Kaum Ibu, Bersatulah!
- Lucy Montok
- May 14, 2017
- 3 min read
Khomeini, salah seorang dari pemimpin kontroversial Iran pernah berkata “Wanita mungkin tidak dapat menjadi nabi atau marja’, tetapi dari rahim merekalah yang melahirkan Nabi dan marja’. Nabi dan marja’ tidak akan dapat lahir dari perut lelaki. Sehebat-hebat lelaki, Nabi dan marja’ tidak akan keluar dari perut mereka. Selemah-lemah perempuan, semua Nabi dan Rasul, mesti melalui perempuan terlebih dahulu. Perempuan adalah transisi segala ketamadunan di bumi ini”
Dalam setahun, beberapa hari khusus telah diraikan untuk mengenang sosok individu tertentu. Pada bulan Mei tanggal 14, seisi dunia meraikan Hari Ibu bagi mengenang segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ibu. Pada hari berkenaan, akan terlihatlah kedai kek dan manisan dikunjungi orang ramai, begitu juga kedai bunga dan kad ucapan ligat dikirim ke sana ke mari, restoran dipenuhi oleh keluarga yang datang untuk menjamu selera beramai-ramai, hanya bagi meraikan hari istimewa ini.
Namun seringkali akan berlakunya separatisme antara mengangkat pengorbanan seorang ibu jauh dari dasarnya yang utama iaitu pengorbanan dan kesukaran menjadi seorang perempuan.
Mengingati Hari Ibu seharusnya membawa kita melihat jauh ke dalam diri seorang perempuan. Kerana dasar utama untuk menjadi seorang ibu yang baik ialah kondisi yang sihat untuk seorang perempuan menyusuri usianya.
Hal ini bermakna, menjadi ibu yang baik bermaksud mendapat perlindungan dari dalam keluarga dan dari luar, yakni masyarakat itu sendiri bagaimana untuk hidup dalam keadaan yang selamat dan tertib. Hak mereka terjamin dan ruang kebebasan mereka tidak dikekang. Untuk lebih khusus, perempuan yang mendapat akses pendidikan, mempunyai peluang untuk membina karier, bebas memilih jalan hidup terbaik buat diri mereka selagi mana ia tidak membawa mudarat besar buat dirnya dan juga sekeliling, adalah ciri mustahak untuk menjadi seorang ibu yang baik.
Dan idea untuk menjadi seorang ibu itu juga harus diperluaskan lagi. Adakah seorang ibu itu hanya layak dipanggil sebagai seorang ibu apabila dirinya telah melahirkan seorang bayi, memberinya air susu yang manis yang datang dari dalam tubuhnya untuk menghilangkan dahaga, menukar lampin bayinya yang basah di kala malam menjelang, memandikannya dengan kasih-sayang setiap kali pagi mendatang dan melihatnya mendewasa dengan rasa cinta yang tidak pernah berkurang? Adakah untuk menjadi seorang ibu itu hanya tertakluk pada kejadian ini?
Menjadi seorang ibu secara biologis adalah tugas yang mulia namun menjadi seorang ‘ibu’ melalui pahit getir perjuangan sosial seperti dalam lapangan pendidikan, pemberdayaan sosial, politikal dan penjagaan alam sekitar seharusnya tidak dilupakan oleh mana-mana pihak. Mana-mana perempuan yang masih bujang dan tidak pernah lagi melahirkan mana-mana bayi dari rahim suci mereka tetapi telah terlibat dengan usaha untuk menjadikan dunia ini, dunia yang lebih baik adalah seorang ibu buat generasi yang mendatang. Pengorbanan mereka dalam memastikan setiap anak kecil yang walaupun tidak mempunyai pertalian darah secara langsung dengan mereka mendapat hak mereka untuk merasai pendidikan, dapat keluar dari kemendapan kepompong kemiskinan, hak sosiologis dan politikal mereka terus-terusan diperjuang dan segala khazanah alam yang ada sekarang ini masih mampu dikekalkan kerana ia milik semua orang; telah mendukung makna dalam menjadi seorang ibu.
Dan kerana inilah, kondisi yang baik untuk seorang perempuan menyusuri usianya mendewasa amat mustahak untuk diwujudkan. Kaum perempuan harus dibekalkan dengan pendidikan, keberanian, kegigihan, liberasi dan ditanggalkan segala stereotaip gender yang meracuni persekitaran dan berbagai fitnah demagog yang tidak lebih dari sekadar helah untuk menukang sebuah dunia patriarki. Dehumanisasi terhadap kaum perempuan dalam panggung sejarah sepertimana ketika zaman Jahiliyah di mana bayi perempuan telah ditanam hidup-hidup dan telah dijadikan sebagai hamba seksual dan permainan kaum lelaki harus dilawan secara habis-habisan pada hari ini tidak kira di celah dunia mana pun ia dilakukan. Potensi untuk melahirkan jutaan ibu yang sihat fizikal dan akal mindanya adalah tanggungjawab untuk setiap individu yang mempunyai akal dan bernyawa.
Maka haruslah sentiasa kita ingati bahawa selemah-lemah perempuan dari sudut kekuatan fizikalnya yang sentiasa dijadikan poin untuk para perempuan ditekan, adalah rahim sucinya yang telah koyak, mengalirkan darah dan cecair keluar dari tubuhnya, air matanya yang telah mengalir deras untuk membendung kesakitan yang mencengkam; yang telah berhempas-pulas untuk melahirkan sebuah tamadun dan peradaban.
Comments