Jihad Selfie
- Hadri Shah
- Jun 19, 2017
- 5 min read
TERINGAT watak utama satu dokumentari yang aku lupa judulnya tetapi watak utamanya, seorang lelaki muda, imigran dari Mexico di Amerika. Datang dari keluarga susah, melarikan diri ke Amerika dengan cita-cita mengubah nasib diri, isteri dan keluarga. Lelaki itu bekerja sebagai buruh binaan, kalau tak silap. Hidupnya biasa - sama seperti kelas pekerja lain.
Setiap hari selepas pulang dari tempat kerja, isterinya menyediakan puluhan pek kertas mengandungi makanan dan minuman. Si lelaki imigran tadi akan meletakkan pek makanan itu ke dalam trak kecilnya, kemudian menuju ke lorong-lorong di pekan untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan.
Kerja berkongsi makanan itu diteruskan setiap hari. Tanpa rungutan, tanpa rasa jemu dan paling mengkagumkan, si lelaki imigran itu hanya seorang buruh.
Berapa banyakkah gaji kecilnya digunakan untuk menyediakan makanan kepada gelandangan setiap malam?
Kebiasaannya, bapalah orang yang paling seronok masa sambutan Aidilfitri. Jadual beraya kami cukup padat setiap tahun, tiada ruang luas buat aku dan adik-beradik menonton rancangan raya di tv. Paling kurang, tiga hari berturut-turut bapa mengusung kami beraya ke rumah pakcik-makcik, saudara-mara dan kenalan lain dari pagi sampai ke malam.
Aku masih ingat malam raya kedua, bapa memandu ke rumah, Tiba tiba dia berhenti, kemudian keluar kereta dan menuju ke arah seorang lelaki yang sedang menunggang basikal. Di bahagian belakang, ada seorang perempuan dan anak kecil. Aku nampak bapa menghulurkan sejumlah wang dan mereka bersalaman.
Sampai ke hari ini, aku ingat kejadian itu kerana bangganya aku kepada bapa membantu keluarga itu walapun aku tahu nilai ringgit diberi tidaklah banyak.
Jadi kalau ada orang tanya aku, kenapa aku sanggup habiskan berjam-jam di hari minggu berkongsi makanan dengan gelandangan, jawapannya mudah - kerana terinspirasi dengan lelaki imigran dan bapak.
Aku pernah mengikuti beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan makan malam kepada gelandangan di sekitar Kumpur Lumpur. Tapi tak lama kerana tak suka dengan hala tuju sestengah NGO yang bergerak atas dasar kelangsungan politikal. Ada NGO terang-terang dari cawangan parti politik dan kerja mereka mengambil gambar sebanyak mungkin ketika mengagihkan makanan.
Bersama Zamri, Yaser, Najiv, Sharul, Anuar, Faizul, Ijon, Sly, kami mulakan langkah pertama kerja sosial kami pada tahun 2013. Nama Buburborjuis itu sendiri sangat misteri, sampai sekarang kami pun tak tahu siapa yang berikan nama itu?
Buburborjuis tidak menetapkan spesifik harapan, misi, cita-cita nak mengubah dunia yang besar. Cukup sekadar konsistensi dalam menjalankan aktiviti berkongsi makanan dengan gelandangan.
Pada awal tahun, Bububorjuis fokus di sekitar Pudu raya. Kami bermula dengan berkongsi duit untuk membeli nasi lemak dan minuman panas. Selepas beberapa sesi, kami menukar menu kepada bubur gandum, bubur kacang hitam, roti dan minuman panas. Ini kerana Pak Amran, seorang kenalan gelandangan memberi pendapatnya kepada kami. Katanya, gelandangan tidak memerlukan makanan berat pada waktu malam, cukup dengan makanan ringan seperti bubur dan roti.
Kami kemudian berkenalan dengan Religion of Love (ROL) kendalian Hussin. Langsung kami putuskan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak Chow Kit selepas kelas tuisyen kendalian ROL.
Sehingga hujung tahun 2015, kami mula memikirkan pelan lain. Disebabkan sudah ramai individu-NGO yang memberi makanan pada waktu malam, keadaan menjadi tak terkawal; banyak pembaziran makanan, tempat tidur gelandangan jadi sangat kotor.
Aku terus mesej Aini untuk bertanya pendapatnya tentang idea menyediakan sarapan kepada gelandangan. Aini merupakan seorang kawan yang mengatur jadual penyediaan makanan di kelas tuisyen ROL dulu. Orangnya cergas, bersemangat dan sentiasa sibuk.Kebetulan masa mesej, Aini sedang menjadi sukarelawan di Germany untuk kerja sosial. Aini pantas membalas mesej aku dan berkata "Why not? Good idea anyway!"
Disember 2015, aku berjumpa Aini untuk berbincang pasal projek koloborasi kami dan awal Jan 2016 sehingga kini, Buburborjuis X Happybank mengadakan sesi bersarapan untuk 200 gelandangan di lima kawasan sekitar Kuala Lumpur.
