HOI, ORANG ASIA. JANGAN LETAKKAN KERETA DI SINI!
- Ahmad Zubir
- May 10, 2017
- 4 min read
“Hoi. Kamu orang Asia. Nanti beritahu rakan-rakan kamu. Jangan letakkan kereta di depan rumah kami, kalau kamu mahu ke gereja atau masjid atau apa sahaja yang kamu panggil.”
Teriak seorang wanita tua putih berumur dalam lingkungan 50-an ke arahku setelah aku keluar dari kereta untuk menuju ke Masjid Al-Noor Utah. Hari ini hari Jumaat. Dan aku dalam perjalanan hendak menunaikan solat Jumaat pertama di bumi asing.
Aku kaget dengan teriakannya. Aku berlalu pergi dan masih berteka-teki dalam benakku akan apa yang dikatakan wanita tua tadi kerana tutur katanya cukup laju dalam bahasa Inggeris. Dan aku ini tidak semahir Muadz dan Amir yang bersama denganku dalam pengembaraan road trip di West Coast tanah besar Amerika Syarikat. Muadz dan Amir lebih berkebolehan bertutur dan memahami bahasa Inggeris laju. Amir dahulunya selalu menyertai pertandingan syarahan pidato bahasa Inggeris sewaktu kami bersekolah di Sekolah Agama Safinatun Najah, Shah Alam.
Aku memakan masa sedikit untuk menterjemah satu persatu perkataan yang dihamburkan wanita tua tadi. Rupanya dia menyuarakan kerimasannya kerana lambakan kereta kaum Muslimin yang meletakkan kereta di hadapan rumahnya dan rumah penduduk lain. Sehinggakan dia dan penduduk lain tidak tahu di mana lagi mahu meletakkan kereta jika kawasan hadapan rumah mereka sudah ‘ditakluki’. Dia perasan, kereta ini banyak pada hari jumaat sahaja.
Kebetulan aku yang dijumpainya pada hari itu. Dan rupa wajah asingku yang padanya telah mendorongnya untuk bersuara. Ini kesilapan teknikal komuniti Islam di Amerika. Mereka terpaksa meletakkan kereta kerana masjid tidak mempunyai ruang parkir. Masjidnya kecil sahaja, hanya sebesar surau biasa di Malaysia.
Aku berlalu terus ke masjid untuk mendengar khutbah. Benar-benar kecil masjid ini. Ruang solat lebih kecil daripada bilik kuliahku di universiti. Dan memang tiada langsung ruang meletakkan kereta yang banyak untuk menampung kenderaan jemaah yang datang dari jauh. Begitu juga di Belgium. Semasa aku menjalani program musim panas selama dua minggu di Gent, Belgium, aku berjalan sejauh beberapa kilometer hanya untuk mendengar khutbah dalam bahasa Turki dan menunaikan solat jumaat. Dan ahli jemaah lain juga berjalan kaki selain berbasikal untuk ke sini.

Jumaat-5 Mei 2017 lalu di Johor, suatu persabungan telah berlaku antara jemaah solat jumaat dan seorang pemandu Cina yang membunyikan hon kereta. Jemaah pula yang berasa jengkel dengan deretan bunyi hon yang dilepaskan berdas-das itu lalu menyerang kereta tersebut. Hancur cermin belakang kereta. Pemandunya pula dipukul bertalu-talu dengan sebuah kon berwarna oren oleh jemaah yang berserban dan berjubah.
Lewat peristiwa itu, persoalan akhlak selalu timbul di mindaku. Budaya samseng yang ditonjolkan kedua belah pihak benar-benar menimbulkan kerisauan. Yang mencari pasal itu apakah tidak arif tentang suasana sewaktu solat jumaat? Sudah berapa banyak solat jumaat yang dibuat sepanjang lebih 50 tahun kita merdeka? Dan adakah 50 tahun tempoh waktu yang tidak mencukupi untuk kaum lain memahami kaum Muslimin sedang beribadah dan harus dihormati waktu ibadah mereka? Dan tindakan membunyikan hon sewaktu upacara ibadah sedang dijalankan adalah suatu bentuk penghinaan, menggugat dan mencabar.
Tetapi apakah implikasinya pada umat Islam apabila kita melawan api dengan api? Tiada masalah yang boleh diselesaikan dengan jalan keganasan. Malah ia menimbulkan komplikasi yang lebih rumit. Dan apakah implikasinya kepada dunia luar yang memandang? Saat yang berjubah dan berserban tidak lagi merasakan suatu kesalahan mengangkat kon dan menyerang pemandu, jauh sekali berasa malu. Dunia sedang memerhatikan budaya samseng kita.
