top of page

Superioriti & Masyarakat Pembuli

  • Rien Sd
  • Jun 17, 2017
  • 4 min read

DALAM sebuah masyarakat yang jama’ budaya, multi-agama dan memiliki kepercayaan dan anutan yang ragam-lebih pluralistik, tidak boleh tidak, kita tetap kena berdepan dengan stigma masyarakat superior-inferior yang lebih bersifat binari dan sentiasa berseberang. Stigma ini membiak dan beranak-pinak dalam masyarakat kita sejak dahulu lagi.


Sisa-sisa projek kolonialisasi yang merebak ke negara ini, meninggalkan parut-parut lama yang sukar diubati. Sehingga hari ini, kita masih dapat melihat kelompok masyarakat kita yang tidak sensitif ketika dihenyak, dilanyak, dibentak dan diberikan keputusan-keputusan oleh kelompok masyarakat yang lain. Mereka lebih rela dituangkan minyak panas ke dalam mulut, kerana menganggap, mereka hanya masyarakat kecil, orang-orang kecil yang tidak mampu untuk memukul menggunakan kaki dan tangan mereka sendiri.


Inilah masyarakat inferior, yang dipencilkan, diletakkan di tangga paling bawah. Mereka dituduh tidak pandai mengurus diri sendiri oleh masyarakat superior. Dua bentuk masyarakat ini, yang bertumbuh dalam lingkungan kita hari ini.

Masyarakat superior kekal dengan superioritinya-sentiasa merasa besar dan wajar ditunduki, diikuti, dan ditakuti. Sifir mereka mudah; untuk menggapai bintang, mereka perlu berdiri di atas kepala orang-orang kecil, masyarakat inferior.


Namun, adakah kulat-kulat penyakit masyarakat superior-inferior ini hanya sekadar krisis sosial yang menyusur masuk merosakkan lapangan sosial dan terus membentuk pemikiran opisisi binari dalam masyarakat? Atau, ada yang lebih besar daripada itu?


Masyarakat Pembuli, Masyarakat Superior


Kes buli bukan kes yang kecil. Bukan sekadar perihal pelajar samseng-pelajar baik. Bukan sekadar itu. Walaupun, selalunya kes buli ini adalah pertempuran fizik. Jauh daripada itu, kita perlu meninjau kesan wujudnya masyarakat superior-inferior dalam komunikasi sosial. Seorang yang merasa besar dan superior, sekalipun memiliki fizik yang kecil, cenderung untuk membantai, melanyak orang-orang yang dilihatnya sebagai kecil dan inferior.


Berapa ramai lagi mangsa buli yang perlu menjadi korban masyarakat superior? T. Nhaveen, pelajar yang baru-baru ini mati akibat dipukul menggunakan topi keledar, dibakar pada bahagian bahu dan duburnya ditusuk objek tumpul. Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)-di dera hingga mati oleh rakan-rakannya setelah mempercayai tilikan bomoh. Jauh sebelum itu, adik Thaqif Amin, pelajar tahfiz yang mati setelah menjalani pembedahan kedua belah kakinya akibat daripada darah beku dan jangkitan kuman yang dialaminya sebaik sahaja dirotan ole wardennya sendiri. Kes-kes ini terlalu tragis dan ngeri. Ini adalah korban besar kepada keangkuhan masyarakat superior, masyarakat berkuasa, orang-orang besar yang narsisistik.


Kesilapan besar kita adalah menganggap kes buli ini sekadar perlawanan seorang kuat memijak seorang yang lemah. Sedangkan, kegagalan untuk meletakkan masyarakat pada aras yang sama, lantai yang sama, tanpa dikotomi besar-kecil, superior-inferior adalah antara punca terbesar.


Masyarakat kita menjadi kenyang kerana dituangkan pemikiran binari; pemikiran hitam-putih, benar-salah tanpa mengambilkira dan meninjau kompleksiti dan kewujudan grey-area. Pemikiran binari inilah yang menyebabkan masyarakat kita gelojoh menentukan hukum kepada masyarakat lain (selalunya masyarakat yang lebih minoriti) tanpa memahami kondisi asal yang lebih kompleks.


Meratakan Status Masyarakat


Walaupun bunyinya agak idealis, tapi inilah yang kita perlu telan. Pahit yang perlu kita tamatkan. Sepanjang sejarah, meminjam faham Karl Marx bahawa sejarah manusia sering termuat dengan sejarah pertentangan kelas. Pertembungan kelas tertindas (the oppressed class) melawan kelas penindas/penguasa (the ruling class).


