top of page

Pesimisme Ibu bapa Terhadap Program Parenting

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Apr 19, 2017
  • 4 min read

Dipetik dari buku ‘Ayah Edy Punya Cerita’

Hampir setiap minggu saya menjalankan kursus parenting, iaitu sebuah program yang bertujuan untuk melatih para ibu bapa agar boleh memahami dan mendidik anaknya dengan cara yang lebih tepat sehingga kelak mereka akan menjadi ibu bapa yang dicintai oleh anaknya dan anaknya pun akan berjaya mencapai potensi terbaik yang dimilikinya.

Dalam program parenting biasanya saya selalu menyampaikan, dengan cara kita mendidik maka kita bebas untuk menentukan apakah kita akan menjadi ibu bapa yang ditakuti atau menjadi ibu bapa yang dicintai oleh anak kita. Secara peribadi saya katakan, jika saya menjadi anak, tentunya saya mahu cara mendidik yang boleh menjadikan saya patuh kepada ibu bapa kerana saya mencintainya bukan kerana saya takut kepadanya.

Jenis peserta program parenting puala bermacam-macam. Ada yang pasif, tetapi ada pula yang kritis dan berani berkata jujur. Pernah seorang peserta menyelar pembentangan saya dan mengatakan, “Ayah Edy, maaf ya ... menurut saya program ini tak perlu. Jujur sahaja, ibu bapa saya dulu tidak pernah ikut program parenting seperti ini, tapi saya juga jadi orang. Lalu anda sendiri bagaimana, apakah ibu bapa anda dulu juga ikut program parenting seperti ini?”

Wah, rupanya peserta saya ini selain kritis, berani, jujur, juga ternyata mahir menyindir! Saya menjawab bahawa saya bahagia sekali dengan adanya pernyataan spontan seperti itu yang disampaikan secara terbuka di depan umum. Kerana selama ini sesungguhnya saya khuatir dan sudah menduga pasti ada ibu bapa yang berfikiran seperti ini. Namun, mungkin mereka tidak mau menyampaikan secara terbuka, melainkan hanya disimpan di dalam hati. Ini tentunya akan menjadi faktor penghalang terbesar dalam usaha menjadi ibu bapa yang lebih baik bagi anak-anaknya.

Saya teringat salah seorang pengamal pendidikan anak pernah mengatakan bahawa kesalahan besar para ibu bapa dalam mendidik anak adalah dengan selalu melihat ke belakang dan bukannya melihat ke depan. Ibaratnya, seperti orang yang berjalan, jika kita selalu melihat ke belakang, kira-kira apa yang akan terjadi? Menurutnya lagi, ada dua kemungkinan besar penyebab mengapa walaupun ibu bapa kita dulu tidak mengikuti program parenting, tetapi anaknya tetap boleh mencapai sukses.

1. Naluri yang tepat dari ibu bapa.

Setiap ibu bapa memiliki naluri mendidik anak, yang pada umumnya sebahagian besar diwarisi secara turun-temurun dari orang tuanya, dan yang lainnya bercampur dengan tipologi keperibadiannya sendiri, serta persekitaran yang membentuknya.

Para ibu bapa yang mewarisi tradisi mendidik yang baik dari ibu bapanya, ditambah dengan pola keperibadian seimbang, serta persekitaran yang baik akan melahirkan pola mendidik yang baik bagi anaknya. Namun faktanya, tidak semua ibu bapa memiliki keperibadian seimbang dan tidak semua orang mewarisi cara mendidik yang baik dari ibu bapanya. Itu bermakna tidak semua ibu bapa memiliki naluri mendidik yang tepat jika hanya bersandarkan pengalaman masa lalunya.

Seorang pengkaji perilaku pernah melakukan penyelidikan terhadap beberapa pemimpin yang kejam dan berkuasa, seperti Hitler dan Pol Pot. Dia menemui bahawa perilaku para pemimpin zalim itu adalah warisan turun-temurun dari pola didikan keluarganya, ertinya bahawa cara mendidik yang salah pun ternyata akan terjadi secara turun-temurun dari generasi ke generasi kecuali ada satu generasi yang mahu berusaha untuk mengakhirinya. Bagaimana mengakhirinya, itulah mengapa program parenting diselenggarakan.

