Sindrom Anti-Iran di Stockholm
- ZF Zamir
- May 22, 2017
- 4 min read

AKU turun dari kapal terbang DY3214 Norwegian Air dari Copenhagen sekitar jam 7.40 malam. Malam sudah pekat kerana musim sejuk malamnya bermula jam 4 petang. Suhu sekitar 2 darjah Celcius ketika aku menjejakkan kaki ke pelantar yang menghubungkan Terminal 5 dengan pintu kapal di Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm ini.
Tetapi pekatnya suhu itu tidak terasa kerana hangatnya hawa di dalam lapangan terbang. Aku berjalan menyusur laluan pejalan kaki mencari pintu keluar terminal sebelum mendengar bunyi jeritan dari kejauhan. 10 meter dari pintu keluar tersebut kelihatan 20 ke 30 orang sedang menjalankan demonstrasi di bibir pintu.
Kelihatan mereka sedang memegang sepanduk berbunyi; ‘Stodja politiska fangarnas hungerstrejk I Iran’ yang berbunyi ‘Support the political hunger strikers in Irania prison’ sambil menyanyi di dalam bahasa Farsi dengan memegang bendera negara Iran. Kehadiran mereka menyambut aku dan penumpang lain di balai ketibaan itu aku abadikan di Instagram bertarikh 22 Disember 2014.
Perjalanan aku dari Copenhagen secara bersendirian itu ditemani oleh album Hypnotize System Of A Down. Antara lagu yang tidak dapat aku lupakan apabila mengingat semula perjalanan ini adalah Attack, Dreaming serta Hypnotized sendiri.
Lagu Attack, misalnya menggunakan perkataan ‘We’ di dalam liriknya; We attack Attack, attack your fetal servitude We attack Attack, attack, attack with pesticide We attack All the years of propaganda We shall attack – untuk merujuk warga Amerika seluruhnya terlibat di dalam perbuatan menyerang negara lain di dalam peperangan – bukan semata-mata pihak kerajaan atau White House.
Sementara lirik hujung lagu ini pula – ‘Attack all the homes and villages, Attack all the schools and hospitals’ – mengingatkan kita kepada betapa kejinya manusia ketika berperang tanpa menghiraukan sekolah mahupun hospital.
Di dalam lagu Dreaming pula, lirik ‘For treated indigenously, digenously, Human right is private blue chip, pry’ merujuk secara artistik hak asasi manusia yang sepatutnya adalah milik semua kini dimiliki oleh ‘blue chip’ milik Verichip, sebuah badan korporat pertama di Amerika yang menjalankan penanaman cip ke dalam tubuh badan manusia.
Manakala lirik ‘We're the prophetic generation of bottled water, bottled water, Causing poor populations to die, to die, to die’ pula merujuk kepada keupayaan kita untuk menerima sesuatu yang asli seperti air dimanipulasi menjadi bahan perniagaan sehingga akhirnya hari ini kita sanggup membayar untuk mendapatkannya di dalam botol.
Dalam lagu Hypnotized pula, vokalis memulai lagu dengan mempertanyakan; ‘Why don't you ask the kids at Tiananmen square? Was fashion the reason why they were there?’ seolah-olah menyindir apakah benar mahasiswa yang mati pada Jun 1989 itu memperjuangkan kebebasan & demokrasi?
‘They disguise it, Hypnotize it, Television made you buy it’ pula mengingatkan kita bahawa selama ini kita telah dipukau oleh media dan televisyen untuk memahami bahawa kebebasan & demokrasi hanyalah barangan yang boleh dibeli.
***
Sabtu lalu, 20 Mei 2017 Rumah Putih mengumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyelesaikan perjanjian senjata terbesar dalam sejarah Amerika. Sean Spicer, Setiausaha Akhbar Rumah Putih melalui Twitternya menyatakan perjanjian di antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi bernilai USD 109.7 bilion. Ini termasuk 8 perjanjian jualan alatan ketenteraan bernilai USD 12.5 bilion oleh Amerika yang ditandatangani Arab Saudi pada hari tersebut selain 34 memorandum pakej ketenteraan lain yang bernilai USD 95 bilion.
Apakah perjanjian ini mengejutkan? Sudah tentu tidak.
