kita perlu tahu adalah kuasa kebapaan mempunyai sempadan kuasanya, maka dengan secara jelasnya kuasa pemerintah juga mempunyai sempadannya. Pemerintah itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengarah rakyatnya untuk melakukan sesuatu walhal perkara itu hanya mengikuti apa yang pemerintah itu inginkan tanpa mendengar pendapat dari rakyatnya. Majoriti rakyat adalah golongan yang sudah mampu berfikir dan waras, oleh itu keputusan haruslah dilakukan bersama. Sekiranya perkara ini dilakukan, nescaya perkara itu akan menjejaskan dan melanggar hak kebebasan seseorang manusia itu. Seperti kata Thucydides “The secret to happiness is freedom... And the secret to freedom is courage.”
Akhir sekali, Selamat Hari Bapa buat semua Bapa di Dunia!

Comments