ROOM (2015)
- Johnny Nepp
- Apr 17, 2017
- 3 min read

Filem ROOM(2015), menunjukkan bagaimana adaptasi yang baik dapat dijelmakan secara visual dalam keadaan ruang yang terhad disamping membawa naratif secara berkesan tanpa mengganggu atau mengenepikan karya asal. Ini secara tidak langsung memberi pengalaman berbeza kepada pembaca karya asal seperti adaptasi Fight Club(1999) dan Little Prince(2016) yang juga telah diadapatasi ke layar dengan baik dari novel kepada filem. Filem yang sempit ini bagaimanapun tidak lah terlalu kecil seperti keranda dalam Buried(2010) sehingga produksi perlu melakukan beberapa set keranda untuk kepelbagaian syot.
Filem ini dibikin dari sudut pandang seorang anak kecil yang naif dalam melihat dunia, secara tak langsung telah menjadikan filem ini lebih dekat untuk ditonton. Sejujurnya aku memang akan bias pada filem yang meletakkan budak kecil sebagai watak utama, lebih-lebih lagi kalau watak tu dapat dibawa dengan berkesan macam dalam filem ni.
ROOM (2015) arahan Lenny Abrahamson merupakan filem adaptasi dari sebuah novel yang menceritakan tentang survival kehidupan seorang hamba seks yang dikurung selama bertahun-tahun bersama seorang anaknya, hasil dari persetubuhan haram ketika dia berada dibawah tahanan penculik. Filem ini dimulakan dengan monolog Jack pada ketika itu berusia 5 tahun, tentang bagaimana kesedihan ibunya sebelum kelahirannya. Kelahiran Jack, barangkali adalah harapan untuk ibunya meneruskan kehidupannya walaupun masih di dalam tahanan.
Room memberi gambaran bagaimana kehidupan di dalam ruang sempit ini, dihuni oleh anak kecil ketika usianya sedang ingin meneroka dan sudah berupaya menyoal. Jack, lakonan Jacob Tremblay merupakan watak anak kecil yang naif, imaginatif sering cuba memahami setiap posisi dan ruang di sekelilingnya. Jack tak pernah sekalipun berpeluang untuk melihat dunia di sebalik bilik sempit yang didiaminya itu. Apa yang dilihat Jack membatasi bilik itu cumalah tingkap dari bumbung tinggi yang adakalanya kelihatan daun melekat disitu apabila tiba musim luruh. Mungkin kerana keterhadan ruang, Jack mula bercakap dan bermain dengan segala benda seperti sinki, tikus, kulit telur, tivi dan apa saja barang yang ada di dalam ruangan itu. Ruang sempit tersebut digunakan sebaik mungkin oleh ibunya untuk Jack dapat bermain, bersenam, makan, mandi dan tidur.
Ibunya, Joy Newsome ataupun digelar Ma, lakonan Brie Larson, merupakan hamba seks yang telah diculik dua tahun sebelum kelahiran Jack. Walaupun Jack dilahirkan bukan atas kerelaan, ibunya tak sekalipun meletakkan Jack sebagai penghuni asing ataupun di dalam tandas, sebaliknya menjaga dengan penuh kasih sayang seperti kebiasaan seorang ibu. Joy membesarkan Jack dalam keadaan bersendirian, barang-barangan keperluan asas ditanggung oleh watak antagonis si penculik, Old Nick yang perlu memastikan hamba seksnya itu agar terus kekal hidup.
“ke mana kita pergi sewaktu bermimpi?”
Jack yang dikurung sejak dari lahir tak pernah sekali pun berpeluang untuk keluar dari ruang sempit tersebut, pergi ke sekolah jauh sekali. Namun, dalam filem ini dapat kita perhatikan Jack dapat membesar dengan baik dari segi fizikal dan mentalnya dengan persoalan-persoalan yang dilontarkan. Dari segi emosi tidak dapat dipastikan dengan tepat, ini seperti yang berlaku dalam dokumentari The Wolfpack (2015) dan fiksyen Captain Fantastic (2016), dua filem yang menceritakan kehidupan kanak-kanak hidup secara terasing dari masyarakat.
“Di sini bilik, kemudian ruang angkasa...yang diisi dengan Planet-planet TV dan selepas itu ialah syurga,”
Memandangkan dunia untuk Jack adalah ibunya sahaja, mereka menjadi teman perbualan dan bercerita tentang apa juga perkara. Banyak perkara dari Joy untuk dipelajari oleh Jack dan begitu juga sebaliknya. Joy, sebagai ibu kepada Jack mempelajari hal untuk membesarkan anaknya sendiri. Joy begitu mengambil berat akan perkembangan Jack melebih halnya sendiri. Seperti Joy sanggup disetubuhi demi memastikan Jack tidak terancam oleh Old Nick dan pada babak lain di mana, Joy lebih mengutamakan vitamin Jack lebih daripada keperluan asasinya sendiri. Ini mengingatkan aku tentang kisah pengorbanan seorang ibu warga Korea Utara yang merelakan dirinya dirogol supaya anaknya dapat membebaskan diri.
Watak-watak dalam naratif filem ini menarik untuk dihighlightkan disini. Emma Donoghue selaku penulis lakon layar merangkap penulis karya asal telah memilih dan meletakkan nama Joy yang membawa maksud keceriaan dan kegembiraan pada watak ibu yang juga mangsa hamba seksual. Penculik/perogol diberi jolokan Old Nick, juga merupakan nama Inggeris bagi syaitan dalam tradisi kristian. Old Nick juga merujuk kepada arak dan majalah dewasa Amerika. Ini memberi sedikit gambaran pada watak, barangkali sebelum ini Joy Newsome sentiasa diiring kegembiraan dan keceriaan di dalam hidupnya namun kesemuanya itu diculik oleh Old Nick, seekor syaitan peminum arak yang sentiasa mendahagakan porno.
Filem ROOM menceritakan bahawa secebis harapan yang baik mampu menjadikan seseorang itu lebih kuat untuk terus hidup, seperti saintis tua di dalam Taste Of Cherry(1997), adalah contoh kehadiran harapan yang diatur tuhan. Bentuk ‘rahmat’ tanpa kita sedar. Walaupun adakala ianya sesuatu/seseorang yang tak kita jangka kehadirannya seperti munculnya Richard Parker di dalam bot Life Of Pi dan kelahiran Jack dalam hidup Joy Newsome.
Comentarios