top of page

MAYDAY : HARI PEKERJA TIDUR

  • Hadri Shah
  • Apr 28, 2017
  • 7 min read

'Man in isolation can have no awareness of his liberty ... Liberty is therefore a feature not of isolation but of interaction, not of exclusion but rather of connection.' - Mikhail Bakunin

Bagaimana caranya kaum pekerja Majlis Perbandaran Petaling Jaya menyambut Hari Pekerja tahun 2017?

Cuba-cubalah melawat portal MBPJ.

Tahun ini, mereka, pekerja MBPJ merayakan Mayday dengan menyertai Kejohanan Sukan yang bakal dilangsungkan pada 7 Mei nanti. Ada pelbagai acara sukan bakal berlangsung termasuklah futsal, bola jaring, ping pong dan sepak takraw.

Hari cuti am sebegini elok sangatlah mengeluarkan peluh, bergembira bersama kawan-kawan sekerja dan yang paling membahagiakan, kejohanan sukan ini dapat mengikat tali silahturahim antara pekerja dengan lebih erat.

Perjuangan kelas pekerja sudah lama termansuh. Tiada apa lagi yang mesti dijuangkan. Kini, kebahgiaan ala syurga firdaus sedang dinikmati seluruh kelas pekerja MBPJ terutamanya. Terima kasih kepada moyang-moyang Haymarket yang sanggup bermati-matian untuk mendapatkan jam kerja ideal kepada anak-anak cucu di seluruh dunia.

Di dalam dokumentari arahan pengarah kontroversi Michael Moore bertajuk 'Where to Invade Next?' yang diterbitkan pada Disember 2015, Moore menjelajah ke serata benua Eropah untuk menemukan perbezaan kehidupan, pendidikan, politik dan sosial antara kelas pekerja di Amerika Syarikat dan para pekerja di serata benua Eropah.

Terlalu banyak bahagian yang sinis dan berbau provokasi dipaparkan. Dan tentunya modal beginilah yang dimahukan Moore untuk disajikan kepada penonton untuk tukaran kepada pembenihan kesedaran terutama sekali kepada kelas masyarakat/pekerja di Amerika Syarikat.

Ketika Moore di Itali, dia berpeluang menemu ramah seorang wakil kesatuan kerja kilang motor termahsyur, Ducati.

Di Itali, hak pekerja berada di tingkatan yang lebih baik dari Amerika.Para pekerja di Itali menikmati cuti berbayar, cuti berbulan madu berbayar, cuti 'parental leave' berbayar, 'thirtheenth salary' (gaji ke 13 bulan, selalunya dibayar pada tiap perayaan Natal, rujuk ertian lebih lanjut di carian google), 2 jam rehat/makan tengahari dan ruang kerja yang lebih demokratik.

Moore begitu terpesona dengan kebajikan yang dinikmati para pekerja Itali kerana di Amerika, kelas pekerja disana tidak memperoleh 'privilege' seperti itu. Wakil Kesatuan Pekerja di Kilang Ducati itu mengatakan bahawa setiap kebaikan yang sedang mereka nikmati itu bukan turun dari langit, diberkati oleh negara dan elit borjuis; ia adalah hasil titik peluh nenek moyang mereka yang sanggup dibunuh dan dipenjara melawan kebrutalan negara yang dibarisi elit borjuis dan kapitalis-kapitalis.

Namun katanya tegas, itu bukan titik terakhir gerakan pekerja. Kesenangan yang mereka perolehi kini ialah partikel kecil bukti eksistensi perjuangan kelas. Terlalu banyak lagi yang perlu diperjuangkan, merebut hak dan kebebasan, lagi-lagi dalam dunia kapitalisme yang semakin kompleks.

Mayday bukan sekadar drama tuntutan pengurangan jam kerja. Hari Buruh pada 1Mei pertama kali ditetapkan di Kongress Kedua Internasional tahun 1889 untuk memperingati martir-martir dan kelas pekerja khususnya tragedi Haymarket 1886 bertujuan meniupkan semangat revolusioner kaum pekerja sedunia.

Mayday tidak lain disambut untuk menyemarakkan perjuangan kelas, melawan kuasa modal, perhambaan tuan tanah (kini skop tuan tanah menjadi lebih besar yakni bermaksud pemegang produksi) dan juga menumpaskan kebengisan negara, elit politikus dan institusi-institusi kapitalisme.

Mayday ialah sebuah cita-cita agung mencipta dunia yang lebih baik dimana kesamarataan dan keadilan berada di maqam tertinggi, masyarakatnya bersikap egaliter, bebas dan merdeka tanpa perlu tunduk kepada autoriti tetapan negara, ahli politik dan pemegang produksi.

