Menyuburkan Dialog Silang Agama
- Mohd Syazreen Abdullah
- Jun 8, 2017
- 3 min read

PENGAMATAN secara khusus terhadap ayat al-Quran memperlihat adanya sejumlah ayat yang kebanyakannya menyentuh kepentingan dialog agama. Begitu juga dalam narasi sejarah perkembangan hubungan antara agama, bermula sebelum atau selepas zaman kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.
Mungkin lebih tepat meminjam kata oleh Profesor Near Easten History dari University of Chicago, Fred Donner melalui buku Muhammad and the Believers at the Origin of Islam iaitu kemunculan kelompok komuniti beriman dalam sejarah peristiwa Islam awal. Menurutnya, kelompok itu meyakini Islam bermula sebagai gerakan keagamaan, bukan gerakan sosial, ekonomi atau nasional. Tambahnya, gerakan ini membentuk sifat kepedulian yang mendalam tentang kesolehan dalam beragama. Maka, tumpuannya haruslah hal-hal bersifat keselamatan selepas kehidupan seperti perbincangan hari akhirat, soal keadilan mahupun kesolehan peribadi.
Namun, sebahagian sarjana atau ahli sejarah berbeza pandangan lantaran mendapati perkembangan ajaran Islam terhasil melalui hubungan antara agama. Malah, sebahagian mereka menyatakan ia bukan bermula daripada rahim gerakan keagamaan sebaliknya bersifat sosial sebagaimana pandangan seorang cendikiawan France terkenal, Ernest Renan (1823-1892) yang menulis bahawa gerakan umat Islam muncul tanpa keyakinan keagamaan.
Sekilas, ini menarik minat kita untuk mengkaji lebih lanjut perihal kewujudan kelompok beriman yang menghubungkan keterlibatan agama Islam, Kristian dan Yahudi. Ternyata wujud perkongsian kehidupan dalam beragama oleh kelompok yang disebut “Gerakan Kaum Beriman.”
Ia sekaligus membuktikan dialog atau pluraliti ada dalam perkembangan zaman Islam awal. Sebagai contoh, hubungan baik antara agama dapat dilihat melalui peristiwa berkongsi tempat ibadat, pembuktian arkeologi kesan peninggalan kehidupan Islam dan Kristian kekal elok tanpa kemusnahan. Seperti contoh berbagi tempat ibadat terjadi di Gareja Cathisma pada masa Byzantium antara Bethlehem dengan Jurusalem.
Namun, kelumpuhan menelaah lembaran peristiwa Islam awal mengakibatkan kita menemui kegagalan dalam menggeluti makna Islam secara autentik. Lalu, kita gagal menghasilkan perkembangan moral tertinggi yang melahirkan manusia bersifat humanis dan tidak berprasangka buruk dan berperilaku ganas terhadap agama lain khasnya dalam konteks masyarakat majmuk. Akibatnya, pandangan umum terhadap Islam dihukum dengan dakwaan sifat kasar, intoleran, eksklusif mahupun ekstremis.
Dari sudut lain, muncul beberapa fenomena terkutuk dalam amalan keagamaan kita khususnya di Malaysia iaitu sikap menidakkan kepercayaan agama lain. Sikap ini telah membunuh kehidupan pluralisme beragama – keterlibatan agama lain. Contohnya, sengaja menimbulkan prasangka dan kebencian terhadap penganut lain dalam urusan keagamaan mereka. Kita mudah menuding jari mentohmah sesuatu kejadian sebagai cubaan berunsur penyebaran dan hasutan agama.
Sikap prasangka dan menidakkan kebebasan ini membuktikan betapa kita jauh dari bersedia untuk menggeluti pluralisme dalam beragama. Sedangkan, pluralisme bukan bermaksud kita sekadar mengiktiraf kewujudan agama lain tetapi harus juga ada sikap dalam diri kita untuk belajar dan menggali kearifan pada agama dan tradisi lain.
Mengambil pandangan Alwi Shihab, penulis buku Islam Inklusif (Menuju Sikap Terbuka dalam Beragama) seseorang itu harus bersikap pluralis, bukan sahaja berinteraksi dengan aneka ragam agama tetapi dituntut untuk membuka diri, belajar dan menghormati mitra dialognya supaya komitmen tersebut tidak akan menjatuhkannya dalam relativisme agama. Beliau seolah-olah mahu menyatakan betapa dalam hidup beragama ini, kita harus teguh mengabdi kepada tuhan yang diimani tetapi jangan sampai merendah-rendahkan tuhan anutan orang lain. Hormatilah.
Dialog dan kerjasama
Kesungguhan gerakan beriman yang termotivasi dalam hal keagamaan, proses dialog dan mempertemukan titik temu pasti menjadi perkara utama dalam melerai perbedaan dan ketegangan antara manusia. Dalam sejarah agama semitik, titik temu adalah agenda terpenting yang mendorong kepada proses dialog, saling mengenali dan memahami lalu berbagi kerja untuk kebajikan bersama. Dialog antara agama harus dipertingkatkan namun asas kestabilan sebuah keamanan itu haruslah dialog kepada esensi penerimaan agama-agama lain supaya dialog yang acapkali dilaksanakan bukanlah retorika dan sia-sia. Agama menjadi persoalan spiritual yang esensi dalam kehidupan beragama. Oleh itu, tumpuan masyarakat silang iman ini bukanlah hal-hal dogma ataupun ritual yang berbeza, tetapi kesungguhan melakukan amal baik dalam mencari inti masalah sekaligus solusinya.
Dalam al-Quran, salah satu ayat terpenting mendokong pluralisme ialah surah al-Baqarah ayat 62:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati”
Fazlur Rahman pula dalam Major Themes of the Qur’an menyatakan kebajikan universal iaitu kepercayaan dan kepasrahan total yang disertai amal kebajikan, tidak dipunyai oleh satu agama sahaja. Menurutnya, sesiapapun atau agama apapun yang melakukan kebajikan universal layak mendapat keselamatan dan pahala di sisi-Nya. Pandangan Fazlur selari dengan pandangan mufassir lain seperti Rasyid Ridha, yakni jalan keselamatan adalah urusan-Nya dan manusia tidak sesekali berhak mengambil alih peranan itu.
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.
Comments