Naratif ‘Iconoclasm’ Si Jihadis Belakang Rumah & Budak Radikal Bar
- ZF Zamir
- Jun 9, 2017
- 4 min read
HARI ini, anak kecil kita bangun pagi dengan sajian berita mengenai terorisme lebih kerap. London terror, Manchester terror, Paris terror, Kabul terror ialah halwa telinga mereka. Perkataan jihadis bukan lagi sesuatu yang asing dan jauh.
Islam, ialah agama yang mewakili keganasan. Atas nama Tuhan, manusia diletupkan ketika pulang konsert atau ketika membeli aiskrim untuk anak kecil. Atas nama Tuhan juga, seorang wanita yang tak bersalah ditikam lebih dari 15 kali semalam di London.
Jihad kini di hujung tangan. Tanpa bom tanpa senapang, sesiapa saja boleh mencapai syahid dengan melakukan pembunuhan massa di tempat awam. ISIS, ISIL, Daesh atau apa saja nama mereka hari ini tidak lagi perlu merekrut jihadis dengan latihan tertentu. Jihadis hari ini mungkin jiran belakang rumah kita, yang hanya terinspirasi dengan slogan syahid selepas menonton satu video Youtube.
Kata Oliver Roy di dalam makalah The Guardian, hari ini jihadis tipikal adalah anak muda, generasi kedua imigran atau mualaf, yang selalu terlibat dengan jenayah, dengan ketiadaan pendidikan agama yang lengkap tetapi mengalami perubahan keagamaan yang terlalu pantas melalui Internet, bukan dengan jemaah Mesjid kawasannya. Retorik mereka biasanya adalah keganasan terhadap musuh nombor satu mereka iaitu; si Kafir termasuk ahli keluarga jika perlu tanpa kompromi.
Ini menimbulkan lebih banyak persoalan. Bagaimana, agama yang kita pegang hari ini – dihijack oleh budak-budak baru nak up yang sibuk nak syahid lepas bergelumang dengan dosa sepanjang hidup mereka?
Kata Roy lagi, kebanyakan ahli radikal baru ini terjebak dengan budaya remaja seperti ke kelab malam, minum alkohol, perokok tegar serta seks bebas. 50% daripada datanya menunjukkan jihadis di Perancis mempunya sejarah jenayah terutamanya berkaitan dadah dan keganasan termasuk rompakan bersenjata. Data yang sama juga boleh dikenalpasti di Jerman dan Amerika termasuk jumlah tahanan untuk memandu di bawah pengaruh alkohol. Malah fesyen pemakaian mereka juga jelas menunjukkan mereka di bawah pengaruh remaja hari ini, jenama pakaian, topi besbol, hoodie termasuk streetwear.
Bahkan menurut Roy, jihadis baru nak up ini bukan terjebak dengan keganasan setelah membaca teks agama. Mereka tidak mempunyai budaya keagamaan langsung. Mereka bukannya berubah menjadi radikal kerana mereka tersalah faham teks-teks agama seperti Quran. Mereka menjadi radikal kerana mereka memilih untuk menjadi radikal, serta hanya radikalisme yang menarik minat mereka. Ilmu agama mereka hampir tiada sama sekali walaupun mereka berjuang untuk agama. Rekod ISIS yang tersebar menunjukkan sehingga 4,000 rekrut baru dengan sebahagian besar daripadanya berpendidikan, 70% daripadanya mengaku hanya mempunyai pengetahuan asas terhadap Islam. Hampir tiada jihadis-jihadis ini mempunyai sejarah berkempen terhadap Palestin atau menganggotai mana-mana NGO Islamik. Budak-budak radikal baru nak up ini membaca teks di dalam bahasa Perancis, atau Inggeris di Internet.
Mereka tidak fasih berbahasa Arab. Mereka tidak menganggotai jemaah di kawasan mereka. Hubungan mereka dengan mesjid lokal tidak wujud. Tiada dari mereka ini tertarik kepada Muslim Brotherhood, atau bekerja untuk badan kebajikan Islamik. Mereka bukan menjadi radikal melalui gerakan keagamaan.
Memahami jihadis belakang rumah dan budak radikal baru nak up hari ini adalah langkah penting. Ini kerana ketika ini, kita hampir tiada idea untuk menjejak corak gerakan mereka. Mereka boleh meletupkan diri mereka di Jakarta, sebuah bandar yang hanya 2 jam menaiki pesawat dari rumah kita atau menganggotai perang di Marawi, jiran yang juga tak begitu jauh dari rumah kita.