Perjuangan kelas adalah perjuangan yang paling relevan sepanjang zaman. Dari zaman Firaun sehingga zaman Donald Trump si fasis yang sudah pun menjadi kepala administrasi Amerika Syarikat, perang kelas adalah satu satunya perang yang apinya tidak pernah padam.

Mengapa perjuangan kelas ini sebuah perjuangan yang sangat essential?

Seperti yang dicatat di dalam artikel 'The Definition of Class' terbitan Libcom.org,

"It is important to stress that our definition of class is not for classifying individuals or putting them in boxes, but in order to understand the forces which shape our world, why our bosses and politicians act the way they do, and how we can act to improve our conditions."

Tambah penulis artikel,

“When we are at work, our time and activity is not our own. We have to obey the alarm clock, the time card, the managers, the deadlines and the targets.

Work takes up the majority of our lives. We may see our managers more than we see our friends and partners. Even if we enjoy parts of our job we experience it as something alien to us, over which we have very little control. This is true whether we're talking about the nuts and bolts of the actual work itself or the amount of hours, breaks, time off etc.”

Makanya, pengertian tepat perjuangan kelas ialah konflik antara pekerja dan majikan kapitalis ; pekerja dari kalangan 99% menukarkan tenaganya, setiap jam dari hidupnya untuk kekayaan negara dan majikannya dari kaum 1%.

Adalah menyedihkan jika perjuangan ini, pekerja hanya tertumpu dan mengenang romanstisme usang; menuntut jam kerja, kenaikkan gaji tahunan atau sekadar bertempur dengan majikan hal-hal berkaitan "benefit". Ini kerana kelas pekerja seharusnya sudah faham akan karakteristik kapitalisma yang mudah berwajah manusiawi. Mereka, kapitalis dan negara mungkin bertoleransi dengan tuntutan kecil pekerja dan kesatuannya, tetapi ia tetap tidak merubah apa-apa nasib pekerja sendiri.

Kerana nyatanya, di titik akhir perang kelas ialah emansipasi kelas pekerja dan kelas masyarakat.

Di Malaysia terdapat 733 kesatuan sekerja dengan jumlah keahlian sebanyak 901,499. Jumlah keseluruhan pekerja yang berpersatuan hanyalah 7 peratus dari hampir 15juta pekerja di Malaysia.

Apakah peranan kesatuan pekerja? Bolehkah kesatuan menyatupadukan kelas pekerja di setiap sektor dan industri? Ataupun kesatuan hanya berfungsi untuk memperjuangkan nasib ahli sahaja? Bagaimana nasib pekerja bukan ahli yang lain? Siapa pula akan memperjuangkan mereka?

Ada sebahagian kesatuan kerja telahpun dipecah-pecahkan kerana perbezaan pangkat. Hanya pekerja berpangkat 'A' layak berpesatuan manakala yang berpangkat 'B' tidak layak dan dimiliki mutlak oleh majikan, sedangkan masing-masing menguruskan tugas kerja yang hampir sama. Ironinya, kesatuan selalu riak dengan slogan "hidup pekerja", tetapi realitinya mereka (kesatuan kerja) beraksi demi menjaga kebajikan kesatuan dan ahli-ahlinya sahaja.

Negara dan Kapitalis sudah lama mencerai beraikan kelas pekerja. Dari upah kerja yang berbeza, pangkat dan 'benefit' yang diterima pekerja, melengkapkan agenda mereka dengan mengasingkan semangat solidaritas sesama kelas pekerja.

Justeru, jika timbulnya konflik, pekerja dan kesatuan yang terkesan sahaja akan menuntut hak, sedangkan kelas pekerja yang lain tidak menunjukkan sikap dan berpartisipasi kerana merasakan tiada keperluan.

Di mana perginya spirit, satu kesakitan dihinggap, kesemua merasa deritanya?

Itulah realiti yang kelas pekerja sedang jalani. Ketika buruh-buruh imigran mati ketika tidur kerana jantung bergerak terlalu pantas disebabkan jam kerja yang berlebihan, tiada siapa yang mahu berada di saf paling hadapan menuntut keadilan. Di saat kebanyakkan pekerja diambil secara kontrak lalu mempengaruhi upah gaji yang sedikit, hak-hak pekerja seperti upah gaji lebih masa dan kemudahan kesihatan yang tidak setimpal, para pekerja lain yang berstatus pekerja tetap diam seribu bahasa. Tiada satu pun kesatuan yang berjuang untuk mereka.

Ada juga kesatuan pekerja menganggap fungsi kesatuan adalah untuk memperjuangkan nasib kaum pekerja tetapi menolak untuk terlibat dalam urusan politik. Bagi mereka, biarlah isu politik itu urusan peribadi ahli-ahli kesatuan.

