top of page

Puasa: Menahan dan Melawan

  • Rien Sd
  • Jun 13, 2017
  • 4 min read

KITA semua tahu, ritual utama yang bertemakan bulan Ramadan adalah puasa selain daripada ritual-ritual yang lain. Puasa menjadi wajib di bulan Ramadan. Dirukunkan kepada manusia-manusia beriman di muka bumi.


Cuma, adakah cukup sekadar kita mengetahui Ramadan itu mulia dan puasa itu wajib? Atau setelah menghafal niat puasa dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, maka ritual puasa kita sudah sempurna, selesai dan cukup kemas?


Bertolak daripada itu, maka kita memiliki tugas yang besar, yang perlu dilunaskan. Sesuai dengan ganjaran yang besar untuk sebuah bulan perlawanan yakni Ramadan. Ritual puasa perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas mencakup segenap lapangan ilmu. Tidak cukup hanya sekadar pada bacaan fekah, namun kita juga perlu mengamati ritual puasa dengan bacaan sosial (sosio-ekonomi, sosio-politik dan sosio-budaya).


Ritual puasa yang terperangkap dalam bacaan fekah, tidak mencapah. Kita menjadi penat membincang perihal teknikal dan mekanistik. Masa banyak terbuang dengan mengulang-ulang debat fekah yang pernah mengisi sfera kesarjanaan para ulama silam. Apa yang lebih menyedihkan, debat-debat fekah itu diulang dengan nada provokatif dan sentimen. Akibatnya, kita hanya mengotorkan lapangan ilmu yang pernah ditinggalkan para ulama silam. Bertelingkah dalam urusan ijtihadi tidak akan pernah selesai. Tidak ada satu jawapan absolut. Sekiranya kita meninjau sejarah kelahiran mazhab-mazhab fekah dalam Islam, kita akan melihat betapa para ulama silam cuba berdialog dengan kondisi sosial, sistem masyarakat dan konteks semasa demi mempermudahkan bacaan agama dalam kerangka fekah dan ritualistik.


Oleh itu, ritual puasa perlu dikembang luaskan bacaannya, sehingga terjun ke dalam kancah sosial dan lapangan kehidupan masyarakat agar ritual puasa tidak sekadar eksklusif kepada para pengucap syaadah, akan tetapi lebih bersifat sejagat, universal dan menonjolkan sisi-sisi kemanusiaannya (al-Insaniyyah).

Puasa Ritual & Puasa Sosial


Sejak kita di bangku sekolah, sehinggalah kita pergi ke masjid hari-hari mendengar kuliah ta’lim para asatizah, apa yang kita dapati adalah, definisi puasa masih sama dan berulang-ulang. Kita diminta menerima definisi itu tanpa pertikai.Tanpa kita sedari, definisi itulah yang kemudiannya membentuk pandang dunia (worldview) kita pada keseluruhan ritual puasa.


Ustaz di sekolah kita beritahu; puasa itu adalah menahan lapar dan dahaga. Kemudian, di masjid, musollah kita diberitahu benda yang sama dengan tambahan jargon yang canggih iaitu; puasa adalah menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan yang paling penting-maqasid puasa-iaitu la’allakum tattaqun (agar kamu bertaqwa).


Meminjam semangat Al Qur’an yang menyeru kepada Islam Kaffah (menyeluruh), maka kita tidak boleh mengabaikan sisi sosial dalam setiap ritual yang dikhitabkan (diperintahkan) oleh Tuhan kepada kita. Menanggalkan sisi sosial, akan mewajahkan Islam yang sempit, tidak relevan dan gagal untuk berdialog dengan massa. Sedangkan, Islam Mekah dan Islam Madinah di bawah pasukan Nabi Muhammad, tidak sedikitpun mengasingkan diri dan bersorok daripada lapangan sosial. Islam yang menghidupkan ketika itu, tidak sama sekali kelihatan mati fungsi. Tanpa mengabaikan sisi spiritual, Nabi Muhammad turut merespon perihal sosial yang tidak beres dan memformulasikannya sejajar dengan keinginan wahyu.


Maka, puasa perlu didefinisikan semula-mengambil kira sisi sosial iaitu puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari akan tetapi, puasa adalah melawan budaya konsumerisma, anti-kapitalisitik, dan berfoya-foya.


