top of page

Kekejaman Adalah Cara Memerintah-Niccolo Machiavelli

  • Wan Khuzairey
  • Jun 12, 2017
  • 4 min read

DALAM dunia politik, ada manusia percaya bahawa pemimpin negara seharusnya menjadi pemimpin yang sangat baik seperti apa yang kita selalu gambarkan dalam tanggapan idealistik kita. Contohnya, ahli politik seharusnya menjadi seorang penyelamat, lelaki mahupun wanita yang mampu menghidupkan kembali moral-moral yang baik dalam keadaan negara yang sedang berlaku korupsi dan kacau bilau. Namun kita mungkin akan terkejut apabila kita mengetahui dalam dunia politik telah berlaku banyak penipuan dan ketirisan dalam pentadbiran. Dengan berlaku keadaan seperti ini, kemungkinan kita berasa kecewa kerana politik idealistik yang kita mahukan tidak berjaya. Apa yang mengejutkan lagi ialah, perkataan 'Machiavellian' yang selalu kita gunakan untuk menggambarkan satu keadaan politik yang teruk dan licik akan membantu kita untuk memahami bahaya sekiranya kita menolak terus teori politiknya.


Penulisan Machiavelli mencadangkan supaya kita tidak terkejut sekiranya ahli politik itu bersifat pura-pura dan menipu. Apabila tindakan sedemikian dilakukan, kita tidak seharusnya berpendapat bahawa mereka adalah manusia yang tidak bermoral atau kejam. Tambah Maciavelli lagi, ahli politik yang baik bukanlah seorang yang jujur, ramah ataupun telus, ahli politik yang baik seharusnya mempunyai hati yang kering, licik, tahu untuk mempertahankan apa yang dilakukan dan yang paling penting cinta akan negara. Selepas kita memahami idea ini, maka kita akan berfikir kembali sebenarnya ahli politik yang bagaimana kita mahukan.


Konsep Politik gaya Machiavelli


Machiavelli amat tertarik untuk menjawab soalan yang asas berkaitan dengan politik iaitu adakah boleh untuk menjadi seorang ahli politik dan manusia yang baik dalam masa yang sama? Machiavelli menjawab kita tidak boleh untuk menjadi seorang ahli politik dan manusia yang baik dalam masa yang sama. Dalam erti kata mudahnya, untuk membuat perkara yang sepatutnya dalam politik adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah manusia yang baik.


Machiavelli menulis dalam karyanya yang paling popular iaitu The Prince (1513), tentang bagaimana untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa dan apakah yang membuatkan manusia itu menjadi pemimpin yang paling efektif. Machiavelli mengatakan bahawa tanggungjawab seorang pemimpin yang paling besar adalah mempertahankan negaranya dari ancaman dalaman mahupun luaran yang mampu menggugat pentadbiran negara. Ini bermakna seorang pemimpin itu harus tahu untuk melawan dan yang paling penting dia wajib mengetahui mengenai reputasi dan pengurusan yang berlaku disekelilingnya.


Rakyat juga tidak seharusnya mempunyai anggapan bahawa pemimpin mereka adalah seorang yang lembut dan senang untuk ditindas atau diingkari arahannya. Seorang pemimpin seharusnya mampu mewujudkan persepsi yang mengatakan bahawa dia adalah seorang yang kejam dan dibenci oleh masyarakatnya, seorang yang tegas dan tidak mudah didekati tetapi tidak keterlaluan. Ada juga soalan yang mengatakan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, adakah rakyat perlu menakuti atau mencintai pemimpin mereka? Untuk soalan ini, Machiavelli menjawab secara teorinya adalah baik sekiranya seorang pemimpin itu mempunyai kedua-dua sifat ini, tetapi seorang pemimpin seharusnya menunjukkan sifat keganasan kerana dengan sifat ini sahaja yang mampu memastikan rakyatnya berada dalam kawalan.


