Sekolah Masa Depan
- ZF Zamir
- Jun 15, 2017
- 4 min read
AKU masuk agak lewat ke bilik mesyuarat kecil di WORQ Coworking Space itu setelah tergopoh-gapah meletakkan kereta di tingkat 4 dan mencari ruangan tersebut di Glo Damansara. Hari Sabtu, dan pasti aku terlelap lebih lama pagi itu.
Di dalam bulatan kelihatan beberapa orang sedang khusyuk mendengar Edmond yang sedang bercakap dengan slaid di belakangnya menyuluh terang.
Sekitar 10 orang menghadiri perjumpaan ini, dan hanya aku dan Huzaifah berbangsa Melayu. Aku memaksa Huzaifah datang mendengar dan ternyata dia hadir tepat pada masanya. Aku memohon maaf kerana lewat sebelum duduk dan Edmond memaklumkan mereka baru masuk slaid pembentangan kedua.
Edmond ialah pendiri Edunation, sebuah portal ala-Khan Academy versi Malaysia yang memuatkan kesemua silibus pembelajaran di dalam sebuah website dalam bentuk video secara percuma. Aku mengenali Edmond sejak awal Teach For The Needs (TFTN) ditubuhkan lagi. Kami biasa ketemu untuk berbual dan berbincang mengenai pendidikan, terutamanya mengenai golongan terpinggir serta usaha-usaha yang boleh dilakukan di luar sistem untuk memperbaiki sistem pendidikan nasional yang maha besar itu.
Tetapi hari ini Edmond tidak mewakili Edunation. Perjumpaan hari ini sebenarnya adalah perjumpaan kepada bakal guru untuk sekolah KITA. Edmond dan beberapa orang rakannya seperti Nick dan Dr. Tee sedang membangunkan sebuah sekolah dengan konsep baru iaitu – ‘Problem Based Learning’ (PBL) atau pembelajaran berasaskan masalah.
Dalam perbincangan itu rakan Edmond, Nick, seorang pakar di dalam PBL yang sedang menyiapkan pengajian PhD beliau dalam bidang berkenaan bangun dan menerangkan bahawa di dalam sekolah itu nanti tidak akan wujud kelas konvensional atau pengajaran berasaskan subjek. Nick memberi contoh mungkin pada hari pertama persekolahan, anak-anak akan diberikan tugas untuk membuat kerusi menggunakan kadbod. Oleh yang demikian anak-anak akan bekerjasama di dalam kumpulan untuk menyelesaikan tugasan ini. Ini bermakna pengajaran berlaku dalam bentuk inter-disiplin.
Di dalam tugasan ini, guru akan membentuk pengajaran berpasukan untuk membantu anak-anak meluahkan bakat dan kebolehan mereka dalam masa yang sama membuat penemuan kendiri. Ini bermakna, murid akan mengembara di dalam sebuah pembelajaran berbentuk ‘open-ended learning’. Pembelajaran tidak lagi terhad di dalam kelas atau hanya di sekolah. Subjek-subjek seperti matematik atau sejarah bukan lagi semata-mata buku teks yang perlu dihafal dan diingati. Tetapi subjek tradisional ini hanyalah alat untuk anak menyelesaikan masalah mengikut disiplin masing-masing. Di dalam kereta ketika aku dan Edmond sedang dalam perjalanan untuk makan tengah hari usai perjumpaan tersebut, Edmond bertanya kepada aku;
“Jika setiap hari murid-murid ini menyelesaikan masalah, adakah mereka akan mempunyai masalah untuk menyelesaikan masalah dalam hidup mereka kemudian nanti?”
Persoalan Edmond ini adalah persoalan filosofikal. Mengapa anak-anak yang lahir dari sistem pendidikan nasional kita hari ini gagal menjadi manusia lantas menyelesaikan masalah negara dan masalah diri mereka sendiri? Apakah pendidikan yang mereka dapati di sekolah tidak mencukupi? Atau apakah itu pendidikan sebenarnya? Dan apakah beza di antara persekolahan dengan pendidikan?
Lebih mengganggu aku, keberanian Edmond dan rakannya menubuhkan sebuah sekolah tanpa kelas dan tanpa pengajaran tradisional berasaskan subjek adalah seolah-olah sebuah langkah 1000 tapak ke hadapan. Ini adalah kerana sebarang pembinaan serta rekabentuk kurikulum masa depan haruslah melibatkan ‘cross impact analysis’, ‘future scanning analysis method’, ‘alternative future projection’ serta ‘trends extrapolation’. Kesemua kesepakatan & konsensus terhadap item di dalam kurikulum yang bersifat masa depan ini menunjukkan mereka bukan saja bersedia bahkan yakin dengan idea gila ini.