Aku pernah menulis dulu pasal kerja berkongsi makanan. Kerja ini bukan susahpun. Ada wang, ada sedikit pelan, panggil dua, tiga orang kawan, nah, kalian boleh mula beri makanan kepada mana-mana gelandangan.
Tapi kerja begini menuntut konsistensi. Awal-awal aktiviti, semangatnya kalian sampaikan tak boleh ditukar ganti dengan jutaan Ringgit Malaysia. Dengan misi hendak ubah dunia kononnya; dengan kamera muat naik gambar di Facebook untuk tatapan abah dan mak di kampung dan azam yang menebal meneruskan kerja mulia berkongsi makanan. Tapi persoalannya, sampai bila kalian boleh marakkan semangat macam itu?
Kerja senang cepat menjemput kebosanan. Lama kelamaan, bila like gambar di facebook berkurangan, komen puji-pujian makin merudum, dana pula dah macam tak ada siapa carikan; mulalah kauorang rasa malas. Selfie stick yg ke hulu ke hilir dibawa masa beri makanan pun sudah dicampak entah ke mana?
Ada orang cakap, sampai bila hendak beri makanan pada gelandangan? Bukankah ia memanjakan mereka? Bukankah juga itu bukan cara efektif memberdaya mereka? Bukankah kita mesti mencari jalan memberikan apa yang mereka perlukan?
Dalam video yang disiar AJ+, di Amerika ada sekumpulan sukarelawan mencari dana yang besar dan kemudian menyediakan rumah kepada gelandangan. Pada akhir video berdurasi kurang empat minit itu, seorang gelandangan kelihatan sangat gembira dan mengatakan pemberian rumah inilah melengkapkan keperluannya.
Aku bersetuju jika kau orang mengatakan dengan memberi makanan sahaja tidak akan membawa penyelesaian kepada isu gelandangan.
Krisis gelandangan sebahagiannya berpunca dari jurang kaya-miskin yang makin menebal hasil tataan sistem ekonomi yang pincang tapi ia juga berpunca dari masalah dalaman; ada juga individu/ keluarga bergelandangan kerana dibuang keluarga.
Isu gelandangan akan sentiasa wujud. Terserah bagaimana peranan masyarakat untuk membereskannya sehingga krisis begini merudum seminimum mungkin.
Dalam bab ke-36 buku Down and Out in London & Paris, George Orwell merakamkan pendapat peribadinya, "Seorang manusia yang kesusahan tidak akan ditanggung oleh jiran-jirannya…"
Kita tidak hidup dalam suasana iaitu jika ada sesiapa di persekitaran mengalami kesusahan, kita ambil tanggungjawab untuk memperbaikinya supaya individu itu kembali menjalani kehidupan baik semula.
Mahu atau tidak; perlu diakui, kita hidup paling kurang untuk merasa belas dan bersyukur atas sebab tidak ditimpa musibah yang dialami orang lain. Justeru, keperluan untuk merubah musibah ditinggalkan.
Kata George Orwell, "Masalah sebenar yang perlu diselesaikan adalah tentang bagaimana untuk mengubah seorang gelandangan yang melalui hidup yang membosankan dan separuh mati kepada manusia yang menghargai diri sendiri." Aku bersetuju dengan keselesaan dalam erti menyediakan makanan, baju kepada gelandangan tidak akan mengubah nasibnya.
Kebanyakannya berasa mereka bukan lagi sebahagian dari masyarakat, lebih-lebih lagi apabila jenis keselesaan yang masyarakat berikan itu membuka jurang kasta antara pemberi dan penerima.
Aku berkeyakinan kerja membereskan hal gelandangan memerlukan tempoh yang infiniti, tidak ada titik akhir dan sentiasa progresif. Kuncinya bagaimana kelas masyarakat berpartisipasi untuk menguruskan dari urusan pertama sehingga urusan terakhir iaitu melihat gelandangan berdikari dan kembali kepada masyarakat.
Yang dapat merubah nasib gelandangan ialah mereka mendapat kerja dan gaji yang diterima sama seperti pekerja lain. Ertinya, paling kurang, gelandangan yang diterima bekerja mesti digajikan dengan standard gaji minimum supaya dapat memenuhi keperluan kehidupannya.
Bukan setakat diberi kerja dan gaji, malah perlahan-lahan mereka dimonitor dari sehari ke bulan sampai ke tahun sehinggalah gelandangan itu dapat membebaskan diri dari kemelut hidupnya dan berjalan seiring dengan kumpulan masyarakat.
Ia tidak semudah menulis atau membahas idea. Ia menuntut dedikasi dan keperluan partisipasi kelas masyarakat dan jaringan yang besar dalam memberdayakan teman-teman di jalanan.
Buburborjuis bukanlah siapa-siapa. Mereka hanyalah kumpulan kolektif kecil yang cuba mengambil bahagian. Apalah sangat dengan usia baru mencecah empat tahun. Yang lebih utama, dimanakah kumpulan ini berada pada 10 tahun mendatang?
*Tulisan ini adalah fragmen di dalam buku Nasionalisme Longkang. Whatsapp 0173632143 untuk memesan.

Comments