Dunia mengetahui Arab Saudi kini mengepalai operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Yemen menggunakan misil-misil Raytheon buatan Amerika. Yemen Humanitarian Bulletin Isu 23 bertarikh 9 Mei 2017 seperti diterbitkan oleh United Nations Office for the Coordination of Humanitarian menyatakan; 8,010 nyawa telah melayang, 44,538 cedera parah, 10.3 juta berada dalam keadaan kronik serta 18.8 juta lagi memerlukan bantuan kemanusiaan segera dengan 14.1 juta tidak memiliki makanan serta 3.11 juta lagi dipaksa meninggalkan tempat tinggal mereka.
Jadi, apakah yang berlaku sebenarnya? Mengapa Amerika, melalui Arab Saudi beriya-iya ingin menghapuskan Yemen dan mendanainya melalui penjualan senjata?
Robert Fisk di dalam makalahnya bertajuk ‘This is the aim of Donald Trump's visit to Saudi Arabia – and it isn't good for Shia communities’ seperti diterbitkan Independent menyatakan, tujuan utama Trump melawat Arab Saudi adalah;
“The aim, however, is simple: to prepare the Sunni Muslims of the Middle East for war against the Shia Muslims. With help from Israel, of course,”
Katanya lagi, dari Pakistan, Jordan, Turki, Mesir, Moroko serta 42 bandar Islam yang lain (termasuk Najib Razak) yang hadir akan membolehkan Arab Saudi yang bercita-cita besar ini memimpin jihad Islamik mereka melawan terorisme serta minoriti Syiah. Tetapi ini haruslah dilakukan ketika semua orang mengabaikan Isis & Al-Qaeda, kumpulan terorisme Sunni seperti Nusrah Front yang merebak dan menjangkiti setiap gunung di Timur Tengah. Ini menurut Fisk, dijalankan ketika Trump mensyarahkan mengenai Islam serta terorisme dan Iran yang ekstremis - dalam masa yang sama ketika klon-klon Wahabi Isis sedang sibuk merosakkan reputasi Islam melalui kempen ketenteraan mereka di seluruh dunia.
Kisah anti-teroris versi ini lebih mudah untuk dijelaskan kepada warga Amerika. Dalam versi ini, teroris sebenar ialah Syiah Iran, Syria, Hezbollah serta Houthis Yemen. Oleh yang demikian, dengan membekalkan misil-misil Amerika, kapal terbang, kapal laut serta peluru-peluru untuk perang yang akan tiba, bahawa Amerika akan gembira – dan menggembirakan Israel - yang lebih gembira melihat kaum Muslim berperang sesama mereka di antara Sunni & Syiah. Semua ini berlaku menurut Fisk, ketika Isis ciptaan kultus agamawan Salafi menjadi kubu pertahanan utama buat Amerika.
Sebenarnya, tidak sukar untuk memahami dan mempercayai tulisan Fisk ini kerana kenyataan Rumah Putih seperti disalin CNBC menyatakan dengan terang mengenai ancaman Iran dan kaitannya dengan perjanjian senjata ini;
“This package of defense equipment and services support the long-term security of Saudi Arabia and the Gulf region in the face of Iranian threats, while also bolstering the Kingdom’s ability to contribute to counter terrorism operations across the region,”
***
Dan kita semua, sebenarnya adalah penghidap Stockholm Syndrome, sejenis sindrom empati kepada penjahat yang sebenarnya sedang mengkhianati kita. Saudi pada hari ini telah menjadi anjing suruhan Amerika. Satu-satunya kemuliaan yang mereka miliki sehingga kita terlalu sayang dan kasihan kepada mereka hinggakan kita tak sabar untuk bercita-cita menjadi seorang Arab pada hari ini adalah kerana kedudukan Mekah dan Madinah sahaja.
Sebuah lagi lagu di dalam album Hypnotize ialah Holy Mountains, sebuah lagu yang didedikasikan khas kepada peristiwa genosid terhadap kaum Armenia pada 1915 oleh tentera Turki. Begitulah, hipokritnya System Of A Down, sebuah band dari Amerika, yang menulis dan menyanyikan lagu-lagu anti-perang dari sebuah negara yang tak berhenti menaja perang di seluruh dunia.
Dan begitulah juga kita, manusia-manusia hipokrit yang mendengar dan melayan lagu-lagu anti-perang ketika tanpa sedar kita sedang menyokong negara-negara ini menjalankan kempen ketenteraan dan membunuh anak kecil di sekolah dan orang-orang tua di hospital. Seperti di hujung lagu Attack;
‘Attack all the homes and villages, Attack all the schools and hospitals’
Comments