top of page

Kelab Kelahi (Bab 1)

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Apr 19, 2017
  • 4 min read

Terjemahan Karya Fight Club Tulisan Chuck Palahniuk oleh Haris Murshidi

Terbitan Thukul Cetak dengan kerjasama ITBM (2017)

1

Tyler membantu aku mendapatkan pekerjaan sebagai pelayan. Selepas itu, dia menolak pistol ke dalam mulutku dan berkata, “langkah pertama ke arah kehidupan yang kekal abadi ialah kau harus mati.” Sudah agak lama, aku dan Tyler berkawan baik. Orang selalu bertanya, sama ada aku mengenali Tyler Durden.

Muncung pistol itu menekan kerongkongku, Tyler berkata, “Kita memang tidak akan mati.”

Lidahku dapat merasakan lubang peredam bunyi yang kami gerudi pada muncung pistol. Bunyi daripada tembakan pistol akan mengembangkan gas, dan peluru akan menghasilkan bunyi dentuman sonik yang halus dek kelajuannya. Untuk membuat peredam bunyi, cukup hanya dengan menggerudi banyak lubang pada muncung pistol. Hal ini akan melepaskan gas dan memperlahankan peluru ke bawah kelajuan bunyi.

Jika lubang yang salah digerudi, pistol akan meletup di tangan.

“Ini bukan kematian yang sebenar,” kata Tyler. “Kita akan menjadi legenda. Kita tidak akan tua.”

Aku menolak muncung pistol itu ke pipi dengan lidah dan berkata, “Tyler, engkau bercakap fasal puntianak.”

Bangunan yang sedang kami berdiri di dalamnya ini tidak akan berada di sini dalam masa 10 minit lagi. Ambil asid nitrik berwasap dengan kepekatan 98 peratus dan ditambah asid sulfurik dengan tiga kali ganda jumlah daripada asid nitrik. Lakukan semua ini di dalam tab mandi berisi ais. Kemudian tambah gliserin menggunakan penitis mata, setitis demi setitis.

Terhasillah nitrogliserin.

Aku tahu semua ini kerana Tyler pun tahu.

Campuran nitrogliserin itu berserta habuk kayu akan menghasilkan bahan letupan yang sempurna. Ramai orang mencampurkan nitrogliserin mereka dengan kapas ditambah dengan garam Epsom sebagai sulfat. Cara itu pun berkesan. Ada juga yang menggunakan parafin dan dicampurkan dengan nitrogliserin. Cubaanku tidak pernah berhasil jika menggunakan parafin.

Oleh itu, aku dan Tyler berada di tingkat paling atas bangunan Parker-Morris dengan pistol melekat di dalam mulutku. Kedengaran bunyi kaca pecah. Di hujung pandangan, cuaca kelihatan mendung walaupun pada kedudukan setinggi ini. Ini ialah bangunan tertinggi di dunia, dan angin sememangnya dingin pada kedudukan ini. Sunyi sekali di sini. Itulah perasaannya, seperti menjadi salah seekor “monyet” itu. Melakukan pekerjaan seperti yang telah diarahkan.

Cari gaduh dengan orang itu.

Cari gaduh dengan orang ini.

Tanpa apa-apa sebab, kemudian mati.

Dari pinggir bumbung tingkat paling atas, dapat dilihat selautan manusia sedang mendongak ke atas. Kaca yang pecah itu merupakan sebuah jendela yang betul-betul satu tingkat di bawah kami. Jendela itu membentuk sebuah lubang besar di bahagian tepi bangunan. Kemudian, sebuah kabinet fail sebesar peti sejuk jatuh tepat di tepi jendela. Meluncur perlahan-lahan, kemudian menghilang, lalu jatuh menjunam ke arah lautan manusia itu.

Di mana-mana tempat di bawah lantai yang kami berada sekarang, ahli Projek Mayhem sedang bertindak gila, memusnahkan setiap saki-baki sejarah yang tinggal.

Pepatah lama ada mengatakan, jika kita menyakiti orang yang kita sayangi; cubit paha kanan, paha kiri juga terasa.

Dengan pistol di dalam mulut, pertuturan pun akan menjadi kurang jelas.

10 minit lagi.

Jendela yang lain pula pecah. Kaca bertaburan bagaikan kawanan burung merpati yang berkilauan. Satu demi satu meja kayu yang ditolak ahli projek Mayhem menyenget dan menggelongsor jatuh ibarat objek yang berterbangan ke arah kerumunan manusia.

