Jangan Mati Awal dan Menyusahkan Hidup Orang.
- Aqilah Abd Samad
- Apr 18, 2017
- 3 min read
“Tak guna aku hidup atas dunia jika perang sini sana. Yang kaya terus kaya, yang miskin hidup merana.”
“Aku mahu mati muda”
“Syahid itu impianku.”
“Tak guna hidup zaman pemerintah korup ni”
“Ada ahli agama caca marba.”
“Semua lelaki tak guna. nafsu macam syaitan. Semua lelaki patut mati.”
“Tak guna betul perempuan sekarang ni. Hantaran tinggi-tinggi buat apa pun tak reti.”
Ya, aku faham begitu banyak masalah dekat dunia pada hari ini yang tak selesai-selesai dan makin hari makin banyak pula masalah yang timbul. Banyak sangat kepincangan sistem masyarakat tidak kira lah dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Semua orang mengimpikan kehidupan utopia iaitu sistem yang adil dan saksama di mana semua makhluk atas dunia akan memperoleh kehidupan yang sama rata. Semua orang berusaha sedaya upaya untuk mencapai kehidupan utopia itu. Kita subscribe pelbagai ideologi demi mencapai kehidupan idealistik ini.
Tapi, kita lihat saja sejarah. Adakah benda-benda yang kita mahukan ini pernah tercapai? Adakah kehidupan utopia di mana semua sistem bergerak lancar dan memberi keadilan kepada semua orang ini pernah diperoleh oleh mana-mana tamadun? Jika ada sila berikan pencerahan dan berikan indikator apa yang digunakan bagi mengukur ketamadunan tersebut. Adakah sekadar pembangunan material semata? Adakah kehidupan bebas di mana unsur-unsur hendonistik menjadi kiblat utama? Adakah unsur-unsur metafizik termasuklah pembangunan spiritual turut diambil kira? Atau penekanan keterlaluan kepada unsur-unsur metafizik (pencarian makna kehidupan) sehingga mengabaikan pembangunan empirikal (sains dan teknologi) dalam kehidupan seharian? Atau kiblat utama hanyalah pembangunan empirikal tanpa unsur-unsur metafizik?
Mungkin ada tamadun yang berjaya dengan cemerlang untuk mengimbangi beberapa indikator yang dinyatakan tetapi adakah benar tamadun tersebut merupakan kehidupan idealistik tentang kehidupan dunia ini? Adakah betul-betul tamadun tersebut tiada peperangan, orang miskin dan manusia tertindas? Adakah betul tiada kehidupan kelas yang membezakan manusia-manusia di atas bumi ini?
Berat gila.
Jadi?
Aku sangat menghormati pilihan ideologi politik, ekonomi dan sosial semua orang. Aku sangat menghormati pilihan perjuangan setiap orang. Tetapi kita hidup di atas dunia yang secara realitinya tidak idealistik, ketidakadilan berlaku di merata-rata tempat dan bermacam-macam lagi.Mungkin sebab itu banyak ideologi agama mempercayai kehidupan selepas mati kerana kehidupan di atas dunia ini tidak mampu serve kehidupan idealistik semua umat di atas dunia yang fana ini.
Jadi lagi?
Aku bukanlah menggalakkan manusia tidak perjuang apa yang mereka percaya. Aku bukanlah menggalakkan manusia untuk hanya berada di atas tikar sejadah, gereja, tokong, kuil dan lain-lain lagi semata kerana mempercayai bahawa kehidupan idealistik hanya boleh diperoleh daripada kehidupan selepas mati. Aku bukanlah mengajak manusia untuk hanya berdiam diri dengan segala keburukan dunia pada hari ini. Aku bukanlah mengajak manusia untuk betul-betul meninggalkan dan menidakkan fitrah kemanusiaan seperti keinginan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik dan berkeluarga untuk berjuang mahupun mengejar kehidupan selepas mati.
Tidak sama sekali tidak.
Jadi lagi dan lagi?
Dalam usaha mencapai kehidupan dan ketamadunan yang lebih baik, perjuangan ideologi haruslah bermula dengan diri sendiri. Sekiranya kita benci segala macam penindasan sistem politik dan pemerintah ke atas masyarakat maka kita harus cuba sedaya upaya tidak melakukan penindasan atau ketidak-adilan dalam kehidupan seharian kita. Misalnya, kita harus mengembalikan hak-hak dan tanggungjawab kita kepada manusia lain seperti hak kepada kaum keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Konsepnya kita tidak boleh fak sistem tanpa kita sendiri mengamalkan nilai-nilai ideologi yang kita pegang ke dalam kehidupan sehari-harian kita.
Selain itu, pilihan ideologi yang kita pegang tentang masyarakat Utopia haruslah tidak memudaratkan orang yang tidak bersalah. Misalnya kita fak peperangan yang berlaku di sini sana lalu kita fikir indahnya sekiranya kita mampu syahid dengan turut mengangkat senjata dan membunuh orang yang tidak peduli atau tidak menyokong solidariti kita tersebut. Dalam hal ini, kita telah mengambil alih tugas Tuhan ya teman-teman. Solidariti tersebut seakan-akan mengatakan sesungguhnya perjuangan kita lebih mulia daripada perjuangan orang yang kita cabut nyawa tadi.
Juga kita harus sedar perubahan sesebuah sistem masyarakat yang pincang tidak seharusnya membawa makna kepada kita semata-mata. Itu bukanlah satu pegangan atau perjuangan fak sistem, itu perjuangan diri sendiri. Dan kita tidak boleh terlalu gila fak sistem sedangkan kita sedang berperang dengan diri sendiri. Ada isu-isu peribadi seperti kegagalan untuk memaafkan diri sendiri dengan kesilapan lalu yang kita tidak lunaskan. Selesaikan isu tersebut terlebih dahulu barulah kita boleh fak sistem. Sesungguhnya isu-isu peribadi ini lebih besar dan maha berat berbanding perjuangan fak sistem kita.
Dan harus kita ingat teman-teman perjuangan fak sistem ini bukanlah benda-benda segera dan boleh dicapai satu dua tahun mahupun menggunakan satu dua strategi semata-mata. Kalau betul perjuangan kita perjuangan fak sistem yang murni dan membawa suara orang ramai, kita tidak akan semata-mata bertindak sebagai hero tetapi kita akan membawa ramai manusia bersama.
Nampak dak berat dan panjang benda ni? Janganlah mati muda. Kita tak mahu pembaziran modal insan, bak kata Pak Lah. Dan hangpa semua patut tahu pengurusan jenazah itu ada kosnya. Janganlah mati awal dan menyusahkan hidup orang lain, ok?
Comments