top of page

Kemenangan Yang Tertangguh!

  • Izzah Dejavu
  • Apr 24, 2017
  • 3 min read

Usrah hari ini berakhir dengan kerlingan tajam seorang naqib ketika aku bertanya, agama memang menjauhkan kita dari api neraka, tapi berapa banyak neraka yang kita cipta sendiri atas nama agama? (baca:menerakakan orang).

Ada baiknya untuk kita faham bahawa mengucapkan ‘Salam’ tidak terus bererti Islam. Mengaji Al-Quran dengan suara kuat sehingga di dengar orang banyak tidak terus bererti Islam. Menulis dengan huruf Arab tidak terus bererti Islam. Kelihatan ikhlas dan khusyuk sahaja tidak terus bererti Islam. Menyebut ayat-ayat Al-Quran tidak terus bererti Islam. Pidato berkopiah lalu memakai selawat tidak terus bererti Islam. Membuat gerak kerja dalaman gerakan Islam di kampus juga, tidak terus bererti Islam.

Hal-hal yang disebut di atas perlu di jaga agar kita tidak terjerumus pada sikap taksub. Samaada taksub kepada keIslam-Islaman atau taksub pada jemaah gerakan Islam. Namun, ini bukan bererti aku anti dan menghalang orang-orang yang mengucapkan salam, menulis arab, memetik ayat-ayat Al-Quran dan lain-lain.

Jadi, apa yang kau maksudkan dengan Islam?

Islam pada aku adalah Islam.

Dan yang aku marahkan, bila pimpinan dan ahli gerakan Jemaah Islam kampus mula merasakan bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan paling benar. Yang maha dasyatnya, apabila pemikiran dan anutan ini cuba didoktrinasi ke atas individu lain. Dan aku fikir, inilah kegagalan Jemaah Islam kampus apabila mereka gagal melawan dua tirani besar.

Yang pertama, tirani kesombongan; aku-lah ikhlas, aku-lah pembawa Islam tulen, moden, progresif, proaktif, intelektual, pengawal moralis, sakral dan sebagainya.

Yang kedua, tirani ketakutan; bersikap konservatif, kolot, mengkafirkan pandangan yang berlainan pendapat , sekularis, keBaratan dan lain-lain.

Gerakan Jemaah Islam terutama di kampus harus berpisah dengan dua bentuk tirani yang sudah bernanah busuk dalam jantung sebuah jemaah ini. Fanatisme dalam berjemaah, adalah batu penghalang terbesar antara dua pihak, bilamana pihak yang mengkritik akan dengan segera mendapat gelaran sekular, liberal, melawan ulama, masuk neraka, buih-buih yang tidak berguna, tidak memberi manfaat, dan tidak sayangkan Islam.

Pimpinan selaku hieraki paling tinggi dalam gerakan Jemaah kampus, selain mengubah pemikiran sendiri, harus bekerja lebih keras memahamkan ahli, bahawa ‘Gerak kerja Islam’ bukan tertakluk kepada mereka yang berbaiah. ‘Gerak kerja Islam’ tidak khusus kepada yang pergi tamrin qiyadi, jasadi dan segala bentuk tamrin yang ada. ‘Gerak kerja Islam’ bukanlah hanya melakukan gerak kerja dalaman dan luaran. ‘Gerak kerja Islam’ bukan sekadar berusrah geli-geli 4 kali seminggu sambil selfie #doneusrah.

Tapi ‘Gerak kerja Islam’ lebih luas dan tanggungjawabnya digalas atas bahu semua. Yang buat aku bermenung lama kerana kehairanan lagi adalah apabila melihat kegagalan pimpinan jemaah Islam sendiri memahamkan ahli dengan konsep asas seperti ini. Akhirnya, yang lahir adalah kader-kader fanatik yang emosi, pendukung fahaman sempit yang tidak dapat meraikan perbezaan pendapat, apatah menerima kritikan.

Satu hal lagi yang pendukung jemaah Islam kampus yang turut membawa agenda politik perlu pasakkan di dada adalah kesedaran bahawa parti bukanlah agama, meski membawa agama Islam adalah agenda utama parti tersebut. Islam adalah agama yang menyeluruh dan sempurna tapi parti/jemaah terbuka luas kepada kelemahan dan kecacatan.

Sikap ekstrim sehingga tidak dapat membezakan parti/jemaah dan agama ini menjadikan aku khuatir kalau beginilah pemikiran dan peranan jemaah Islam di kampus, aku tertanya-tanya apakah Islam yang mahu kalian bawa?

Kerana aku cuma percaya Islam yang membawa khabar gembira. Bukan yang pimpinan tertinggi sibuk menunding Ahok dan menakutkan rakyat biasa dengan api neraka. Manakala di kampus ahlinya terlondeh membetulkan kopiah di kepala sambil menganggap semua yang mengkritik adalah ancaman besar.

Memetik kata Vincent Cornell, seorang professor pengajian Islam, dalam buku ‘Islam Without Extremes’, ‘God starts on the inside, by first changing the individual’. Begitu jugalah cara fikir pimpinan dan ahli gerakan jemaah Islam kampus, perlu di bersihkan dari dalam. Sebab? Takkanlah kita ini mahu berjuang tapi masih membawa tirani kesombongan, tirani ketakutan dan sikap fanatik macam ni? Inilah punca utama kemenangan yang tertangguh!


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page