Eksport Ikan Tuna ke Jepun
- thukulcetak
- Apr 20, 2017
- 3 min read

Ikram Al Banjari (dipetik dari buku Kembara Peniaga Jalanan)
CERITA-cerita bisnes jalanan begini mungkin sudah masuk kepada cerita bisnes yang agak berat. Tetapi aku tetap mahu ceritakan juga supaya kau boleh belajar sesuatu. Adrenalin aku semakin laju selepas beberapa siri eksport makanan laut berjaya. Aku mula banyak membaca mengenai laporan import-eksport. Aku mula hadir ke pelbagai jenis ekspo berkaitan makanan yang diadakan di dalam negara ataupun di luar negara. Aku mula faham rentak permintaan dan jenis-jenis produk yang pelanggan mahu. Aku cuma mahu bersedia menyiapkan diri dengan input yang bernas lagi tepat supaya pelanggan lebih yakin untuk berurus niaga dengan aku.
Jepun merupakan negara yang paling banyak mengimport masuk ikan tuna. Walaupun nelayan tempatan masih mampu menangkap ikan tuna berkualiti tinggi, namun jumlah itu tidak cukup untuk memenuhi permintaan. Di Jepun, rakyatnya memang begitu gemar makan ikan tuna secara mentah-mentah. Ikan tuna kaya dengan DHA dan Omega 3 bagus untuk merangsang sel-sel otak dan ia juga menyihatkan. Sebenarnya, sehingga saat cerita ini ditulis, akupun tidak pernah faham secara jelas mengapa orang Jepun menjadikan ikan tuna begitu istimewa. Harga ikan tuna gred Sashimi boleh mencecah ribuan ringgit sepinggan mengikut gred. Dan sekiranya aku mahu masuk ke gelanggang tuna di Jepun, aku mesti faham dengan jelas setiap jenis ikan tuna dan gred-grednya.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Food and Agriculture Organization of United Nation (FAO) menyebut, Jepun mengimport spesis ikan tuna Big Eye sebanyak 6,000 metrik tan sebulan dengan harga belian purata sebanyak USD 6.5 sekilogram iaitu bersamaan RM28.80. Ini cuma jumlah belian purata yang dicatatkan sahaja. Bayangkan daripada jumlah besar ini, kita cuma ambil bahagian sebanyak satu peratus sahaja. Itu sudah 60 tan sebulan! 60 tan itu bersamaan dengan 60,000 kilogram ikan tuna. Tak usah kita kira banyaklah, kita ambil 30,000 kilo cukuplah. Jika kita mahu capai jumlah bekalan sebanyak 30,000 sebulan. Kita perlu menjual sebanyak 1,000 kilogram ikan tuna ke Jepun setiap hari selama 30 hari. Di sinilah otak kita sebagai orang bisnes kena bijak membuat kira-kira. Dan bagaimana kalau aku cakap kita boleh buat untung sekurang-kurangnya RM2 setiap kilo?
1,000 kg sehari x RM2 = RM 2,000 sehari.
RM2,000 sehari x 30 hari = RM 60,000 sebulan
Ini kira-kira mudah berdasarkan untung RM2 sekilo dan jumlah bekalan sebanyak 1,000 kg sehari ke Jepun. Bagaimana kalau kita boleh buat urusan eksport melebihi jumlah itu? Inilah yang berlaku kepada aku. Aku mula mendapat pertanyaan daripada beberapa pemborong ikan tuna di Jepun melalui seorang kenalan yang kebetulan tinggal di Jepun pada waktu itu. Seperti biasa, jawapan aku ialah boleh! Mereka mahu apa sahaja jenis ikan tuna terutama spesis Yellow Fin Tuna dan Big Eye Tuna. Sahabat ini memberitahu mereka mahu ikan-ikan ini dikirim ke Jepun dalam keadaan segar (Fresh and Chilled) dan aku tidak ada pilihan lain selain mengirim ke sana menggunakan khidmat kargo udara.
Aku berdebar juga sebenarnya memikirkan soal modal. Ini pula merupakan pertama kali aku berurusan dengan orang Jepun. Setahu aku melalui pembacaan dan cerita kawan-kawan, orang Jepun jarang menipu. Tetapi, mereka mahu kita kotakan segala yang kita janji dalam setiap urus niaga. Orang Jepun juga jenis berterus terang dan tidak suka dengan urusan remeh temeh. Mereka amat mementingkan kualiti produk dan kualiti kerja kita. Sahabat aku bernama Suzuki-san banyak membantu. Kebetulan, beliau berkahwin dengan orang Indonesia dan fasih pula berbahasa Melayu. Aku beritahu kepada Suzuki untuk bersabar dan berikan masa untuk aku mendapatkan sumber ikan terlebih dahulu.
Hasil kajian aku, ikan tuna banyak ditangkap di perairan Lautan Hindi. Filipina, Indonesia, Maldives dan Sri Lanka merupakan negara jiran yang banyak memproses dan mengeksport ikan-ikan ini ke luar negara. Kerja aku menjadi semakin sukar dan mencabar kerana aku perlu pergi ke semua lokasi tersebut untuk berkenalan dengan pembekal seterusnya mendapatkan harga bagus supaya aku boleh eksport ke Jepun dan buat untung. Filipina menjadi destinasi pertama dan seterusnya aku ke Indonesia dan Maldives. Di Filipina, mereka mempunyai fasiliti lengkap untuk penangkapan dan pemprosesan ikan tuna. Di Indonesia pula, mereka mempunyai sumber ikan yang banyak tetapi mengalami kesukaran pada bahagian teknik pengurusan dan fasiliti menyimpan ikan selepas ditangkap. Ikan tuna agak sensitif terhadap cara handling. Teknik yang salah akan menyebabkan gred ikan menurun dan tidak boleh dijual ke Jepun.
Akhirnya, aku berjaya mendapat kontrak bekalan ikan tuna ke Jepun sebanyak dua tan sehari. Semua ikan-ikan ini dibawa terbang terus ke Nagoya dan Osaka setiap hari tanpa gagal. Aku juga berjaya mendapat kepercayaan pemilik kapal menangkap tuna untuk urus niaga ini dengan diberikan kredit selama tujuh hari. Di Jepun, Suzuki-san banyak membantu aku menguruskan perihal kewangan dan edaran. Kami menghantar ikan-ikan ini kepada hampir 20 pasar ikan tuna di seluruh Jepun dan jualan ini dibayar tunai setiap hari terus ke akaun bank Suzuki di Jepun. Aku akan ceritakan lebih banyak lagi kisah jualan ikan tuna ke Jepun dalam edisi akan datang. Dan sehingga ke hari ini, aku masih lagi turun naik ke Jepun sepanjang tahun.
*Buku Kembara Peniaga Jalanan terbitan Thukul Cetak ini diterbitkan sempena #PBAKL2017. Hubungi Ali di +60173632143 untuk maklumat lanjut.
Commenti