top of page

Kuasa Politik dalam Masyarakat

  • Wan Khuzairey
  • Jun 7, 2017
  • 3 min read

DALAM hidup bermasyarakat, kita tidak boleh menghindarkan diri kita daripada politik. Politik yang dimaksudkan ini bukan sahaja yang melibatkan politik pentadbiran, tetapi juga politik yang melibatkan dua individu yang tinggal di tempat yang sama. Dalam sebuah kisah klasik iaitu kisah pelaut Inggeris Robison Crusoe yang tidak berupaya berpolitik sewaktu dia duduk sendirian di pulau. Namun sebaik munculnya Friday, seorang abdi kulit hitam yang lari dari tuannya ke pulau itu dan menemui Crusoe, maka bermulalah politik Robinson yang mula memperalatkan Friday demi kepentingannya. Perkara yang membimbangkan seperti apa yang telah ditunjukkan oleh Crusoe dan Friday adalah sejauh manakah kuasa politik itu berlangsung. Kemungkinan Friday menuruti kata Crusoe disebabkan oleh Crusoe dianggap sebagai pemilik pulau tersebut lalu mengakibatkan dia dihormati dan disanjungi. Sedangkan kita semua tahu bahawa dunia ini bukanlah kepunyaan manusia, dan tiada sebab untuk kita akur dan diperalatkan oleh manusia. Justeru itu, pentafsiran mengenai kuasa politik itu amat penting.


Pandangan John Locke mengenai kuasa politik


John Locke adalah seorang ahli falsafah yang banyak membincangkan mengenai kuasa politik. Dalam penulisan beliau iaitu Second Treatise of Government beliau ada menjelaskan mengenai kuasa politik dengan terperinci. Menurut beliau:


  1. Bahawa Adam tiada memiliki, mahupun dengan Hak kebapaan yang tabi’e ataupun anugerah dari tuhan, sebarang kekuasaan terhadap anak-anaknya, atau kekuasaan ke atas dunia ini seperti apa yang selalu disangkakan.

  2. Sekiranya dia memilikinya sekalipun, namun ini tidaklah bermakna bahawa waris-warisnya juga berhak memilikinya.

  3. Sekiranya warisnya memilikinya, namun tiada pula hukum tabi’e mahupun hukum positif Tuhan yang menentukan waris sebenar dalam semua keadaan yang akan muncul kelak, maka dari itu hak perwarisan sekaligus pemegang tampuk pemerintahan sudah tentu tidak dapat ditentukan.

  4. Seadainya itu telah ditentukan sekalipun, namun pengetahuan tentang siapa yang merupakan keturunan tertua dari anak cucu adam, bagaimanapun sudah lama hilang, dan tiada siapa pun dari bangsa manusia yang mengaku sebagai kerabat tertua dan memegang hak perwarisan.


Apa yang cuba disampaikan oleh Locke di dalam hujahnya adalah tiada sebarang kekuasaan pun yang boleh dipegang oleh pemerintah sebagai kuasa peribadi dalam erti kata lain, tiada kuasa kuat sehingga boleh membatasi kuasa-kuasa lain yang boleh dipegang oleh manusia lalu dinyatakan bahawa kuasa tersebut adalah miliknya. Hujah ini juga ingin memperjelaskan tidak ada sebab untuk menyatakan bahawa semua kerajaan didunia ini tertegak hasil daripada pemaksaan dan keganasan belaka. Manusia pula hidup berlandaskan peraturan-peraturan haiwan semata-mata di mana yang paling kuat akan menang. Jika ini yang dipegang nescaya sesuatu negara itu akan mengalami kacau bilau, pemberontakan dan huru-hara yang berpanjangan. Oleh itu, amatlah penting sebenarnya untuk memikirkan cara yang berkesan bagi mendirikan negara, punca asal lain bagi kuasa politik serta cara melantik orang yang paling sesuai untuk memegang kuasa yang bakal diamanahkan.


Untuk memperjelaskan kesemua situasi ini, adalah amat penting untuk kita memahami terlebih dahulu apakah itu kuasa politik. Sekiranya kita tidak memahami konsep kuasa politik, nescaya kita akan ditindas. Sesungguhnya, kuasa pemerintah itu dapat dibezakan dengan kuasa bapa ke atas anak-anaknya, Kuasa majikan atau tuan kepada orang gajinya, kuasa suami ke atas isterinya dan kuasa tuan ke atas hambanya. Namun begitu, apa yang kita jarang ambil tahu atau jarang sekali kita sedar adalah kesemua kuasa ini boleh berlaku serentak kepada orang yang sama. Oleh itu amatlah penting untuk kita dapat membezakan kuasa ini antara satu dengan yang lain. Apabila kita mampu menunjukkan perbezaan ke atas semua kuasa ini, maka kita dapat melihat perbezaan antara penguasa komuniti persemakmuran bersama, seorang bapa dalam sebuah keluarga dan seorang kapten kapal.


Melalui penyataan ini, kita dapat mentafsirkan bahawa kuasa politik itu adalah sebuah kuasa atau Hak untuk membuat undang-undang. Daripada hukuman berat seperti hukuman gantung kepada hukuman yang lebih ringan. Kesemua ini dilakukan adalah dengan tujuan supaya dapat mengatur dan memelihara Hak milik Komuniti berdasarkan daya upaya komuniti dalam melaksanakan undang-undang tersebut serta mempertahankan komuniti daripada serangan kuasa asing. Semua ini dilakukan hanyalah untuk kebaikan awam. Sekiranya sesuatu kuasa politik yang diperoleh itu, lalu undang-undang digubal tetapi tidak menunjukkan kepentingan kepada orang awam, maka kuasa itu dilihat sebagai kuasa peribadi dan hal ini telah mencabuli prinsip kuasa politik.


Kepentingan terhadap kesedaran kuasa politik


Apa pentingnya untuk kita tahu semua ini? Sangat penting untuk kita mengambil tahu tentang kuasa politik. Pemegang kuasa politik akan membantu kita dalam banyak perkara terutama dalam memelihara hak manusia. Undang-undang digubal semata-mata kerana rakyatnya. Maka dengan itu, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang lebih aman. Kepentingan kesedaran tentang kuasa politik juga adalah demi memastikan kita sedar adakah kuasa yang diperolehi itu akan membuatkan kita ditindas dan dicabuli hak. Penindasan ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti meceroboh, mengambil tanpa persetujuan hak milik masyarakat atau sengaja memaksa masyarakat untuk memasuki aliran politik yang telah dirangka tanpa persetujuan mereka. Seterusnya, kepentingan ini juga adalah untuk melihat adakah kuasa yang diperolehi digunakan untuk menggubal undang-undang semata-mata untuk dirinya sendiri tanpa persetujuan masyarakat. Hal ini amat membahayakan dan memudaratkan masyarakat kerana ia akan mengekalkan kedudukan pemimpin yang zalim serta Hak rakyat yang sepatutnya telah dicabuli, secara tidak langsung telah melawan konsep kuasa politik yang sebenar.

*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page