Apakah jalan yang tinggal hanya jalan kekerasan bahasa siku dan lutut. Adakah umat Islam benar-benar telah diinjak-injak maruahnya jika tidak berkelakuan ganas sebegitu. Sehinggakan hilang pertimbangan akal mereka terus menggunakan kon sebagai senjata sambil memkaai jubah dan serban?
Apa yang lebih ironinya ialah kerana umat Islam baru sahaja selesai solat jumaat iaitu urusan dengan tuhan. Tetapi akhlak yang ditonjolkan telah mencemarkan ibadah yang baru sahaja kita jalani beberapa minit lalu. Memang betul upacara ibadat yang diganggu dengan deretan bunyi hon telah menimbulkan amarah kita. Tetapi dimanakah keadilan diri kita.
Adakah ini akhlak yang ingin kita sampaikan kepada generasi anak-anak kita? Agar mereka sentiasa bertutur dengan bahasa siku dan lutut pada setiap situasi dan keadaan? Agar mereka melawan api dengan api? Agar mereka sentiasa hilang pertimbangan dalam akhlak mereka?
Di dalam solat kita diajar untuk menentukan sikap. Kita sudah dididik untuk berbaris dalam satu saf yang lurus. Seringkali imam di hadapan memalingkan muka ke belakang dan berpesan kepada makmumnya, ‘luruskan saf’. Namun, mengapa kita tidak membawa semangat ‘luruskan saf’ ini di luar solat? Misalnya, ketika melabuhkan dahi ke lantai masjid dan mulut kita terkumat-kamit, basah melafaz zikir– tetapi pada masa yang sama kereta-kereta kita diletakkan di tengah jalan sehingga menghalang pengguna jalan raya lain. Ini pula bagaimana?
Dan ini adalah refleksi kepada akhlak kita yang tidak teratur di luar solat. Saat kita memasuki tren, berapa ramai daripada kita yang beratur dalam barisan di tepi pintu tren daripada berebut-rebut dan memberikan laluan kepada penumpang yang ingin keluar dahulu? Atau berapa ramai daripada kita yang mengatur kasut dan selipar sebelum masuk ke masjid dan tidak melemparkan sepatu di merata-rata tempat? Adakah kita masih mengikut semangat “luruskan saf” yang sama?
Cerita aku mendengar teriakan dan luahan wanita tua di Amerika berlaku kira-kira 9 bulan lalu di Salt Lake City, Utah. Wanita tua itu memarahi aku, dan marahnya berasas. Lantas aku tidak berteriak kembali kepadanya kerana dia mempunyai hak. Perkara yang disampaikannya berkait tentang akhlak, iaitu ahli jemaah yang meletakkan kereta di hadapan rumah penduduk tempatan telah melanggar haknya sebagai penduduk tempatan. Dan aku hanya membungkam kerana aku sedar itu tindakan akhlak terbaik pada waktu itu. Jika aku membalas atau bertikam lidah, mungkin dia tidak menghormatiku lagi, selaku seorang Muslim di Amerika. Orang Islam di sana sedar mereka adalah golongan minoriti. Walaupun mereka melakukan kesilapan, harapnya mereka tidak melakukan kesilapan itu lagi.
Tetapi di tanah airku pula, dampaknya keharmonian rentas agama dan budaya masih rapuh. Ini isyarat jelas bahawa masih tidak utuh persefahaman kita sehingga berlakunya pergeseran-pergeseran sebegini. Aku tidak bersetuju dengan kaum Cina tersebut yang tidak menghormati ahli jemaah yang sedang bersembahyang. Aku juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir ultra-Melayu yang mengambil peluang daripada kes ini untuk menujukkan kebencian mereka kepada kaum Cina. Mentang-mentang kaum Melayu berada dalam golongan majoriti. Seolah-olah kita yang memegang kunci kebenaran di sini. Tetapi itu tidak memberikan kita lesen untuk menunjukkan budaya samseng.
Harus aku akui, yang membunyikan hon ada salahnya. Yang membalas bunyi hon tersebut dengan tindakan ala-kung fu panda juga salah. Dan sekarang ialah masa untuk kita merenungi kesalahan kita dan mencari titik-titik persefahaman agar kita terus bergerak sejajar bersama sebagai sebuah negara bangsa.
Comments