Korupsi
- Izzah Dejavu
- Jun 4, 2017
- 2 min read

'Tidurlah Sem buat selamanya, semoga kau tenang di sana!
Tidurlah Sem, kami semua tahu esok suaramu tidak lagi ada.
Tidurlah Sem, esok kau tidak perlu lelah untuk bekerja.
Tidurlah Sem, esok angin nakal tidak akan memburumu.
Tidurlah Sem, esok kakimu tidak akan menggeletar pada dinding dan lantai-lantai mengerah tenaga.
Tidurlah Sem, kerana malam mendesakmu tidur'.
Itulah lagu yang dimainkan sekumpulan semut hitam ketika kematian aku.
Nama aku Sem. Aku orang yang rajin bekerja sepanjang hidup. Tapi sekarang aku sudah tiada. Aku sudah tutup mata. Aku bahagia menuju negeri abadi. Katanya, negeri itu menjelma bergantung kepada kepercayaan masing-masing tentang mimpi dan kesedaran. Aku tak takut kerana sebelum aku sudah 117 orang mengikut jejak langkah dan memiliki pengakhiran yang sama; mati awal.
Sebenarnya, aku tak tahu dari mana aku harus bermula dan mengakhiri cerita ini. Aku berpindah ke tanah ini 3 tahun yang lepas. Di tengah halaman yang luas, dengan tergantungnya slogan ‘Taman Ilmu dan Budi’, studio kecil ini adalah dunia aku. Di dalamnya punya satu ruang kosong besar menjadi tempat aku berekspresi. Dan suatu hari, ketika aku nyenyak tidur, seorang lelaki membuka pintu rumah, dan duduk dibirai katil.
Sekelip mata warna hitam menyerbu. Mengepungku. Warna itu mendominasi dan bertebaran di seluruh ruang: langit-langit yang tinggi, dinding, pintu-pintu, ruang-ruang jendela, lantai. Semua. Membuat pilihhan antara hidup dan mati bukan mudah. Benda-benda melayang bertebaran dengan kelam yang menghilangkan batas. Angin kuat membuatkan aku ingin berlari menutup jendela. Tapi dengan pantas dia menangkap lenganku. Mendakap kuat seperti tidak mahu melepaskan. Aku tenung mata merahnya. Sudah aku duga dari awal, sebenarnya ada dendam belum terlunas!
Wajahnya di hulur dekat sekali hingga aku bisa merasakan hangat nafasnya. Bau semerbak wangi darah buat aku bergerak menjauh. Dia tersenyum, bibir merah mungil itu setengah menjuih melihat tindakan spontan aku.
“Takut?”
“Ya. Siapa tidak, pada buaya?”
Dia ketawa terbahak-bahak. Benar. Ini daerah kekuasannya. Dan binatang itu tak pernah lupa memasang perangkap. Bahkan untukku. Aku agak kesal menyedari bahawa jantungku berdegup sedikit lebih kencang melihat kekuasannya.
“Mahu apa kau dari aku?” bentakku marah.
“Jangan garang. Kau tahukan nasib kau di tangan aku. Keputusan untuk hidup atau mati,semua ditangan aku. Aku ada banyak kuasa. Dan kau perlu jelas, polisi di sini, yang melawan korupsi harus mati!”
“Jadi, apa yang kau nak?”
“Hentikan cakap-cakap kau di laman sosial. Berhenti hasut pelajar lain! Kalau tak, kau sendiri fahamkan? Atau aku perlu ajar?” binatang itu bersuara lantang.
“Kau fikir aku takut dengan ugutan? Kau korup! Dan yang korup hanya layak dilawan!” bentakku marah-marah.
Binatang itu menghadiahkan satu das tembakan di dadaku. Tembakan pertama dan darah mulai mengalir panas ditubuh, mengalir ke celahan kaki, sebelum aku sedar, aku sudah naik ke langit untuk kembali kepada Tuhan di dimensi dunia yang lain.
Sayup-sayup aku dengar, cakap-cakap orang mengatakan hidupku selama ini tidak bahagia. Padahal, mereka lupa, akulah orang paling bertuah seumur hidup melawan ketidakadilan dan korupsi, meninggalkan segala resah di bumi ini dengan tenang. Cuma satu harapan aku dan 117 orang di langit selepas melawan habis-habisan;
"Tuhan, khabarkanlah bahawa ada neraka untuk Si Korup!"
Comentários