Meluruskan Sikap Beragama
- Mohd Syazreen Abdullah
- Jun 13, 2017
- 3 min read

Di awal tulisan Jalaluddin Rakhmat dalam bukunya Islam Aktual ada mengisahkan tentang anak muda yang bernama Ismail. Kisah berlaku sekitar tahun 1970. Menurutnya pemuda tersebut iaitu Ismail adalah bekas kaderisasi Muhammadiyah dan mempelajari kefahaman agama dalam konteks Muhammadiyah. Sudah pasti Ismail menganuti Islam faham Muhammadiyah iaitu membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran al-Quran dan Hadis. Maka kepulangan Ismail di kampungnya itu membawa perjuangan faham Muhammadiyah dengan berhasil menghilangkan azan awal pada hari Jumaat yang dianggapnya tidak sunnah dan semua dibid’ahkan olehnya. Sikap seperti Ismail ini sudah tentu masih wujud dalam budaya keagamaan kita pada hari ini. Lebih radikal seperti bukan sahaja membid’ahkan semua orang malah melabelkan Wahabi, Syiah, mahupun kafir.
Namun seperti Ismail, perbezaan dalam perkara sebegitu tidaklah menjadi fokus perhatiannya selamanya. Dia harus menyedari dalam tempoh kehadapan bahawa cabaran dunia Islam moden lebih bersifat mencabar. Lalu Ismail akui bahawa menyikapi perbezaan tidak akan berhenti dan pasti mengambil sikap menghalang perbezaan itu tidak akan memajukan sikap beragama. Dari situ dia menyedari anak muda sewaktu tempoh mudanya bersemangat membid’ahkan orang akan akur bahawa zaman menuntut mereka untuk tidak lagi berdebat tentang hal khilafiah. Sebaliknya mereka harus berdiskusi tentang Islam yang lebih berkemajuan dalam kebudayaan, filsafat, ekonomi, politik mahupun sosial masyarakat.
Kisah seperti anak muda Ismail ini bukanlah perkara asing lagi dalam budaya sikap beragama kita. Menariknya Ismail telah menyedari lebih awal tentang harus berhenti membincangkan hal perbezaan dan mengalih kepada Islam yang lebih progresif. Malangnya kita belum lagi menampakkan sikap yang berkehadapan atau terbuka dalam beragama. Kita masih menganuti faham Ismail yang kecil berbanding Ismail yang dewasa. Maka cuba dibayangkan kefahaman Ismail ketika kecil dibawa dalam dunia Islam moden yang mencabar dan bersifat globalisasi ini. Sudah tentu natijahnya Islam akan dilihat mundur dan tidak maju mendepani segala perkara. Agama akan terus dilihat watak asing dalam dialog keharmonian antara silang agama.
Sikap tidak maju seperti gagal mendepani perbezaan adalah faktor penting mengapa hubungan antara agama dan pluraliti dalam kehidupan bermasyarakat seringkali gagal mencapai kesatuan. Sepertimana dinyatakan oleh sarjana Studi Islam iaitu Harun Nasution bahawa kita harus memperkenalkan tradisi yang tidak menghakimi perbezaan faham. Menurutnya lagi bahawa kebebasan menyampaikan pendapat dan beragama haruslah dipupuk kerana itu beliau seringkali menasihati para muridnya agar sentiasa meluruskan dulu cara berfikir. Oleh demikian itu, cara fikir sebegini menjadikan tafsiran agama sesuai dengan tuntutan zaman. Inilah yang disebut pembaharuan dalam pemikiran. Sikap pembaharuan ini lahir daripada refleksi masalah yang ada dalam masyarakat seperti kemiskinan, mahupun kemunduran.
Kesenjangan Dalam Pemikiran Islam
Kisah Ismail ini adalah jentikan kecil untuk kita bahawa Islam adalah agama yang relevan dan mengandungi nilai yang sentiasa moden. Agama tidak perlu dihapuskan namun harus dibincangkan malah turut ditimbulkan tafsirannya yang baru kerana Islam versi hari ini sudah tertutup kepada tafsiran sempit oleh adat atau tradisi. Kesenjangan tentang pemikiran Islam dalam masyarakat melayu Muslim hari ini adalah malang yang tidak pernah dirasai sengsaranya sehingga tumbuh menanah membusuk di setiap amalan dan tindakan orang yang mengaku beragama. Berangkat dari satu sudut itu, Islam ditentukan atau dipraktik berdasarkan keputusan yang mengandungi kepentingan politik kelompok atau badan tertentu. Islam bersifat institusi yang akan dikawal oleh pemerintah, agamawan yang mengawal wacana autoriti dalam beragama itu sahaja. Maka polemik perbezaan dalam teks klasik fiqih atau kalam akan terus menerus disempitkan dan disekat kebebasan akal untuk berwacana.
Dengan begitu, mengulang kembali anjakan berfikir sebagaimana yang diseru oleh Harun Nasution bahawa harus membezakan antara pemikiran agama yang tradisional dengan yang rasional. Tradisional yang dimaksudkan itu adalah dogma keagamaan yang membuatkan terhentinya proses dinamika ilmu pengetahuan sehingga ruang gerak berfikir umat Islam menjadi sempit. Bermula dengan benih-benih perbezaan khilaf, lalu menyatu cara berfikir ala Isis, maka penyakit yang berkali-kali ada dalam pemikiran Muslim ini telah menganggu dalam kehidupan beragama. Sepertimana yang dikutip oleh Bakhshayesi dalam Ten Decade’s of Ulama Struggle bahawa Sayyid Jamaluddin al-Afghani seorang pemikir Islam yang obsesi tentang kesenjangan ini mengatakan penyakit ini hadir (1) lewat sifat absolutisme dalam mesin pemerintahan, (2) sifat kepala batu dan kebodohan massa rakyat Muslim serta kemunduran mereka dalam ilmu dan peradaban (3) timbulnya idea-idea korup dalam bidang agama dan non-agama. Hal ini telah menghasilkan pemikiran keagamaan yang kaku dalam pemikiran kelompok yang tidak lagi menghormati pemahaman kelompok yang lain.
Apakah lewat kesenjangan hal ini kita harus mengkafirkan sesama Muslim hanya kerana perbezaan pendapat? Atau lebih brutal menghalalkan darah manusia atas kejahilan kita. Demikian itu yang diperlukan saat ini adalah pemikiran agama yang rasional mampu membawa kepada kemajuan umat Islam. Sudah tentu ajaran agama yang berkemajuan terhalang daripada korupsi. Umat beragama harus berani dalam berfikir membawa pesan kesedaran manusiawi. Kita memerlukan gelombang pengertian Islam yang lebih terbuka, tidak fanatik mazhab atau nonsektrian dan mencintai dialog saling sedia belajar dari mana tradisi apa pun.
Comments