Ini menjadikan sekolah KITA sebagai satu-satunya sekolah di dalam Malaysia yang akan memperkenalkan PBL sebagai kurikulum mereka. Bahkan apabila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan KITA, Edmond menjelaskan K bermaksud Knowledge, I bermaksud Imagination & Integrity, T bermaksud Tenacity & A bermaksud Adaptability.
Sebenarnya, jika model sekolah KITA ini berjaya dilaksanakan, ia akan memberi idea baru kepada sistem pendidikan nasional yang tidak lagi berfungsi dengan betul. Hari ini, falsafah pendidikan negara yang digubal 30 tahun lalu tidak lagi mampu memenuhi keperluan masa depan negara. Ini kerana dunia global sedang berdepan cabaran teknologi artificial intelligence & internet of things. Berikutan ini zaman kita sedang dipacu oleh dunia automasi. 70% bentuk pekerjaan konvensional pada hari ini bakal terhapus hanya dalam 10 tahun ke depan. Proletariat yang disebut Marx beratus tahun dahulu akan digantikan dengan generasi precariat.
Para buruh hari ini akan digantikan dengan mesin-mesin. Saranan Elon Musk & Mark Zuckerberg mengenai Universal Basic Income (UBI) mengingatkan kita bahawa penyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa pendidikan di Malaysia berfungsi untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi & jasmani adalah penyataan lapuk dan tradisional. Adalah sesuatu yang mustahil untuk mencipta anak-anak yang mempunyai nilai dan keupayaan yang sama menggunakan mesin cetak yang sama di sekolah.
Kita tidak lagi perlukan sebuah masyarakat yang hanya mempunyai satu bentuk dan sejenis pemikiran sahaja. Yang kita perlukan hari ini adalah sebuah masyarakat yang dinamik dan menghargai kepelbagaian. Microsoft melalui HoloLens telah mencipta sebuah revolusi dalam teknologi augmented reality. Masa depan komputer mungkin bukan lagi laptop atau di telefon pintar, tetapi di dalam otak manusia menggunakan teknologi Neuralink menjadikan AI di dalam badan dan kawalan kita. Pendidikan nasional kita tidak lagi boleh tersangkut di dalam bilik darjah dengan kerusi meja bersusun dan papan hitam sahaja. Coding pada hari ini telah menjadi subjek paling penting di dunia. Perlumbaan ekspedisi bukan lagi terhad untuk menakluki Marikh tetapi hari ini dunia berlumba untuk mengetahui adakah Kepler-186f boleh diduduki?
Sekolah KITA oleh Edmond dan rakan-rakannya mengingatkan aku kepada sekolah Ad Astra yang dibina Musk untuk anak-anaknya. Kata Musk lagi, anak-anaknya seronok untuk ke sekolah kerana mereka dibenarkan meneroka, ini berbeza ketika zaman persekolahannya di mana mereka diminta untuk mengikut dan menurut kurikulum sekolah. Ini selari dengan kenyataan Paulo Freire di dalam Pedagogy of Solidarity;
“Dengan kepantasan revolusi teknologi dalam dunia global hari ini, saya percaya salah satu kualiti yang perlu kita perhatikan di dalam pendidikan adalah kualiti terhadap kebolehan untuk kita mencipta jawapan kepada cabaran yang berbeza. Inilah yang diperlukan di dalam pendidikan kontemporari iaitu; pendidikan harus mencipta – bukan lagi melatih manusia,”
Kata Freire lagi, terdapat perbezaan radikal di dalam perkataan melatih dan mencipta. “Mencipta dalah sesuatu yang lebih mendalam berbanding latihan. Penciptaan diperlukan untuk menukarkan pemikiran kritikal manusia kepada sebuah semangat ingin tahu yang intuitif yang menjadikan kita semua manusia. Dari sudut pendidikan, soalan paling serius yang perlu dijawab di antara hari ini dan masa depan ialah bagaimana untuk mencipta manusia yang tidak akan hilang dan sesat di dalam teknologi yang dicipta itu nanti,”
Untuk ibu-bapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Sekolah KITA yang akan memulakan sesi perseokalahannya pada Januari 2018 nanti, boleh hubungi Facebook aku (ZF Zamir). Aku sendiri sedang mencari calon ibu bapa dari kalangan bangsa Melayu yang berminat untuk menjadi sebahagian dari komuniti kecil perubahan ini dan jika model sekolah ini berjaya kelak, tak mustahil ianya akan boleh dikembangkan ke komuniti-komuniti lain yang memerlukan.
Comments