Jadi tak mustahil, jihadis-jihadis ini boleh muncul dari rumah belakang kita. Kerana hari ini remaja kita adalah remaja yang kosong. Lelaki dan perempuan yang tak punya tujuan hidup inilah kelak akan mencari-cari jalan pintas untuk ke syurga. Menurut mereka, syahid adalah jalan pintas tersebut. Walaupun Barat bertanggungjawab membina vakum kekosongan ini setelah menceroboh Iraq pasca 11 September 2001 dan mengakibatkan ketidakstabilan di Timur Tengah, kita juga punya tanggungjawab untuk mengubah naratif ‘iconoclasm’ ini.
Ulama kita harus lebih progresif mempromosi Islam versi Ihsan, Islam versi Rahmat dan Islam yang mesra dan menghidupkan. Kerja Imam dan Agamawan hari ini seharusnya jadi lebih berat kerana naratif ‘iconoclasm’ yang perlu dilawan ini harus dimulai dengan pendidikan. Jadi mereka semua harus lebih serius. Kerja pendidikan agama versi Ihsan dan versi Rahmat ini tidak lagi boleh dijalankan melalui program-program plastik ala realiti TV seperti Imam Muda atau Ustazah Pilihan atau melalui program nasyid geli-geli ala Gema Gegar Vaganza.
Orang agama harus lebih aktif turun ke sekolah dan mengisi anak muda dengan naratif Islam yang betul. Anak muda kita harus diingatkan bahawa Islam itu bukan sahaja dengan menghafal al-Quran. Tetapi Islam yang sebenar adalah dengan mempraktikkan ajaran al-Quran. Berbuat baik sesama manusia, membantu yang tertindas serta menegakkan keadilan adalah mesej-mesej al-Quran. Islam ini yang harus diajar, bukan Islam versi marah-marah, bukan Islam versi tak solat kena rotan atau Islam versi tak puasa kena tangkap.
Dan beban pendidikan agama ini begitu berat kerana realitinya dunia melihat Islam adalah Islam versi kebencian. Di dalam negara ini sendiri, mesjid kita dilarang disentuh atau dimasuki oleh orang bukan Islam. Malah orang Islam dilarang berbuka puasa dengan orang bukan Islam. Bibit-bibit kebencian versi agama kita hari inilah sebenarnya benih-benih radikalisme dan terorisme. Jika naratif ini tidak dibendung, anak muda kita yang kosong hari ini akan mengisi kepala mereka dengan idea ‘iconoclasm’ ini dan menganggap Islam yang sebenar adalah Islam marah-marah. Kerana itu mereka tidak rasa salah untuk membenci orang bukan Islam kerana menurut kefahaman mereka yang singkat dan pendek itu, Islam = Benci.
Jadi pendidikan adalah satu-satunya jalan. Islam adalah agama keamanan. Islam tidak membawa keganasan. Yang ini harus ditekankan di madrasah, sekolah dan masyarakat. Kerana yang berlaku hari ini sebenarnya adalah Islamisasi terhadap radikalisme.
Keterbalikan dan herotan pemikiran ini harus diubah segera. Kerana kekuatan ISIS ialah, seperti kata Roy adalah dengan permainan menakut-nakutkan. ISIS mahu mewujudkan persepsi ketakutan terhadap Islam. Kerana menurut mereka, Islam harus ditakuti. Tetapi Islam adalah agama yang menyeru keamanan. Islam tidak boleh ditakuti. Konsep-konsep mudah dan ringan seperti ini harus segera diajarkan kepada anak muda kita kerana itulah kekuatan sebenar Islam.
Dan ini hanya dapat dilakukan jika Ulama, Imam, agamawan serta seluruh institusi agama kita serius mempromosi Islam sebagai agama yang membawa kebaikan dan kesejahteraan. Bukannya bermain wayang di pentas-pentas realiti TV atau beretorik politik dengan menyebar dan menyuburkan mesej-mesej kebencian untuk menunjukkan betapa benar dan betulnya Islam versi mereka.
Melawan naratif ini adalah jalan pertama yang boleh kita mulai, jika kita serius mahu membendung jihadis belakang rumah dan budak-budak radikal baru nak up yang terlebih tonton Youtube perang di Syria.
Kerana kata Roy lagi, umum mengetahui jihadis adalah hasil tangan Salafisme. Walaupun bukan semua Salafis adalah
jihadis, tetapi semua jihadis adalah Salafis. Jadi pintu gerbang kepada jihadisme adalah Salafisme.
Comments