top of page

Melawan Polis Akidah

  • Rien Sd
  • Jun 1, 2017
  • 4 min read

Mahu tidak mahu, kita perlu mengakui, bahawa Islam hari ini memiliki kem/aliran yang terlalu banyak dan masing-masing daripadanya diwakili taikun-taikun kabir. Sebelum ini, dalam sejarah Islam, ketika zaman sahabat; berlaku pertembungan antara kem Imam Ali dan kem Mua’wiyyah. Kemudian Islam melalui zaman keragaman mazhab fekahnya, hasil daripada tafsir yang plural oleh para sarjana Islam. Mazhab politik juga demikian, berevolusi serta tidak terlepas daripada berdialog dengan zamannya. Kita tidak pernah seragam, walaupun kebanyakan mereka berkongsi sumber utama (primary source), prinsip-prinsip serta garis normatif agama.

Bertolak daripada ini, kita menjadi sedar bahawa keragaman ini, perlu dikendali dan diurus agar budaya beragama tidak berantakan dan kelihatan kusut masai. Perdebatan fekah, pertelingkahan ulama’ silam seharusnya tidak lagi di ]ulang-ulang dengan nada provokatif melainkan sekadar menjadikannya bahan revisi dan khazanah ilmu yang dibanggakan. Berdebat hal-hal yang yang telah beres dan diputuskan (seperti ijtihad para ulama’ dalam kerangka fekah dan syariat), hanya membuang masa, dan mengheret Islam kepada wajah kefekah-fekahan dan kelihatan semata-mata respon kepada perkara yang bersifat legislatif sedangkan gagasan Islam jauh lebih mencapah.

Melawan Agamawan Autokratik

Hari ini, kita menjadi tidak teratur. Biologi Tuhan dijadikan bahan perkelahian. Seakan-akan, tujuan kita beriman adalah untuk menyelidik berbetis tak berbetisnya Tuhan, atau bersemayam tak bersemayamnya Tuhan. Setelah mengetahui koordinat Tuhan, maka adakah kita menjadi muslim semuslim-muslimnya?

Agamawan autokratik ini sukar untuk disentuh, mereka terlalu kebal. Maka rentetan itu, tafsir mereka menjadi laris dan digemari ramai sekalipun bermuarakan kebencian.

Perkara ini berlarutan, menjadi parah dan kronik apabila kuasa (state) hadir berganding bahu dengan tafsir agama yang autokratik tadi, kemudian bertindak sebagai polis akidah, memijak, membantai dan mengecam kem ataupun aliran yang memiliki tafsir berbeza dengan mereka. Kalau bukan benar maka salah, kalau bukan hitam maka putih, kalau bukan dengan kami maka tergelincir daripada sempadan iman yang telah kami tetapkan. Inilah retorik yang membeku, berulat dalam kepala agamawan autokratik di negara ini. Memperjuangkan sekte mereka menjangkau nilai dan norma agama, mengeksklusifkan tafsir agama hanya kepada sebentuk tafsir.

Mengapa pemikiran oposisi binari ini menjadi masalah teruk dalam kalangan umat beragama kita di Malaysia? Kita sudah terlalu manja dihidang dengan keputusan-keputusan beragama oleh para agamawan. Mereka terlalu kerap menguruskan iman kita, sedangkan mereka sendiri sedang berlawan (struggle) dengan kehendak nafsu dan kepentingan peribadi. Bermulanya kita menyerahkan urusan iman kita secara total kepada agamawan, maka akal kita mula terbius yang kemudiannya berangkat daripada itu, kita menjadi bisu serta menerima bulat-buat segala cakap-cakap agamawan yang membisik ke telinga.

Kita mula mengabaikan kompleksiti dalam hal beragama. Tidak ada sedikitpun grey-area ketika kita membincangkan agama terutamanya hal yang bebas dengan tafsiran dan tidak bersifat absolute. Idea beragama ini, ketika dibawa ke tengah masyarakat, menjadi wajah rigid dan menghakimi. Tidak menawarkan solusi yang abstrak kepada masalah yang abstrak. Akibatnya, agama kelihatan tidak relevan dan tidak mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan yang bersifat kontekstual.

Kita ada banyak isu yang tidak selesai yang melibatkan kondisi sosial, ekonomi dan kerunduman politik di negara ini. Tapi yang menjadi riuh rendah ketika ini, adalah isu-isu yang remeh, kecil dan tidak pernah mewakili prinsip utama Islam.

Agamawan kita bergaduh seperti budak kecil. Apabila dua kem bergaduh, dan salah satunya melakukan kesilapan, maka ruang publik dijadikan ruang melunas dendam dan kesumat. Mereka akan saling membalun antara satu sama lain, merendah-rendahkan dan satu hal yang kita dapat lihat daripada perkara ini adalah; displin ilmu tidak terpakai ketika bergocoh dan saling menjatuhkan. Mereka mula menanggalkan muluk-muluk agama yang serba-serbi indah dan berhikmah, kemudian beralih kepada maki hamun, perlecehan serta ejek-mengejek.

Agama dan Hegemoni Kuasa

Kita perlu pergi jauh, meninggalkan tafsir agama yang autokratik, autoritarian, eksklusif yang membawa kepada sekterian dan perang kelompok yang tidak pernah berhenti. Agama hari ini semakin giat berdua-duaan dengan kuasa menjadi satu berhala hegemoni yang mengerikan. Secara tidak sedar, kita sedang dikawal dan diformatkan. Kita diminta untuk menerima bulat-bulat satu idea hanya beralasankan kesatuan ummat (unity of mankind). Tanpa menghiraukan perlunya kepelbagaian untuk menggalakkan lagi ketumbuhan sintesis dalam khaznah pemikiran umat Islam.

Polis-polis akidah hari ini, dibekalkan senjata yang canggih. Mereka mempunyai kuasa mutlak menyamai Tuhan untuk menyerbu, memberkas, menangkap, memenjarakan sesiapa sahaja yang berbeza aliran daripada mereka. Kuasa (state) mendukung kaum polis ini, bagi membentuk sebuah budaya beragama yang tunduk kepada selera dan kemahuan mereka.

Kita dipaksa-paksa dan dibentak-bentak seakan-akan konsep tauhid itu adalah akur kepada keputusan-keputusan negara serta polisi-polisi yang disepakati antara gama dan kuasa. Akhirnya, kita akan terburu-buru dan terkejar-kejar apabila beragama. Kita menjadi takut, ngeri dan sentiasa diawasi. Ketaqwaan kita dihalakan kepada polis-polis akidah ini, sehingga kita tidak lagi takut kepada Tuhan akan tetapi takut kepada konco-konco hegemoni terancang ini.

Khatimah

Kita memerlukan budaya beragama yang tiada unsur diskriminasi, dominasi tafsir dan lebih inklusif. Beriman adalah bukti kita terbebaskan. Bebas daripada kekangan dan projek pembodohan oleh sekolompok manusia yang menggunakan agama dan kuasa untuk meletakkan orang-orang lemah di bawah punggung mereka dan patuh kepada cakap mereka.

Islam terlalu unik, kerana sistem metafiziknya yang memiliki konsep keEsaan. Hanyasanya Tuhan Allah yang layak ditunduki dan hanya keputusan-keputusan tuhan yang wajar kita akur. Polis akidah ini, antara aktor yang mewajahkan agama dengan wajah bengis, kasar dan ekstrem. Selagi mereka ini wujud, maka tiada cara lain melainkan melawan polis-polis tersusun ini.

*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.


 
 
 

Comentários


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page