Naratif sejarah kita sering memaparkan pemuka-pemuka masyarakat pembuli yang berteriak-teriak memaki hamun masyarakat kecil, yang terpencil dan tersisih dalam sosio-politik mahupun sosio-ekonomi.


Projek buli-membuli ini perlu dihabisi dengan cara meratakan status masyarakat. Memecahkan stigma masyarakat yang cenderung kepada faham binari. Membunuh karakter tuan dan budak. Meleraikan dikotomi masyarakat superior dan inferior. Bukan sekadar menebalkan inci rotan untuk menghukum para pembuli.


Buli perlu dlihat dalam skop yang besar, mencapah dan melibatkan lingkungan sosial. Bukan setakat terhenti pada kes-kes yang berlaku dalam sekolah, universiti dan gedung-gedung pendidikan, tetapi perlu diamati gerak kerjanya di luar daripada semua itu. Kes buli di sekolah, universiti masih berlegar pada corak (pattern) yang hampir sama.


Di sekolah, pembulinya mungkin sekumpulan pelajar senior. Tetapi, dalam sfera masyarakat, pembulinya bukan lagi beruniform sekolah akan tetapi berwajah sistem yang hegemonik, penguasa yang despotik dan masyarakat yang superior. Mereka memiliki wajah yang berbeza, umur yang berbeza tetapi menuju kepada maqasid yang sama iaitu; menguasai, memijak untuk mencapai kepuasan.


Satira Besar Lawan Kecil


Masyarakat pembuli ini, selalunya diwakili oleh orang-orang besar, jaguhan-jaguhan populis dan pemuka-pemuka hegemoni. Suara mereka tidak boleh dihentikan kerana akan mengundang kemurkaan. Mereka tidak boleh disentuh, kebal dan bersih-bersih belaka.


Kebesaran mereka menandingi kebesaran Tuhan. Mereka membina neraka di dunia untuk menghakimi orang-orang kecil, yang biasa-biasa status sosialnya. Dunia dan seperalat sistem telah menjadi cambuk untuk memukul dan sabit untuk menyembelih orang-orang kecil, yang tidak berkuasa.


Ketika ini, akan ramai orang-orang kecil dipotong lidah mereka kerana dikhuatiri bersuara. Mereka akan dijadikan korban untuk menguji eksperimen orang-orang besar. Mereka hanya perlu merelakan diri untuk dihumban ke dalam neraka bikinan orang-orang besar.


Orang-orang kecil tidak diberi pilihan. Mereka perlu mengakhiri hidup dengan melutut kepada orang-orang besar. Mereka kena terus menjadi inferior, merendah dan menikus kerana berdiri dan melawan bukan cara yang mujarab untuk membebaskan diri.


Ketika semua ini berlangsung, kita akan mendengar sorak-sorai tanda kemenangan daripada kem orang-orang besar. Kem orang-orang kecil terus merengek, diherdik-herdik dan dibidik-bidik.


Orang-orang besar, masyarakat pembuli, masyarakat inferior ini sering menang. Ketika salah seorang daripada mereka dipancung, maka akan tumbuh kepala yang baru. Kekuasaan tidak pernah mengecewakan mereka.


Kita perlu mengakhiri zulmat ini. Ianya perlu ditamatkan. Jangan ada lagi yang menjadi korban. Tiada siapa yang berhak disembelih kerana perbezaan etnik, status sosial, anutan dan kepercayaan. Kesenjangan antara masyarakat superior dan inferior perlu dihapuskan. Untuk menjadi kenyang, kita tidak perlu memakan pinggan. Begitu juga, untuk menjadi bangsa besar, kita tidak perlu memakan masyarakat yang kecil.


Orang-orang kecil kena berhenti menyembunyikan kuku dan taringnya. Sekiranya kita berharap pembantaian ini akan berakhir-menjadi sifar, maka kita telah mempercayai sebuah utopia yang unggul. Pembantaian ini tidak akan berakhir, cakar-mencakar ini tidak akan tamat semudah itu.


Orang-orang kecil tidak boleh sentiasa merasa kecil, bersendiri dan bergerak mandiri. Bergeraklah dalam gelombang yang besar, bergabung dengan komuniti lain. Sebatang lidi tidak akan mampu menyapu sampah.


*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.


 
 
 

Kommentarer


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page