SETELAH AGAMA DIBISUKAN MANUSIA INDIVIDUALISTIK (SIRI 1)
- AINA WAFI AB KADIR
- Jun 11, 2017
- 4 min read

AGAMA hari ini menjadi kepunyaan manusia individualistik. Yang paling banyak solat adalah yang terbaik, yang paling sedap mengaji adalah yang paling beriman, bahkan imam masjid yang petang hari bergaduh memaki orang di pasar pun boleh diketepikan kesalahannya hanya kerana beliau memegang gelaran imam. Ya. Penilaian baik atau dekatnya hubungan manusia dengan Tuhan itu dinilai masyarakat dari sudut berapa tinggi bilangan rakaat terawehnya, bilangan malam yang dibangunkan qiamullailnya atau bilangan penentangan terhadap golongan yang digelar kuffar ini.
Ad Deen sepertimana yang diterangkan oleh Prof Syed Muhammad Naqib Al Attas terpecah kepada 2 bahagian. Kalimah Ad Deen berasal dari kalimah Ad Dain iaitu hutang, membawa kita menelusuri hubungan dan ikatan antara manusia dengan Tuhan. Ad Dain yang disebutkan ini merupakan simbol perhutangan antara manusia terhadap Tuhan - yang mana hutang akhirnya menjadikan manusia bergerak demi melunaskannya melalui jalan-jalan penghambaan dan penyerahan. Sebab itulah kalimah Islam membawa makna sejahtera, penundukan dan penyerahan. Ia berkisar penyerahan dan kesediaan kita menundukkan diri kepada Tuhan, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang-Nya.
Adapun segala ritual agama seperti solat, puasa, zakat, bacaan Al Quran dan pelaksanaan haji termasuk dalam pecahan ini. Kerana ia merupakan hak-hak Tuhan dan perlu dijelaskan manusia agar terbebas dari hutang-hutang dengan-Nya.
Manakala sisi pandang kalimah Ad Deen juga dikupas secara berbeza bilamana kalimah Al Mudun iaitu bandar menjadi salah satu kalimah yang dekat dengan Ad Deen. Al Mudun (bandar) yang di dalamnya punya sistem serta menuntut komunikasi dan partisipasi sesama manusia itu sendiri. Kali ini, hak-hak yang perlu dilunaskan ialah hak terhadap sesama manusia. Yang mana kita takkan mampu memisah dan mematikan kenyataan ini bahawa manusia memang akan terus dan saling memerlukan samada dalam kerangka baik atau jahat.
Ia merupakan satu binaan sosial, di dalamnya akan ada penyertaan antara manusia – bila-bila sahaja perkara yang baik boleh bertukar menjadi buruk akibat sifat-sifat buas manusia. Dan sebab itulah agama didatangkan. Sebagai pembela kepada mereka-mereka yang ditindas oleh mereka yang kuat dan bongkak. Dan agama hadir, sebagai pembebas kepada hal yang batil ini.
Tetapi sayang, tidak ramai masyarakat kita yang mahu berpenat lelah bersengkang mata menghadap dan membaca kupasan-kupasan oleh para ilmuwan Islam hinggakan makna ad deen (agama) hanya dilihat dari sudut individual sahaja. Sedangkan sudut kolektif – perkumpulan yang dibawa dalam agama akhirnya diketepikan. Sebab itu kita menemukan masyarakat yang sangat tenang dengan bilangan rakaat solat, atau kekerapan berwudhu’ sebagai penyejuk muka, atau sedekah-sedekah yang diberikan kepada orang miskin bila Ramadan datang atas sebab mencari pahala mereka sahaja. Agama pada mereka adalah ritual-ritual persendirian yang memang disebutkan ganjaran-ganjarannya di dalam Kitab Suci dan hadith Nabi sahaja.
