top of page

Cerpen Tengah Malam

  • Izzah Dejavu
  • Jun 10, 2017
  • 3 min read

Aku menunggu di kaki lima bazaar Ramadhan bersebelahan LRT Universiti yang sentiasa sibuk dengan siswa-siswi yang bergaya hipster, pekerja kilang yang baru pulang dengan van kecil, muka lelah pekerja-pekerja bertali leher, dan ricik peluh peniaga bazaar yang dalam diam-diam khuatir jika jualan tidak habis, harus bagaimana mereka cuba sedaya upaya supaya hari itu tidak ada kerugian wang modal yang dipertaruhkan.


Langkah pejalan kaki di lorong bazaar makin pantas. Barangkali kerana matahari ketika itu seperti tersenyum mengarahkan untuk lari, lari, lari kepada semua yang berlapar. Petunjuk baik untuk jiwa-jiwa yang memberontak sejak pagi. Saat-saat cemas dimarahi bos di pejabat dengan segera hilang di kepala memikirkan hanya satu; makanan!



Itu Samad. Lelaki yang aku perhati dari tadi sibuk membaiki kasut yang tak putus-putus dihantar pelanggan. Raut halus wajahnya yang tekun menjahit bahagian-bahagian kasut di kaki lima seperti mengajar aku bagaimana manusia harus melawan takdir dalam sebuah kehidupan.Selain perkakas yang tidak tersusun di jalan, ada 13 pasang kasut diletakkan di sisinya. Semuanya bersepah. Kadangkala, ada juga dua tiga pejalan kaki yang sengaja dan tanpa sengaja menyepak perkakasnya sampai terpelanting ke jalan. Kata mereka, 'Menyemak orang tua ni!'


"Samad, boleh jahitkan kasut aku? Nak laju ni, baru sampai!" ujar Leman sambil membuka kancing atas kemejanya diikuti tali leher ungu lusuh.


"Banyak kasut ini. Kau nak bila ni? Lambat betul hari ini kau buka kedai! Letak je lah kasut tu. Malam nanti, kau tutup kedai, kau datang ambil dekat sini!" putus Samad.


‘Boleh. Nanti aku datang!’ balas Leman sepatah sambil berkejar-kejar menuju rumahnya mahu menyalin pakaian pejabat sebelum berlari pantas menyambung kerja jualannya di bazaar Ramadhan.


Jam menunjukkan hampir 7.10 minit malam. Namun Samad masih tidak berganjak dari kerusi kayu yang dibuat khas untuk duduk di pinggir jalan agar pinggangnya tidak mudah sakit dan lenguh-lenguh berlama di situ.


"Kasut ke-5, Kasut ke-7, Kasut ke-8, Kasut ke-10. Ada lagi tiga kasut sebelum pulang!" Perlahan-lahan Samad mengira satu per satu sebelum suatu suara garau menyapanya.

"Salam Sejahtera, Encik. Sudah ada makanan untuk berbuka? Ini saya mahu bagi ada sedikit itu buah kurma dan air tebu." Tegur seorang lelaki berwajah putih mulus dan berkaca mata bingkai hitam. Senyuman manis yang dihulurkan memperjelas sepasang mata sepet miliknya.


"Belum ada lagi. Betul ke nak bagi ni?" balas Samad sambil menatap susuk tubuh dihadapannya penuh kehairanan.


"Betul-lah. Ini halal punya. Silakan ini ada sedikit kami edar untuk orang ramai supaya dapat berbuka bersama." Kata lelaki bermata sepet sambil menghulurkan plastik merah ditangannya.


Entah semena-mena, datang dari jauh suara menjerit-jerit,


“Samad, kau buat apa ni? Kalau kau tak cukup makan, kau ambil dekat gerai aku ini ada banyak. Yang kau ambil dari lelaki bermata sepet ini kenapa?” rupanya suara Leman melolong kerana sudah lama memerhati geram pemuda yang entah datang dari mana itu.


“Kau ni Leman. Takkanlah aku tak boleh ambil pula. Dah orang beri.”

“Kau pulang. Kau pulang makanan yang kau ambil ni, Samad. Sebelum aku naik angin.”


“Eh, kau ni tak semena pula. Aku yang ambil, kau yang panas!"


Tanpa menunggu masa yang lebih lama, Leman naik hantu. Diterajangnya kerusi pelanggan kaki lima. Habis terpelanting semua. Kasut-kasut yang disusun di bahagian tepi, disepak berterabur. Ada yang masuk ke dalam bekas makanan orang yang berniaga di hadapan, ada yang jatuh basah ke dalam longkang. Ada yang terpelanting ke tengah jalan dan paling tragis sepasang kasut mahal milik Dato’ Kedekut (seperti dipanggil orang ramai) digonggong anjing kurap dan dibawa lari.


Samad hilang akal. Banyak kasut yang dibaiknya akan dituntut esok. Senja sudah semakin suntuk. Matahari melabuhkan tirainya menjadikan pandangannya gelap seketika. Samad tak punya banyak masa. Azan Maghrib yang berkumandang tidak diendah. Samad lupa dirinya yang belum berbuka puasa. Dia ghairah mencari kasut-kasut yang bergelimpangan di jalan. Manakan tidak, itu sumber pendapatannya.


“Kasut ke-3, kasut ke-6, kasut ke-7, kasut ke-11, kasut ke-12.” Samad mengulang kira semula. Benarlah, semua cukup kecuali kasut ke-13!


*****

Jam 10.30 malam.


“Samad, aku minta maaf tadi. Aku hilang kawalan bila tengok kau ambil makanan dari lelaki mata sepet. Mereka itu kan kafir.” Leman bernada lemah.


“Kau tahu, Leman. Aku ini pandai menjahit kasut je. Tapi aku tak nampak apa salahnya kalau aku ambil makanan yang orang nak bagi ke aku. Kau nak marah-marah ini, tak rasional pada aku.”


“Tak apalah. Kau tak akan faham kalau aku cakap. Cukup, kau maafkan aku. Ni, aku datang nak ambil kasut aku tadi.” Leman cuba lari tajuk.


“Kasut kau, ya. Kasut kau yang nombor 13 aku tu. Macam ni-lah Leman, kasut kau satu-satunya kasut yang tak dapat aku jumpa. Penat aku keliling mencarinya tadi.” Balas Samad kecewa.


“Pulak! Ini yang aku nak angin ini. Macam mana aku nak pergi kerja esok Samad oi?” Pekik Leman di tengah jalan. Sekumpulan anak muda yang lalu memandang Leman dengan penuh tanda tanya dan curiga.


Dia betul-betul belum insaf akan tindakannya petang tadi. Perpecahan hanya menimbulkan kerugian. Kemarahan hanya melahirkan kebencian. Dan itu, jauh dari agama yang seharusnya praktikal bukan sekadar ber’piknik’ di tikar sejadah.



 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page