A’udzubillahi Minasyyaitan Wassiyasah
- Rien Sd
- Jun 7, 2017
- 4 min read
Wajarlah kita menyemak dan memikir ulang tentang persoalan; ke mana perginya politik Malaysia atau yang lebih pesimis; apa lagi yang menariknya tentang politik Malaysia-budaya politik (politic culture) di Negara ini?
Bertolak daripada itu, tulisan ini adalah ekspresi radikal setelah politik di Malaysia berkali-kali melondehkan celananya yang menutupi muluk-muluk optimis para politikus-yang mana sehingga hari ini, kita masih dibodohkan dengan sejambak pembohongan yang dihiasi dengan perkakas-perkakas bernada perjuangan, pembelaan dan semangat patriotik. Sehingga kita menjadi khayal dan tidak merasa sakit ketika dibidik seperti anak-anak kecil.
Masyarakat kita jarang mentafakkuri hal ini. Sebahagian daripada mereka lebih gemar menjadi apolitikal dan sebahagian yang lain sudah termakan doktrin fatalistik oleh hegemoni-iaitu-semua kacau bilau politik ini adalah ketentuan Illahi. Di Malaysia hari ini, kita boleh membilang dengan jari, masyarakat yang masih berani menggugat pembiusan tersusun ini. Lebih-lebih lagi, setelah Tuhan dibawa untuk campur tangan dalam urusan ini. Kita menjadi keliru, samaada keputusan-keputusan politik di negara ini adalah keputusan manusia atau keputusan Tuhan.

Selamat Tinggal, Politaik.
Politik di Malaysia, bau tahi dari dari ke hari. Masyarakat di desa, kaum buruh, dan banyak lagi kelompok masyarakat seperti sivil, apolitikal terhidu baunya. Kita tidak tahan lagi untuk menutup hidung dan lari bersorok di tengah rimba.
Apa yang perlu kita lakukan, adalah meninggalkan politik-lebih spesifiknya-politik kepartian yang memberanakkan beribu-ribu sentimen kebencian, kegilaan kuasa, dan kerakusan serakah yang tidak mengenal mangsa tua atau muda. Pemain politik kepartian boleh bertukar liar dan mencarik-carik daging mangsanya. Setelah luka berdarah, mereka akan merawat kesakitan itu dengan seguni beras dan peralatan-peralatan dapur. Inilah canggihnya politik di Malaysia.
Angkat punggung, dan berhenti berharap dengan politik Malaysia-begitu juga halnya para politikus yang konsisten menjadi gundik-gundik peliharaan hegemoni. Mereka ini yang dilepaskan ke luar, berkeliaran mencari sokongan di luar sana. Dalam konteks politik kepartian, tidak kiralah parti kerajaan ataupun oposisi, mereka berkongsi cita-cita yang sama-berkongsi selimut yang sama. Kelantangan mereka bertinju, berhempas pulas berjuang membawa suara rakyat di parlimen membuat kita terharu. Ketika menonton sketsa itu, kita masih menjadi mangsa kemiskinan, makan sepinggan nasi berlauk kicap sedangkan jaguhan-jaguhan kita yang digelar wakil rakyat, menikmati elaun yang lumayan. Ketika itu, kita menjadi lupa, kita hanyalah anak kecil yang bertepuk tangan kerana melihat ayahnya pulang dengan sebuah kereta mainan plastik.
Parti-parti politik di Malaysia tidak pernah lemas sekalipun dipukul bertubi-tubi di tengkuk mereka. Mereka tak akan mati, bahkan terus menggemuk membuncit dan sihat-sihat belaka. Kuasa dan kedudukan tidak pernah mengecewakan kaum cukong ini.
Media & Pendidikan Politik.
Satu masa dahulu, pernah ada kempen Kami Boikot Buletin Utama TV3 (KBBU TV3) oleh sebuah parti pembangkang di Malaysia. Canggih dan berkobar-kobar. Parti-parti pembangkang turut berkempen untuk menolak media arus perdana kerana dikepit di bawah ketiak kerajaan; UMNO dan Barisan Nasional. Persoalannya, adakah media alternatif oleh parti pembangkang boleh bertindak sebagai medium pendidikan politik?
Masyarakat kita masih terhegeh-hegeh meneguk dalil-dalil politik daripada parti-parti politik yang ada di Malaysia. Media arus perdana termasuklah media alternatif binaan parti-parti oposisi, hampir kesemuanya menayangkan sepak terajang, maki-makian, budaya ofensif yang melampau-lampau.