Bangunan Parker-Morris akan lenyap dalam masa sembilan minit lagi. Dengan dinamit yang secukupnya yang dilekatkan pada tiang tapak apa-apa pun, mana-mana bangunan di seluruh dunia boleh dimusnahkan. Bahan ini perlu dimampatkan dengan baik bersama dengan guni pasir supaya letupannya akan memusnahkan tiang itu sendiri dan tidak tersebar ke kawasan tempat letak kereta di sekeliling tiang itu.

Semua panduan ini tidak terdapat dalam mana-mana buku sejarah sekali pun.

Ada tiga cara untuk membuat napalm (bom api yang dihasilkan sekali daripada petrol). Pertama, campurkan gasolin dan jus oren yang beku dalam sukatan yang sama. Kedua, campurkan gasolin dan minuman tin Coca-Cola dalam sukatan yang sama.

Ketiga, larutkan pasir kumbahan ke dalam gasolin sehingga campuran itu sebati.

Tanya sahaja cara untuk membuat gas saraf. Ah, semua bom gila itu!

Sembilan minit.

Bangunan Parker-Morris akan hancur, seperti sebatang kayu balak yang tumbang di dalam hutan. Memusnahkan segala-galanya. Pelik juga apabila memikirkan bagaimana hanya tempat yang kami berdiri sekarang ini yang akan kelihatan dari langit nanti.

Aku dan Tyler berada di atas bumbung, dengan pistol masih berada di dalam mulutku. Aku hairan melihat betapa berkilatnya pistol itu.

Untuk seketika kami terlupa tentang rancangan pembunuhan Tyler ketika melihat kabinet fail yang lain pula melayang jatuh dari bangunan dengan laci yang terbuka. Angin yang berhembus ke atas menerbangkan lembaran kertas yang begitu banyak.

Lapan minit.

Asap pula mula keluar dari jendela yang pecah. Pasukan pemusnah akan mengaktifkan bahan letupan itu dalam masa kira-kira lapan minit lagi. Bahan letupan itu akan menghancurkan tiang-tiang tapak bangunan, dan selepas ini bangunan Parker-Morris akan dapat ditatap dalam buku sejarah sahaja.

Bayangkan lima gambar selang masa. Sekarang, bangunan masih berdiri tegak. Kedua, bangunan mula condong 80 darjah. Kemudian, 70 darjah. Rangka bangunan mula terpisah ketika bangunan mula condong 45 darjah pada gambar keempat, menara pun mula bengkok. Gambar terakhir, menara dan seluruh isi bangunan akan runtuh menimpa muzium negara, yang merupakan sasaran sebenar Tyler.

“Ini dunia kita, dunia kita,” kata Tyler, “dan semua manusia kuno itu akan mati.”

Kalaulah aku tahu begini jadinya, aku sangat gembira untuk mati dan berada di syurga sekarang.

Tujuh minit.

Pistol masih melekat di dalam mulutku di puncak bangunan Parker-Morris. Sementara meja, kabinet fail dan komputer jatuh pula menjunam ke arah kerumunan manusia di sekeliling bangunan. Asap keluar dari jendela yang pecah sambil diperhatikan oleh pasukan pemusnah yang menjaga masa pada jarak selang tiga blok bangunan. Aku sedar bahawa semua ini: pistol, huru-hara, letupan, berkait dengan seseorang yang bernama Marla Singer.

Enam minit.

Ada semacam perkara yang berputar-putar di sini. Aku mahukan Tyler. Tyler mahukan Marla. Marla pula mahukan aku.

Aku tidak mahukan Marla, dan Tyler pun sudah tidak mahukan aku lagi. Ini bukan cinta tiga segi. Ini tentang pemilikan harta.

Tanpa Marla, Tyler bukanlah sesiapa pun.

Lima minit.

Mungkin kami akan menjadi legenda. Mungkin tidak. Namun begitu, tunggu sebentar.

Di manakah Jesus berada sekarang jika tidak ada seorang pun yang menulis gospel?

Empat minit.

Aku menghalakan muncung pistol ke pipi dengan lidah dan berkata, “Engkau mahu menjadi seorang legenda, Tyler, baiklah, aku akan jadikan engkau seorang legenda. Aku memang ada di sini sejak mula lagi.”

Aku sudah ingat segala-galanya.

Tiga minit.

*Buku Kelab Kelahi ini akan diterbitkan di #PBAKL2017, sebarang pertanyaan rujuk Ali di +60173632143


 
 
 

Komentáře


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page