top of page

Bercerita Tentang Petang dan Dia

  • ZF Zamir
  • May 16, 2017
  • 3 min read

PETANG itu langit mendung, tak cerah seperti biasa. Awan berhenti di atas kepala dan angin menarik pokok-pokok ke tepi, seperti mahu bercerita tentang sesuatu ketika mesej masuk ke dalam telefon.

Aku berpaling melihat skrin. Lampu merah masih menyala dan kereta masih beratur menunggu giliran. Aku sempat membaca perlahan. Mesej dari dia;

“Ironi, hari ini MIT dan universiti terkemuka dunia mula memperkenalkan kursus empati...”

Aku mengulang baca untuk kali kedua sebelum perlu bergerak kerana lampu hijau sudah menyala. Radio memulakan lagu David Bowie yang terkenal, Moonage Daydream;

I'm an alligator, I'm a mama-papa coming for you I'm the space invader, I'll be a rock 'n' rollin' bitch for you Keep your mouth shut, you're squawking like a pink monkey bird...

Aku berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak dan juga menyambung baca mesej dari dia. Aku mencongak jam di tangan, kerana kami terpisah 6 ke 7 jam kerana zon waktu yang berbeza. Ah ya mungkin dia baru bangun pagi kerana Malaysia kini sekitar jam 3 petang.

“Sesuatu yang inheren dengan sifat semulajadi manusia kini perlu diajari semula?”

Soalannya ditinggalkan bersama sekeping tulisan bertajuk “The one crucial skill our education system is missing,” oleh Belinda Parmar. Aku menyelesaikan urusan mengisi minyak mahal ke dalam kereta sebelum mengalih kereta ke tepi untuk membaca sebentar.

Perlahan, rintik hujan menitis di cermin kereta, kecil tetapi konsisten. Kata Parmar, manusia tidak lagi menggunakan potensinya sewaktu revolusi industri keempat hari ini. CEO Microsoft, Satya Nadella misalnya memberitahu ketika di Davos tahun ini bahawa ketika dunia sedang menantikan kedatangan AI dan mesin-mesinnya, nilai-nilai kemanusiaan seperti empati dan ‘common sense’ akan menjadi sesuatu yang sangat sukar untuk ditemukan. Sara Konrath dari Michigan Universiti menemukan di dalam kajiannya bahawa orang muda telah menjadi semakin kurang empati dengan pelajar kolej Amerika menunjukkan penunuran sebanyak 48% di dalam ‘empathic concern’ serta 34% penurunan dalam kemampuan mereka untuk melihat dari perpektif orang lain.

Aku membalas beberapa patah sebelum dia memulakan ‘womansplaining’ kepada aku mengenai konsep inheren, yang menurutnya adalah sesuatu yang kontras dengan konsep ‘learned’ serta mengapa dia berasa bahawa sesuatu yang maha pelik kerana hari ini kita terpaksa belajar sesuatu yang sepatutnya inheren di dalam diri kita. Tanpa menunggu penjelasan lebih panjang aku meneruskan perjalanan walaupun langit semakin gelap ketika aku menghala masuk ke dalam Kuala Lumpur. Lebuhraya seperti biasa, penuh dengan kereta-kereta yang beratur seperti tikus di dalam longkang. Aku mengingat semula bahan yang baru aku baca sebentar tadi;

Sehingga 87% milenials mengaku tidak mampu meneruskan perbualan kerana terganggu dengan telefon masing-masing. Ironinya, di dalam dunia tanpa sempadan di mana kita semua semakin pantas terhubung antara satu sama lain, tetapi kita sebagai individu, keluarga dan masyarakat semakin terpisah. Dapatan suara Gallup misalnya menunjukkan keluarga semakin lama semakin meninggalkan tradisi makan bersama-sama, sementara 51% remaja lebih gemar berhubung secara digital berbanding secara bersemuka walaupun dengan rakan mereka sendiri. Malahan sehingga 43% orang muda berumur 18-24 tahun menyatakan ‘texting’ adalah sama pentingnya seperti sedang berbual di telefon.

Ini mengingatkan aku kepada pendidikan. Pasti salah satu puncanya adalah, bagaimana kita menguruskan pendidikan hari ini. Kerana mahu ataupun tidak, dunia sedang bergerak dan apakah pendidikan yang sedang kita sediakan adalah pendidikan yang anak-anak ini perlukan pada masa hadapan? Apakah 3M, Membaca, Menulis dan Mengira sepertimana yang kita amalkan sebelum ini dalam bidang pendidikan menyediakan anak kita untuk dunia ‘internet of things’, dunia ‘precariat’ atau dunia kereta tanpa pemandu? Ataupun, apakah amalan 3M ini sebenarnya adalah amalan primitif & mistik yang sebenarnya sedang menyediakan anak-anak kita untuk kilang-kilang dan kerja-kerja perkeranian ataupun ‘hard skills’ dengan mengorbankan kreativiti, imaginasi serta ‘emotional intelligence’?

Jadi hari ini, MIT sebagai salah satu institusi yang menyedari masalah ini akan menyediakan mahasiswanya dengan kursus ‘Charm School’ dengan pelbagai program khas termasuk nasihat-nasihat dari ‘bilakah masa yang sesuai untuk membuat eye-contact’ sehingga ‘bilakah masa yang sesuai untuk menyampaikan berita buruk’.

Namun MIT bukanlah satu-satunya institusi yang menyedari isu ini. SAP hari ini mempunyai program ‘Empathy to action’, Facebook mempunyai ‘Empathy Lab’ malah Johnson and Johnson mempunyai bisnes model yang berpusatkan empati. Kesemua inisiatif ini adalah petunjuk perubahan yang sedang masyarakat dunia hadapi untuk menentang zaman baharu nanti.

Aku sampai ke lokasi yang dituju dalam gelap dan pekatnya petang Kuala Lumpur yang diselimuti hujan lebat dan angin kencang dengan mesej dari dia;

“Kalau universiti ternama Barat dah mula buat kelas untuk mengajarkan Empati, sesuatu yang sepatutnya kita punyai secara normal, memang kita dah berada di satu tahap yang sangat teruk. Kelakar kan?

“Seolah-olahnya mengajarkan kita untuk kencing padahal kita secara natural sepatutnya tahu bagaimana untuk kencing,”

Adakah ini bermakna, kegagalan kita untuk memahami masa hadapan akan menyebabkan kita menyediakan pendidikan hari ini untuk masa lampau? Dan petang itu aku menyebatikan diri dengan kesejukan Kuala Lumpur mengingatkan 70 tahun lalu Ernest Hemingway pernah menasihatkan penulis-penulis muda;

“When people talk, listen completely. Most people never listen.”

Dibawah hujan, aku meneruskan perjalanan dengan fikiran-fikiran yang tak tersiapkan, seperti hari-hari sebelumnya.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page