Ramadan dan Model Tadarus Quran
- Mohd Syazreen Abdullah
- Jun 1, 2017
- 4 min read

RAMADAN membuka ruang untuk kita mengenang kembali setiap tindak tanduk dalam urusan kehidupan kita selama ini. Sudah tentu Ramadan dianggap bulan paling agung.
Lazimnya, masyarakat muslim menganggap inilah bulan untuk menggandakan amalan ibadat. Justeru, tidak pelik jika kita mendapati fenomena ritual berulang setiap kali Ramadan. Contoh paling dekat adalah ritual tadarus al-Quran.
Persoalan penting harus kita fikirkan ialah, ke mana tujuan akhir selepas tadarus al-Quran? Bagaimanakah model tadarus yang harus diutamakan dalam membicarakan Islam abad moden ini?
Kebanyakan masyarakat Islam menjadikan tradisi bulan suci ini sekadar membaca dan mengkhatam al-Quran. Pengurusan masjid sibuk mencari para imam hafiz yang boleh mengalunkan bacaan al-Quran secara penuh 30 juzuk dalam tarawih. Sudah menjadi kebiasaan, masyarakat Melayu-Islam berlumba-lumba mencari masjid yang mempunyai imam tahfiz semata-mata untuk mendengar bacaan alunan bacaan Quran yang merdu.
Akhirnya, al-Quran hanya dihayati sebagai halwa di telinga.
Sebenarnya, Ramadan adalah bulan suci yang membuka lembaran “tajdid” dalam setiap sudut urusan kehidupan kita. Ramadan adalah pause bagi kaum muslimin untuk memikir kembali penghayatan makna Islam dan bagaimana mahu menghayati pesan-pesan al-Quran.
Sebahagian kita telah menyaksikan kegagalan masyarakat Melayu-Islam dalam mempamer makna sebenar “apa itu Islam” selepas pasca Ramadan saban tahun.
Shahab Ahmed, sarjana pengajian Islam di Harvard melalui bukunya, 'What is Islam? The Importance of Being Islamic' menyatakan Islam harus dikaji sebagai fenomena manusia dan secara historis menyingkapi pergulatan tradisi awal kerana, Islam baginya bukan semata-mata urusan bersifat perintah wajib dan haram. Ia, malah bersifat kontradiktif yang memerlukan penjelajahan mendalam antara interaktif manusia dengan wahyu.
Menurut Shahab, Islam bukan simbol yang hanya berwajah Islamik sebaliknya ia fokus kepada inti ajaran yang menyeluruh kepada kehidupan. Menilai Islam bukanlah seperti hari ini, memperaga jubah mahal atau bersikap penting diri dalam melaksanakan ibadat.
Menampilkan imej Islam tetapi akhirnya menyebar api permusuhan terhadap agama sesama manusia, hanya menyemarakkan eksklusivisme dan membunuh kehidupan pluraliti. Namun sebaliknya, nilai universal itu mendidik kita untuk lebih bersikap rendah diri terhadap ego mencakupi ruang hubungan lintas iman.
Justeru, Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita menyingkapi kelemahan dan memahami kehendak utama pesan al-Quran dalam mendepani cabaran moden hari ini; bukan setakat bertadarus mengkhatam al-Quran tanpa rasa keperluan tajdid dalam memperbaiki dialog hubungan antara agama.
Memahami Quran melalui dialog rentas iman
Jadi, bagaimana kita menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk bertadarus al-Quran dan disegandingkan dengan pendekatan dialog kitab suci dari tradisi agama lain. Ini dapat mendidik kita untuk lebih bersikap lapang dada dan saling belajar antara agama. Hal ini penting kerana setiap kitab suci mempunyai hubungan interaksi dan pengumulan dalam tradisi keagamaan yang satu.
Sarjana Tunisia, Muhammad Talabi dalam 'Is Cultural and Religious Co-Existence Possible' menyatakan, kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian tidak dapat hidup saling terpisah; mereka harus menguji klaim masing-masing yang ditelaah melalui proses dialog dengan mengakui adanya perbedaan meliputi pelbagai tradisi agama lain.
Menurutnya, misi Islam datang bukan untuk menghapuskan misi terdahulu. Islam menyempurnakan wahyu terdahulu tetapi bukanlah bermaksud menggantikan semua misi lain seperti yang tertakluk dalam surah al-Maidah 5:48. Begitu juga dalam perjanjian baru, Matius 5:17 ketika Yesus mengatakan bahawa ia datang bukan menghapuskan hukum sebaliknya menyempurnakannya.
Dalam tradisi keagamaan dua agama ini, kita akan menemukan banyak persamaan berkaitan ajaran moralnya. Namun tidak dinafikan bahawa ada kompleksiti dalam melihat hubungan antara Islam dan Kristian. Kesulitan ini harus dijadikan dialog, bukan lagi hal yang dipolemikkan sebaliknya mencari titik kesamaan dalam menyingkapi makna takbir yang tersirat dalam pesan ketuhanan.
Dalam sejarah naratif perkembangan Islam, tidak banyak perbincangan serius berkaitan hubungan antara agama yang banyak memberi tanya soal dan polemik di dalam al-Quran. Lebih-lebih lagi, al-Quran banyak merekod hal-hal yang beragam sifatnya sama ada bernada keras, lembut dan toleran kepada kaum Kristian dan Yahudi.
Seperti yang direkod dalam al-Quran mengenai Kristian, terdapat dua perkara. Pertamanya, bernada positif dengan menyatakan kaum Kristian mahupun Yahudi disebut ahlul kitab dan kedua, bernada negatif iaitu disebut sebagai kaum musyrik atau kafir.
Dalam hal ini, kedua-dua agama mengalami polemik berterusan. Sulit untuk kita menyikapi hubungan antara agama jika kita masih meletakkan diri dalam pendebatan kritik keautentikan tradisi ajaran kitab suci masing-masing.
Kita masih belum bersedia, apatah lagi mampu menempuh titik temu dalam menyikapi antara agama sebagaimana yang pernah dianjurkan oleh Kenneth Cragg, seorang pemikir Kristian yang menampilkan cara pandang positif terhadap Islam dengan mengajak kaum Kristian untuk memahami erti dan makna spiritual al-Quran. Perkara ini harus menjadi motivasi kepada kita untuk berganding mencari kebenaran dengan menghayati dialog antara kitab suci al-Quran dan Bible.
Menyingkap rahsia tuhan melalui Quran dan kitab suci
Seharusnya, Ramadan adalah bulan untuk kita mengembalikan semula buah pemikiran yang segar dalam memahami pesan al-Quran dan belajar dari tradisi kitab suci agama lain. Kerana, mencapai ketauhidan (dimensi spiritual) yang satu dalam titik temu masyarakat pluralis tidak mudah terbangun jika terus menerus mencari titik pertelingkahan dan mencipta polemik eksklusif.
Tadarus model ini terhasil lewat kesedaran untuk memahami esensi kemutlakan Tuhan dengan jujur untuk mendapat manfaat bersama. Ramadan adalah bulan untuk kita memahami dan menyingkapi rahsia Tuhan dengan saling belajar daripada berbagai tradisi kitab suci bukan mengulangi ritual setiap tahun tanpa memberi natijah terbaik dalam kehidupan lintas iman dan agama.
Tersebar luasnya sikap ekstremis beragama, fahaman kekerasan adalah musabab penting mengapa tadarus seperti ini harus dibangunkan.
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.
Comentarios