top of page

Puisiku Yang Gemar Lari-lari

  • Naziatul Azrin
  • Apr 18, 2017
  • 1 min read

Malam itu, ketika kuselak helaian nota, mataku melihat putih sahaja.

Putih. Bersih.

Hilang!

Aduh.

Puisiku hilang lagi.

Ku cucuk kunci Kubuka laci Mulai mencari.

Duhai sang puisi malam-malam begini ke mana saja engkau bersembunyi?

Sunyi.

Angin malam perlahan mendekati Lembut menyapa pipi. Ah, jendela kamarku terbuka rupanya.

"Puisimu petang tadi kulihat melompat keluar dari notamu dan berlari.”

“Siapa itu?”

“Aku.”

“Oh engkau, burung malam. Jadi. Apa yang terjadi? Ke mana pula puisiku lari kali ini?”

"Serangkap puisimu tadi sempat memberitahu, tidak ada apa-apa isu. Maka kau jangan gusar. Puisimu hanya mahu mencari pelangi yang merentang di tengah banjaran, memanjat naik dari tanah tinggi dan pergi ke bintang"

“Kalau setakat mahu ke bintang, bukankah di gunung Lang ini ada tangganya. Susah-susah mahu ke tengah banjaran, mengapa?”

"Kerna kata puisimu, di tengah banjaran mereka menemukan manusia. Engkau pun tahu, puisimu memerlukan kemanusiaan untuk terus bernafas. Di sini, di dunia sebelah sini, jangankan kemanusiaan, manusia juga hampir pupus.”

“Mengapa? Manusia sudah menjadi haiwan?”

“Tidak. Sudah menjadi tuhan."

Sepi.

“Haih, burung malam. Berapa lama mahu lari puisiku itu? Ada diberitahu?"

"Ada. Kata puisimu, nanti bila senang, mereka pulang."

Cis!

"Satu lagi. Puisimu mengirim pesan, getah rambutmu juga dibawa sama. Mahu diberi kepada si cantik Tia."

“Hoi. Habis, rambutku nanti diikat dengan apa?”

Burung malam diam. Memandangku terkebil-kebil, sebelum terbang, dan bersatu dengan gelap malam.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page