Hantaran RM20K dan “Kahwinilah Perogol Anda”.
- Aqilah Abd Samad
- Apr 18, 2017
- 3 min read
Masih lagi berpunca daripada kenyataan-kenyataan kurang bijak daripada orang sekeliling dan isu feminism.
Tak habis-habis hang ni?
Sampai mati, aku nak buat benda ni. Fuh.
Aku tak tahu mahu memulakan tulisan ini dari mana tapi aku mulakan dengan kisah hantaran dahulu. Suka aku ingatkan di sini, aku perempuan, Melayu, practicing Muslim, berusia awal 20-an, mendapat pendidikan daripada sekolah kebangsaan dan sedang menghabiskan pelajaran tertiari di universiti dalam Malaysia. Oh ya, aku pernah menuntut di UITM selama satu tahun semasa asasi. Apa yang aku nak simpulkan di sini, aku tidak pernah ke luar negara dalam jangka masa yang lama untuk terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mungkin tidak bersesuaian dengan norma masyarakat kita.
Jika kalian rasa masih belum bersetuju dengan kepentingan feminism di Malaysia dengan alasan ini semua dakyah Barat yang hendak merosakkan nilai-nilai ketimuran dan yang lebih penting jika kalian kata gerakan feminism ini bercanggah dengan akidah Islam yang kalian junjung selama ini, kalian boleh beransur tapi habiskan pembacaan penulisan ini terlebih dahulu.
Sekali lagi aku lampirkan definisi feminism di sini.
fem·i·nism
the advocacy of women's rights on the basis of the equality of the sexes.
Maka gerakan ini bukanlah gerakan untuk menyimpang akidah tuan-tuan dan puan-puan, adik-adik manis sekalian.
1. Hantaran RM20K
Baru-baru ini berlaku penularan isu tentang harga hantaran pada hari ini yang mencacak tinggi. Ada juga isu berkenaan hantaran berdasarkan taraf pendidikan si perempuan. Isu-isu ini bagi aku bukan sahaja menakutkan lelaki untuk berumahtangga malahan jika berterusan isu ini akan membawa kepada perkara yang lebih besar lagi iaitu sense of entitlement dalam rumahtangga. Bayangkan lelaki bekerja keras untuk memenuhi permintaan keluarga perempuan melalui harga hantaran dan berjaya memiliki gadis tersebut (tidak kisah duit itu datang daripada kerja keras mahupun pinjaman. Opps).
Tahu apa yang jadi berikutnya? Sama ada beban itu akan terasa daripada hutang perkahwinan mahupun lelaki tersebut berasa entitled dengan si isteri. Maknanya, si isteri ini macam barang-lah. Aku dah lah kerja macam nak mati halalkan hang, maka suka hati lah aku nak buat apa dekat hang. Sebab ini barangkali ada sepak teranjang si suami dalam rumahtangga.
Hantaran RM20K ini, bagi aku diminta hanyalah bagi urusan walimatul urus. Maka di sini aku nak menyeru kepada rakan-rakan wanita, setinggi mana pun kepercayaan dan rasa hormat kita kepada autoriti dalam keluarga, kita mempunyai suara. Maka dalam hal ini, permudahkan urusan si lelaki dengan berbincang dengan ahli keluarga terlebih dahulu tentang permintaan-permintaan tidak masuk akal ini. Jangan letakkan bulat-bulat urusan masa hadapan anda kepada pemegang autoriti dalam keluarga. Sijil-sijil pelajaran kita bukanlah price tag yang membolehkan ahli keluarga kita sesuka hati menentukan masa hadapan kita. Kita jangan biar orang layan sebagai barang tetapi kita minta suara kita sebagai perempuan dan manusia untuk didengari waima orang itu ahli keluarga kita sendiri. Bukan ahli keluarga kita yang ingin sehidup dengan si lelaki. Kita yang akan hidup dengan dia. Susah dia nanti, susah kita juga.
Okay, sayang-sayang saya?
2. “Kahwinilah Perogol Anda”
Ini isu paling hangat dan kenyataan ini disampaikan oleh YB yang dipilih oleh rakyat Malaysia. Aku tak tahu yang mana lebih menakutkan, kenyataan ini mahupun kenyataan bahawa butanya rakyat Malaysia dalam memilih pemimpin.
Berlegar-legar pendapat di media sosial tentang kenyataan ini dan penentangan terhadap kenyataan ini merentasi sempadan parti politik, gender dan juga bangsa. Maka secara ringkasnya, semua orang mempertikaikan moral YB kita ini.
Sebelum YB ini mengeluarkan kenyataan yang tebal ciri-ciri patriarki dan Ombak Rindu ada juga kenyataan daripada seorang peguam yang turut sama menyokong perogol mengahwini kanak-kanak atau gadis yang dirogolnya. Pandangan kedua-dua orang makhluk ini berdiri di atas dua premis iaitu, “Kebajikan dan maruah si gadis” serta “gadis umur 9 tahun ke atas layak secara mental, emosi dan spiritual untuk berumah tangga.”
Mengucap panjang aku dengar premis-premis ini.
Aku sewaktu berumur 9 tahun masih lagi sibuk melayan Totally Spies di saluran TV3, masih lagi kisah dengan markah subjek Matematik yang hanya kurang 2 markah untuk dapat A dan masih lagi mempunyai crush dengan budak lelaki yang kehilangan satu gigi. Waktu tu, budak lelaki ini lah yang paling hensem dalam sekolah. Juga waktu sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah sistem pendidikan Malaysia telah membuktikan aku ni sek-sek budak pandai.
Ya benar, aku hanyalah memberi contoh peribadi tetapi ingin aku ingatkan sekali lagi, aku perempuan, Melayu, mengamalkan ajaran dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan maka apa yang aku cuba sampaikan ini sedikit sebanyak memberi gambaran demografi kanak-kanak perempuan di Malaysia.
Ya aku tidak menidakkan kisah Saidatina Aisyah R.A yang menikah pada umur 9 tahun. Tapi YB, En. Peguam dan abang-abang sayang saya sekalian, perkahwinan bawah umur ini jika hendak diimplementasikan kepada kanak-kanak perempuan di Malaysia sangatlah tidak adil kepada perkembangan intelek, emosi dan mental kanak-kanak perempuan tersebut. Perkahwinan ini seolah-olah merampas hak mereka untuk menikmati zaman kanak-kanak dan berkembang maju sebagai manusia.
“Perkahwinan ini salah satu cara perogol bertaubat dan menembus kesalahan mereka.”
Lagi kenyataan bangang. Sejak bila kita manusia-manusia ini boleh ukur taubat manusia lain? Sejak bila kita Tuhan ni?
Heh.
Comentários