top of page

Kenapa manusia memilih membuat anak?

  • Aqilah Abd Samad
  • Apr 25, 2017
  • 4 min read

Aku seringkali tertanya soalan ini apabila aku berhadapan dengan situasi harian di mana aku melihat kebanyakkan manusia banyak membuat pilihan dalam keadaan separa sedar atau secara tidak sedar. Minda sedar, separa sedar dan tidak sedar ini banyak kali dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran psikologi dan banyak school of thoughts meraikan minda sedar (consciousness) apabila berbincang mengenai pembuatan keputusan (decision making). Kenapa keputusan dalam keadaan sedar sering kali diraikan berbanding dua keadaan lagi? Sebab pemikiran sedar ini berkaitan logik akal di mana manusia menggunakan sepenuhnya kapasiti kognitif masing-masing.

Berbalik kepada persoalan utama, kenapa manusia memilih untuk membuat anak?

  1. Tak pilih pun. Dah kahwin takkan tak beranak ye dak? //

  2. Hmm, penatlah orang sekeliling dok tanya bila nak ada anak. //

  3. Semua orang ada anak kan? Bukan macam tu ke harusnya manusia berfungsi? //

  4. Member semua dah ada anak, takkan aku tak nak ada anak? //

  5. Aku nak bangunkan pencetus ummah, pembela masyarakat atau paling-paling sekali anak aku patut sekurang-kurangnya up sikit lah daripada semua benda yang aku buat selama ni. //

  6. Orang kata anak ni bekalan untuk doa buat mak bapak di akhirat kelak. Takkanlah aku tak nak siapkan bekalan? //

Atau

  1. Aku nak ada anak sebab aku ni penuh kasih sayang dan aku nampak salah satu cara untuk menaburkan kasih sayang aku yang melimpah ruah ni adalah dengan ada anak.

Anda pilih jawapan anda sendiri.

Pembangunan Keluarga, Kesalahan Ibu Bapa dan Masalah Sosial

Aku rasa ramai ibu bapa pada hari ini membuat keputusan besar untuk berkeluarga tanpa betul-betul memikirkan jenis ibu bapa atau keluarga apa yang ingin dibangunkan. Keputusan ini dibuat sejurus selepas keputusan besar untuk mendirikan rumah tangga. Dua perkara besar ini dilihat sebagai puncak atau klimaks kehidupan manusiawi.

Salah satu kesalahan besar ibu bapa adalah dengan melihat pembangunan keluarga sebagai satu tindakan atau unit di mana autoriti atau pemegang kuasa ialah ibu bapa dan anak-anak ialah pengikut setia perjalanan yang digariskan oleh ibu bapa yang kadang-kala tidak membuat keputusan secara sedar pun untuk melahirkan mereka ke dunia.

Banyak masalah yang tidak selesai dan tidak sudah-sudah hari ini sebenarnya berasal daripada kepincangan sistem pembangunan keluarga di mana ibu bapa melihat anak sebagai satu komoditi atau harta yang harus membangun menurut kemahuan dan keperluan mereka sahaja tanpa memandang anak sebagai satu manusia lain. Atau yang lebih teruk lagi, anak yang dilahirkan bukanlah satu permintaan atau kemahuan utama mereka di dunia ini. Hanyalah sekadar opss tak sengaja.

Tuduhan-tuduhan ini bukanlah untuk menentang pembangunan keluarga. Ini hanyalah sedikit sebanyak pandangan peribadi kerana ramai sekali yang kelihatan clueless apabila berbincang mengenai tanggungjawab keibubapaan dan sangat ego apabila ditegur oleh orang yang belum berkeluarga. Tak cukup makan garam lagi, katanya.

Ibu bapa sebeginilah yang merasakan bahawa segala macam masalah yang timbul oleh anak adalah kerana orang lain. Salah guru yang tak pandai didik, salah sekolah yang tak mampu memenuhi keperluan si anak, salah rakan anak yang kurang ajar, salah ibu bapa rakan anak yang kurang ajar. Semua salah orang lain. Tidak pernah ditilik atau dijenguk kesalahan sendiri.

Apabila berbicara mengenai perkembangan anak, ibu bapa patut sedar bahawa proses membesarkan anak ialah satu proses pembelajaran sepanjang hayat kerana setiap fasa umur kronologi mempunyai keperluan fizikal, kognitif dan sosioemosi yang berbeza. Maka cara didikan anak pada umur 15 tahun tidak boleh sama dengan cara didikan pada umur 5 tahun. Ibu bapa juga patut sedar bahawa anak-anak bukanlah hidup pada generasi yang sama seperti mereka. Maka cara didikan yang diberi seharusnya tidak boleh sama. Ayat-ayat seperti “Ayah dulu tak kena buat pun macam ni” , “Ibu dulu nenek ajar macam ni” haruslah tidak diguna pakai sebab kalau kita lihat banyak benda dah berbeza. Jadi perlawanan generasi mana lebih baik ini perlu dihentikan.

Ibu bapa juga seharusnya menganggap anak-anak sebagai guru dalam kehidupan. Bukanlah sebagai harta, bekalan atau tebusan kesilapan lalu. Maknanya, biarkan anak-anak membesar dan meneroka dunia menurut kemahuan dan acuan mereka serta belajar banyak perkara daripada anak-anak. Tugas ibu bapa ialah membimbing atau menjadi penasihat utama. Bukannya autoriti yang menentukan hala tuju anak-anak. Jika ibu bapa memandang anak-anak sebagai manusia lain yang harus dihormati keperluan dan kehendaknya, secara tidak langsung anak-anak akan merasa lebih yakin membangunkan diri sendiri.

Ibu bapa juga harus sedar bahawa anak-anak sebelum tiba waktunya tidak boleh berfikir secara matang bukan kerana mereka budak-budak tetapi kerana mereka belum meneroka sepenuhnya dan belum mempunyai sumber yang secukupnya untuk membuat keputusan yang baik. Maka di sini menjadi tanggungjawab ibu bapa lah untuk menerangkan baik buruk sesuatu keputusan yang diambil. Jangan membuat keputusan terus untuk anak-anak. Kembalikan autonomi tersebut kepada anak-anak.

Salah satu kesalahan besar lain ibu bapa dalam pembangunan keluarga termasuklah mengabaikan hubungan suami isteri kerana terlalu berusaha untuk membesarkan anak-anak. Ya kebajikan anak-anak merupakan benda besar dalam keluarga tetapi perkara penting lain yang selalu ibu bapa lupa ialah membangunkan hubungan sesama mereka. Anak-anak yang selalu melihat ibu bapa mereka bertelingkah antara satu sama lain akan hilang kepercayaan. Soalan yang akan ditanya oleh anak-anak termasuklah, “Waktu buat aku ni mereka(ibu bapa) tak sayang satu sama lain kah?” atau “Why these two are together at the first place?”

Jadi jika ditanya mana yang lebih harus diletakkan keutamaan dalam pembangunan keluarga?

Banyak kajian cakap hubungan baik antara suami isteri patut diberikan keutamaan sebab satu hari nanti akan ada fasa empty nest iaitu anak-anak dah keluar bina kehidupan sendiri, takkan nak hadap empty marriage kan?


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page