2. Keadaan persekitaran sekarang yang sangat jauh berbeza dengan zaman kita kecil dahulu.

Seorang pendidik mengatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan 70% dalam proses membentuk pola perilaku anak. Jika ibu bapa tidak melakukan peranannya dengan baik, persekitaranlah yang mengambil peranan 70% tadi. Jadi, betapa beratnya halangan ibu bapa ketika ini yang harus berjuang memainkan peranan dalam persekitarannya.

Namun, saya yakin kita sepakat bahawa keadaan persekitaran masa kini sangat jauh sekali berbeza dengan keadaan persekitaran 30 tahun yang lalu, ketika sebahagian besar ibu bapa dibesarkan.

Mari kita perhatikan perbezaannya. Keadaan persekitaran zaman Kartini dibesarkan tentu sangat jauh berbeza dengan zaman ibu bapa kita dibesarkan. Begitu juga keadaan persekitaran zaman kita dulu dibesarkan sangatlah berbeza dengan lingkungan zaman anak-anak kita saat ini.

Sementara menurut kajian, persekitaran merupakan faktor pembentuk ketiga terbesar terhadap pola perilaku anak setelah ibu bapa dan guru. Persekitaran akan menjadi faktor pembentuk perilaku pertama manakala ibu bapa dan guru tidak lagi berperanan secara efektif.

Untuk lebih jelas, mari kita perhatikan pergeseran yang terjadi antara generasi kita dan generasi anak kita. Zaman kita dulu dibesarkan, ya ... masih ingat, ada berapa stesen TV pada waktu itu? Kemudian dari stesen yang ada kala itu, program-program apa yang banyak ditayangkan dan kita tontoni?

Bandingkan dengan zaman anak kita dibesarkan, ada berapa stesen TV yang ada ketika ini? Kemudian dari sekian banyak stesen yang ada, program-program seperti apa yang banyak ditayangkan dan ditontoni oleh anak-anak kita sekarang?

Mari kita perhatikan lagi fakta berikut ini: Penyalahgunaan bahan terlarang zaman kita dibesarkan dahulu cuba berlaku di peringkat pendidikan tinggi dan remaja dengan usia rata-rata 25 tahun ke atas. Namun sekarang, penyalahgunaan bahan terlarang tersebut sudah bercambah ke peringkat kanak-kanak seawal usia sekolah rendah bahkan berjaya menembus masuk ke dalam sekolah.

Lalu, betapa mudahnya anak kita membeli surat khabar berisi berita kekerasan dengan harga yang sangat murah. Betapa video porno bebas beredar di tempat-tempat orang berkumpul menunggu pengangkutan awam dan harganya pun terjangkau oleh duit bekal sekolah anak-anak kita.

Wahai para ibu bapa yang berbahagia, mari sama-sama kita renungkan .... Apakah kita para ibu bapa dan guru masih mengambil peranan utama dalam membentuk perilaku anak-anak kita ketika ini? Ataukah peranan utama itu secara tidak sedar ternyata sudah diambil alih oleh persekitarannya?

Saya teringat satu pesanan yang disampaikan oleh seorang Nabi yang agung dan luhur, kira-kira berbunyi: “Wahai para sahabatku, kita hidup pada zamannya dan anak kita hidup pada zamannya maka didiklah anak-anak kita sesuai zamannya.”

Sungguh luar biasa bahawa hal ini telah dicetuskan oleh seorang Nabi agung lebih dari 500 tahun yang lalu, jauh sebelum para pendidik besar zaman ini memperjelaskan apa maksud mulia yang terkandung di dalamnya. Wahai para ibu bapa yang berbahagia, kini semuanya terpulang kepada kita. Apakah kita ingin tetap mendidik anak-anak dengan berpegang pada kejayaan masa lalu atau kita akan mendidik mereka dengan memandang jauh ke hadapan bagi masa depan mereka.

Semoga kita termasuk ke dalam kelompok ibu bapa dan guru yang optimis.

“Kita hidup pada zaman kita dan anak kita hidup pada zamannya maka didiklah anakanak

kita sesuai zamannya.”

*Buku ‘Ayah Edy Punya Cerita’ terbitan Thukul Cetak ini diterbitkan sempena #PBAKL2017. Hubungi Ali di +60173632143


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page