Ini semangat Ramadan yang perlu dihidupi. Maqasid puasa yang disebutkan dalam Al Quran; agar kamu bertaqwa, tidaklah semudah berdahaga dan berlapar. Akan tetapi, kita perlu melunaskan mesej sosial yang cuba disampaikan Tuhan dalam perintahnya itu.


Konsumerisma, Kapitalisma dan Kemiskinan


Kita ada dua belas bulan dalam setahun dan Tuhan memperuntukkan satu bulan iaitu bulan Ramadan untuk merekrut kita melawan konsumerisma dan kapitalisma. Ini kerana, sebelas bulan yang lain, kebanyakan daripada kita dibelai oleh kemapanan (establishment) sehingga memboroi, menjadi pembela status quo dan sibuk menumpukkan harta bergunung-ganang.


Budaya konsumerisma yang melampau-lampau adalah musuh Islam yang sangat besar. Kita dapat lihat ketika Islam menentang keras amalan membazir dan berfoya-foya untuk kesenangan semata-mata. Bahkan, Al Quran turut menggambarkan kehidupan di dunia sebagai kesenangan (mataa’) dan tipu daya (ghurur). Ritual puasa di bulan Ramadan adalah untuk menjiwai kesusahan, merasakan sakit dan keperitan kaum murbawan yang dipijak, dibantai oleh hegemoni. Ketika status sosial mereka direndah-rendahkan hanya kerana mereka tidak mendapat kemewahan dalam sosio-ekonomi.


Ritual puasa juga merupakan ritual yang menyinggung kekayaan melampau-lampau sehingga menjadi lupa bahawa pada harta setiap yang kaya ada harta setiap yang miskin. Untuk menjadi seorang yang dermawan, kita tidak perlu kaya raya, cukup sekadar berkongsi apa yang ada. Sekiranya di tangan kita ada sebiji kurma, maka itulah yang kita belah dan dikongsi bersama. Betapa dahsyat falsafah puasa yang diperintakan oleh Tuhan.


Bagi melatih diri, untuk seorang pemula yang cuba menentang konsumerisma dan menjiwai falsafah kepayahan-kemiskinan di bulan Ramadan, perkara yang paling wahid adalah kita perlu berhati-hati untuk memasuki sfera syaitan dengan bendera-bendera mereka yang terpacak kukuh iaitu bazaar Ramadan. Kita selalu tewas dengan lapar dan selalunya kita menggaji lapar dan dahaga dengan juadah yang melampau-lampau. Dengan sikap ini, sebenarnya kita bukanlah membawa bungkus makanan ke rumah tetapi bendera syaitan yang terpacak di sepanjang bazaar Ramadan. Syaitan inilah, sekiranya diterjemah dalam bahasa ideologi berbunyi konseumerisma dan kapitalisma.


Setiap Bulan Adalah Ramadan, Setiap Hari Adalah Puasa


Sekadar ingin bersikap pesimis, ada dalam kalangan kita yang mungkin terganggu dengan anjuran bersungguh-sungguh beramal di bulan Ramadan dan mengubah karakter kita menjadi seorang yang taat secara mendadak dan drastik apabila tiba bulan Ramadan. Satu hal yang perlu kita perhalusi dan malangnya hal ini selalu terlepas pandang oleh para agamawan kita yang mengajak umat kepada ketaatan iaitu-menekankan kepada seluruh kaum muslimin, bahawa setiap bulan adalah Ramadan, setiap hari adalah puasa. Falsafah Ramadan dan ritual puasa itu perlu berterusan berdenyut dalam rutin kita setiap masa. Bukan sekadar menongkat dagu, menunggu Ramadan ketika bulan Sya’ban dan menangisi Ramadan ketika tiba bulan Syawal.


Ritual puasa, pada makna ritual dan sosial. Perlawanan kita melawan konsumerisma, kapitalisma dan kefoya-foyaan perlu berlangsung sepanjang tahun-dua belas bulan dalam setahun-dua puluh empat jam dalam sehari. Ini semangat Ramadan yang perlu dihidupi, bukan semata-mata berdentum-dentum di bulan Ramadan akan tetapi berdenyut berterusan di setiap

masa. Kita perlu menahan dan melawan setiap saat, setiap minit,setiap jam, setiap hari, setiap bulan dan sepanjang hidu


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page