Yang menghairankan, mereka tidak pula segan silu menjemput seorang bekas Perdana Menteri memberi pandangannya dalam soal ekonomi dalam satu forum anjuran kesatuan.

Begitu juga bila disoal tentang hadiah mereka terhadap salah seorang bekas Perdana Menteri terdahulu. Jawapannya ialah, hadiah itu sebagai ingatan tanda terima kasih kepada bekas Perdana Menteri kerana 'membantu' menjayakan tuntutan mereka.

Tidakkah mereka sedar, Perdana Menteri yang hadir dan memberi ucapannya mengenai ekonomi seorang fasis yang sering menafikan hak-hak kelas pekerja ketika di era pemerintahannya? Bukankah polisinya suatu ketika dahulu mengheret kelas pekerja bergelumang dalam krisis yang menyedihkan?

Dan mengapa pula sekarang menjemputnya dengan layanan kelas pertama ke forum untuk bercakap soal ekonomi yang sangat intim dengan nasib kelas pekerja?

Bukankah ini satu pengkhianatan kepada perjuangan kelas?

Tidak adil kita menafikan peranan kesatuan pekerja. Malah lebih tidak adil jika kita melupakan perjuangan yang mereka telah lakukan. Tetapi dengan memberi alasan tidak perlu terlibat dalam urusan politik, itu telah membuktikan kelas pekerja dan kesatuan terasing dalam fungsi sebenarnya.

Sudah banyak kerosakkan berlaku yang disebabkan permainan politik yang dipacu elit politikus yang mengakibatkan keresahan dalam aturan sosial-ekonomi masyarakat. Yang susah semakin susah, yang tercicir akan terus ketinggalan.

Inilah yang terjadi ketika kelas pekerja dan kesatuan pekerja mengambil sikap berkecuali dalam urusan politik. Mereka hilang pedoman, hanyut dalam sistem yang didesain Apparatus Negara dan angkatan kapitalis. Akhirnya, perjuangan kelas menurut mereka berputar pada urusan ‘perut’ sendiri.

Kelas pekerja tercicir untuk bahu-mambahu memperjuangkan kebebasan keseluruhan kelas pekerja seperti mana yang diungkapkan Bakuin seorang pemikir Anarkis,

No man can achieve his own emancipation without at the same time working for the emancipation of all men around him. My freedom is the freedom of all since I am not truly free in thought and in fact, except when my freedom and my rights are confirmed and approved in the freedom and rights of all men who are my equals."

Biaya kesihatan yang semakin mahal, privatasi/pemilikan peribadi bermaharajalela, akses kepada pendidikan anak-anak yang semakin mencelarukan dan dilihat sebagai komoditi menguntungkan, hak-hak pekerja wanita dinafikan, martabat pekerja imigran ditahap paling bawah, cukai yang semakin membebankan, kos isi hutang rumah yang semakin kritikal, pengangguran, upah gaji yang berbeza – ini adalah jawapan mengapa kapitalisma mesti dihapuskan.

Kapitalisma tidak sahaja merosakkan kehidupan masyarakat malah ia telah membakar dunia. Tidakkah kita membaca laporan bank-bank gergasi memberi sejumlah pembiayaan kepada syarikat-syarikat perladangan untuk memusnahkan hutan-hutan untuk dibangunkan ladang kelapa sawit? Tidakkah kita mengambil peduli akan sikap syarikat-syarikat korporasi minyak berlumba lumba mendapatkan ‘lesen’:dari negara untuk menggerudi minyak di lautan Alaska?

Perindustrian, pembangunan yang tidak terkawal untuk keuntungan besar kapitalis telah membawa kepada perubahan iklim? Bukit, gunung ganang diratakan untuk tujuan perumahan mewah, penambakan laut untuk didirikan bangunan-bangunan tinggi, perampasan tanah adat orang asal untuk tujuan pembalakan, kilang-kilang tekstil mencemari sungai untuk urusan produksi yang lebih besar dengan cara merendahkan kos pembuangan – ini semua adalah dosa-dosa Kapitalisma yang sama sekali tidak boleh diampunkan!

Janganlah kaum pekerja / kesatuan pekerja memahami terma kapitalisma hanya apabila gaji tahunan tidak dinaikkan. Kerana itu tersangatlah memalukan.

Sehingga perbezaan pangkat, upah gaji, ras, budaya, bangsa mahupun agama tidak memecahbelahkan kelas pekerja selagi itu umur perjuangan semakin panjang. Tugas kaum pekerja bukan hanya untuk memahami kondisi dunia, tetapi untuk merubah segalanya.

'To Arms We Call You, To Arms!' – August Spies


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page