Peranan Agama Terhadap Pemimpin


Pandangan Machiavelli yang paling radikal adalah penolakan agama sebagai asas panduan bagi seorang pemimpin. Agama yang dimaksudkan pada ketika itu adalah agama Kristian. Pada zaman Maciavelli, malah sehingga ke hari ini pun, agama mencadangkan bahawa seorang pemimpin seharusnya bersifat pemaaf, tenang, pemurah dan bertoleransi. Golongan agama berfikir bahawa seorang yang baik dalam politik adalah seorang yang baik dalam agamanya. Idea ini dibangkang sepenuhnya oleh Machiavelli. Beliau meminta pembacanya untuk melihat ketidakserasian antara etika agama (Kristian) dengan tadbir urus yang baik melalui kes Girolamo Savonarola.


Savonarlo merupakan seorang idealistik Kristian yang bersungguh-sungguh untuk membina “The City Of God” di Florence. Dia telah menyampaikan syarahan yang menentang kepada ketirisan dan kekejaman kerajaan Medici malah berjaya memimpin Florence menjadi sebuah negara yang aman, demokratik dan telus. Namun begitu, kepimpinan Savonaralo tidak bertahan lama, kerana menurut pandangan Machiavelli ia adalah berpunca daripada kelemahan agama Kristian yang mementingkan pemimpin untuk menjadi ‘baik’. Hal ini berlaku apabila pasukannya menjadi ancaman kepada Pope Alexander yang korup, lalu rakan baiknya ini membuat pelan dengan menangkap, menyeksa, menggantung dan lalu membakarnya ditengah-tengah bandar Florence. Inilah yang dimaksudkan oleh Machiavelli bahawa jika pemimpin politik mempunyai sifat yang baik, maka mereka akan ditimpa dengan perkara yang buruk. Akhirnya mereka akan berhadapan dengan satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan kemurahan hati, kebaikan atau kesopanan, Kerana mereka akan berdepan saingan atau musuh-musuh yang tidak patuh dengan hukum-hukum yang dipegang.


Melalui contoh tragedi yang gagal ini, Machiavelli mencadangkan bahawa pemimpin boleh menjadikan jenayah sebagai salah satu dari pilihan dalam pentadbiran yang digelarkan sebagai 'kuasa jenayah'. Machiavelli menggariskan beberapa kriteria yang yang perlu untuk melaksanakan 'kuasa jenayah' ini, antaranya ialah kuasa jenayah ini dilakukan adalah demi mengekalkan keselamatan dalam negara, mesti dijalankan dengan pantas (selalunya pada waktu malam), dan perkara ini tidak dilakukan dengan kerap supaya tidak berlaku kekejaman yang tidak wajar. Untuk ini, Machiavelli memberi contoh melalui apa yang terjadi kepada Cesare Borgia.


Apa yang dilakukan oleh Cesare adalah selepas dia menawan bandar Casena, dia mengarahkan seorang daripada tentera upahannya iaitu Remiro De Orco untuk membawa aturan baru ke dalam negara tersebut. Remiro melakukan arahan ini dengan menggunakan kaedah kekejaman. Golongan lelaki dipancung di depan keluarga mereka sendiri, harta-harta penduduk dirampas, siapa yang didapati membelot, maka hukuman mati akan menanti. Selepas itu, Cesare mengkhianati Orco dengan membelahnya kepada dua dan meletakkan mayatnya di kawasan umum hanya untuk mengingatkan penduduk di situ siapa ketua yang sebenar. Siapa yang cuba-cuba menunjukkan kuasa atau penentangan pasti akan dibunuh.


Machiavelli mengakui bahawa kejadian ini telah menelan banyak nyawa dan menumpahkan banyak darah. Tetapi selepas tragedi ini, Cesare bertindak dengan membuat potongan cukai, mengimport beberapa barangan yang harganya murah, membina pentas teater dan mengatur beberapa festival yang meriah supaya penduduk melupakan tragedi buruk yang pernah terjadi.


Kesimpulan


Machiavelli adalah salah satu daripada ahli politik yang menolak atau tidak langsung menggunakan idea politik daripada ahli-ahli politik yang sedia ada. Sekiranya kumpulan idealis bertarung Isme melawan Isme atau idea melawan idea, Machiavelli memilih untuk berfikir secara realistik iaitu dengan menerapkan teori bersesuaian dengan keadaan masyarakat, walaupun kebanyakannya pahit, namun ia adalah satu teori yang berkesan.




 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page