Sejak bila kita masih percaya kepada media-media seliaan para politikus ini mampu menawarkan pendidikan politik? Kita perlu meninggalkan paradigma berkulat ini. Pendidikan politik perlu mandiri dan bebas daripada campurtangan gundik-gundik hegemoni tadi. Kita tidak perlu merasa terharu dengan jargon-jargon politik yang didengungkan oleh para politikus-ini kerana-mereka memang merancang untuk kita sentiasa ternganga dan berhenti mempertikai. Ini yang disebutkan oleh para bijak pandai kita; manusia akan takut dengan apa yang dia tidak ketahui.
Media-media yang diselia oleh kerajaan hanya berniat untuk menggoreng masyarakat. Lebih-lebih lagi, masyarakat yang terpencil daripada perkembangan politik semasa-yang tiada akses kepada aksi-aksi gedik para politikus.
Blok Politik & Tuhan.
Selain demokrasi dan autokrasi, yang kononnya melahirkan seorang demokrat begitu juga seorang autokrat, kita mungkin pernah mendengar istilah teokrasi. Istilah yang tidak seberapa diambil peduli ini, kurang disurahkan-mungkin kerana masyarakat kita (para cendekia, elit-elit dan lain-lain) masih berbalah, demokrasi tak demokrasinya negara ini.
Teokrasi ini projek handalan yang maha canggih. Tuhan ditarik daripada langit kemudian diusung di atas ubun oleh para politikus untuk sentiasa kebal dan mendapat tempat yang selesa di hati kaum beragama-sebagaimana selesanya kaum beragama mengimani Tuhan mereka.
Tuhan dibawa bertempur bersama. Diheret ke dalam blok politik dengan terancang dan tersusun. Istilah-istilah yang bernada agama semisal; wasatiyyah tonggak kesatuan ummah, Islam hadhari, bersama kepimpinan ulama dan banyak lagi, menjadi ubat kesakitan masyarakat setelah dirogol bertubi-tubi oleh parti politik dan para politikus.
Istilah-istilah tadi tidak lagi disemak, diselidik asal muasalnya. Namun diterima tanpa syarat, seakan-akan seberkas ayat-ayat Tuhan yang menyapa Nabi Muhammad ketika di Gua Hira’. Lebih-lebih lagi, ianya bernada kearab-araban,
Peranan Tuhan sangat besar untuk dimanipulasi oleh pemain politik kepartian di Malaysia. Mata kita akan terbeliak dengan ketangkasan mereka melagu-lagukan ayat Tuhan di siang hari kemudian merompak duit rakyat di malam hari. Kita tidak mendapati sedikit pun kotor pada jubah putih mereka-sentiasa bersih, wangi dan suci. Tidak ada kotornya.
Watak-watak ini bukanlah baru dalam sejarah politik Malaysia umumnya, dunia khususnya. Kita akan sentiasa tertipu dengan yang indah-indah belaka, kerana kita sudah berwaspada dengan yang buruk dan kotor.
Kempen #Politaik.
Kita perlu lebih gigih lagi, dari masa ke masa, saat ke saat untuk menghebahkan kempen #politaik. Gagasan anti-parti politik ini mungkin berwajah radikal bagi mereka-mereka yang sering dibelai-belai tengkuknya oleh para politikus. Namun, setelah mencermati budaya politik di Malaysia yang menggelikan dan busuk, kita tiada pilihan lain selain menentangnya ataupun mengucapkan sekerapnya; a’udzubillahi minassyaitan wassiyasah.
Kita mampu untuk berdikari sendiri, tanpa tangan-tangan ghaib dan mukjizat daripada kerajaan. Sekiranya kita masih menaruh perasaan kepada 'political-environment' di Malaysia, kita perlu memudarkannya. Beralih ke lapangan yang lain misalnya pendidikan alternatif, pemberdayaan literasi, mengorganisasi sosial (masyarakat sivil dan apolitikal), mempergiat wacana-wacana semasa dan banyak lagi.
Kita mampu untuk melakukan semua ini tanpa perlu memohon restu dan perkenan parti-parti politik ataupun tanpa kita menunggu mereka yang melaksanakannya. Ranah kekuasaan sudah terlalu kompleks dan kusut masai. Maka sebagai orang-orang kecil, yang muak dan mual dengan pemuka-pemuka politik di negara ini, kita perlu mengupayakan ranah intelektual di sfera publik dengan partisipasi masyarakat awam sebagai audiens agar boleh mewujudkan suasana alternatif menggantikan kerunduman budaya politik di Malaysia. Sekali lagi; a’udzubillahi minasyyaitan wassiyasah.
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.
Commenti