Mereka lupa, kalau usaha-usaha melepaskan masyarakat dari kebodohan adalah hal yang lebih asas sebelum mula melaksanakan ritual ibadah. Juga mereka lupa kalau melepaskan masyarakat dari beban hutang serta krisis kos sara hidup adalah salah satu bentuk terjemahan betapa sejahteranya agama? Dan mereka buta bila penguasa menelan duit rakyat, kemudian rakyat tersekat dengan pelbagai masalah sehingga rosak dan punah institusi keluarga dan sosial, ia termasuk perkara yang harus dilawan oleh golongan yang mengisytiharkan diri mereka itu Muslim dan Mu’min. Benarlah telahan tokoh revolusi Iran, Shariati bahawa musuh-musuh kita tidak lagi bersenjata. Ia boleh jadi satu sistem, emosi, pemikiran, cara hidup, cara bekerja, cara berfikir, penjajahan budaya dan muslihat agama.
Gerakan-gerakan yang membawa pembebasan suara yang disekat, gerakan yang berusaha membongkar salahlaku pemerintah atau gerakan-gerakan yang isinya mahu mengembalikan masyarakat kepada perkara yang sebenar dan dekat dengan Al Quran serta hadith ini dipandang sebagai gerakan yang memberontak, gerakan yang tidak menghargai tradisi masyarakat, gerakan yang dipenuhi marah-marah.
Ya, ia memang gerakan marah-marah. Tetapi ia bukan gerakan ganas yang memilih fizikal sebagai jalan mudah. Pendidikan merupakan akar kepada gerakan-gerakan seperti ini. Untuk memahamkan masyarakat bahawa agama itu bukan semata ritual, bahkan partisipasi sosial sahaja sudah ditentang keras, apatah hendak mengubah hal yang lebih mega?
Ritual ibadah tidak pernah bermasalah. Malahan ia merupakan satu tuntutan agama yang wajib diselesaikan. Tetapi kebanyakan pelakunya tidak mampu mencari dan memahami maksud dan intipati ritual-ritual tersebut dan berusaha menterjemahkan ia dalam kehidupan sosial bersama masyarakat. Ibadah fardhu dilihat sebagai jalan termudah untuk menggapai keredhaan Tuhan dan memiliki ganjaran syurga. Sebab itu apa sahaja perkara yang diletakkan atas nama agama, dijual-jual, ia pasti akan laku dengan cepat. Manusia hari ini tergila-gilakan agama dengan hanya berasa puas bila 20 kali tunggang-tonggek bersujud di masjid.
Barangkali masyarakat tidak tahu kalau solat itu, natijah hujungnya adalah utuk mencegah kemungkaran?
“…Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Al ‘Ankabut:45).
Jadi, adakah mencegah kemungkaran ini sekitar menangkap orang lelaki yang tidak berpuasa? Atau menerjah masuk ke dalam hotel-hotel murah dan tidak ke hotel-hotel besar semata mencari penzina? Atau menulis status di Facebook menyuruh perempuan ternoda untuk lebih memelihara farajnya sahaja?
Apakah agama hanya sekadar itu? Apakah agama menjadikan penganutnya sebagai polis moral bilamana orang yang tersalah masuk tandas layak dibelasah ramai orang? Atau orang dari parti bukan Islam mengedar kurma layak dimaki dicerca imam masjid entah dari kampung mana? Apakah agama menjadikan penganutnya tiba-tiba sahaja jadi bisu, diam menikus - tidak melawan kebatilan, hak-hak rakyat yang tidak diberi dan dirampas penguasa hanya atas alasan sabar-sabar yang selalu dipetik orang-orang sebegini? Apakah agama memang tujuannya untuk mempasifkan manusia?
Kata Shariati, agama berfungsi sebagai sesuatu yang lebih signifikan, datang melalui perantaraan Rasul yang dipilih Ilahi iaitu untuk menyeru masyarakat atau bangsa yang mereka tangani kepada tanggungjawab. Fungsi kenabian – risalah agama yang dibawa mereka ialah menatijahkannya untuk bertindak sebagai saranan protes terhadap nilai dan polisi yang diterima dalam masyarakat dominan.
Dan perkara inilah yang telah dilepas pandang oleh masyarakat. Agama tidak seharusnya terkepung dalam fungsi-kependetaan sahaja. Ia hakikatnya perlu menjadi pembeza antara hak dan batil, kemudian menyeru manusia kepada tindakan, bukan terbungkam, terdiam dan jadi pengecut untuk melawan!
Comentários