Jali Si Cacat Dah Mati
- Fdiey Efdi
- Jun 12, 2017
- 2 min read

MALAM itu, seluruh penduduk Kampung Muafakat berpusu-pusu ke rumah Jali. Maaf. ARWAH Jali. Berita pemergian Jali itu diketahui oleh Mak Melor yang telah ke rumahnya petang tadi untuk mengusirnya dari kampung. Mak Melor serta yang lain bersependapat bahawa Jali Si Cacat lah penyebab proses persemaian padi sukar berlaku di sana.
Setelah hampir lima minit menghulurkan salam yang tidak berbalas, Mak Melor menjadi bimbang dan mengambil keputusan untuk memecah masuk rumah Jali. Sebenarnya sudah lama Mak Melor ingin berkelakuan sedemikian. Cita-citanya untuk menjadi seorang heroin kampung selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Mak Melor terjumpa jasad Jali terbujur kaku di ruang dapur, di tapak tangan kanannya sebilah keris.
Keris... cliche bukan?
Berderau darah Mak Melor.Dia dengan segera mengucapkan lafaz Astaghfiruahalazim kerana mempercayai Jali telah membunuh diri.Kemudian dia bergegas keluar dari rumah arwah dan terus menuju ke rumahTok Ketua.
Sebelum Tok Ketua dan penduduk lain tiba di rumah arwah, dari jauh mereka melihat cahaya yang bersinar-sinar dari arah itu. Langkah mereka dipercepat dan rombongan itu tidak lama kemudian sampai di kaki tangga rumah Jali. Mereka mendapati bahawa kilauan tadi berpunca daripada cecair emas yang mengalir dengan perlahan dari dalam rumah.
Tok Ketua & co. menaiki tangga dan mencari sumber cecair emas itu. Akhirnya sampailah mereka pada sumber cecair tersebut iaitu ruang luka di tubuh Jali.
Tiada siapa yang mempercayai kata-kata Jali Si Cacat sebelum ini. Dia yang mula menjadi cacat empat tahun lepas (akibat kemalangan dengan sebuah lori membawa bahan toksik) hidup terpinggir dari masyarakat Kampung Muafakat kerana tidak lagi dapat menyumbang kepada ekonomi di sana.
Dia pernah memberitahu orang kampung bahawa sejak kemalangan tersebut, dia menjadi orang kaya baharu disebabkan bahan toksik yang tertumpah ke badannya. Darah yang mengalir dalam tubuh Jali kini bukan darah biasa-biasa. Bukan merah, bukan putih, tetapi emas. Namun, tiada siapa mahu menghadamkan maklumat baru yang tidak masuk akal itu.
Tidak kau, tidak aku. Apatah lagi orang-orang kampung itu.
Setelah mayat Jali dikafankan, Odin, seorang lelaki berusia kira-kira 40-an sempat mengeluarkan telefon bimbit dan dengan segera mengambil swafoto bersama jasad Jali. Dia kemudian membubuh kapsyen,
'Semoga tenang di sana, Bro. Terima kasih kerana menjadi sahabat sejati. Nanti di syurga jangan lupa tanya tentang aku'.
Gambar si Odin itu mendapat seratus dua puluh tiga likes, dan Jali Si Cacat mati akibat ditusuk keris hipokrasi kaumnya sendiri.
Comments