top of page

Sebuah Cerpen Imaginasi Untuk Rektor UIAM, OSeM, SRC: Mahasiswa dan Bir.

  • Izzah Dejavu
  • Apr 15, 2017
  • 3 min read

AKU sudah belajar di UIAM 4 tahun. Tapi belum pernah sekali aku menemui Rektor UIAM, Prof. Dato'Sri Dr. Zaleha Kamarudin, sampailah tarikh 6 April, bila ramai pelajar marah-marah kerana pelaksanaan ‘Automatic Line Barrier’ (ALB) kerana sesaknya lalu lintas.

Kali pertama menemui Prof Zaleha, merangkap bunda di UIAM, aku merasa sangat gembira dan teruja. Manakan tidak, beliaulah yang sentiasa menjaga dan mendidik kami. Demi keselamatan para pelajar, beliau sanggup berkorban masa, wang dan tenaga.

Misalnya baru-baru ini bunda meluluskan implementasi ‘Automatic Line Barrier’ di UIAM yang kata beliau, telah 3 tahun dilakukan kajian terhadapnya. Bayangkan berapa banyak masa yang telah diperuntukkan terhadap benda ini. Barangkali sebelum aku masuk ke UIAM, beliau telah sama-sama berbincang dengan para pelajar alumni bahawa projek ini mesti dilaksanakan. Projek pagar ALB ini dilaksanakan oleh pihak Office of Security Management (OSeM). Begitulah sedikit sebanyak bagaimana kecintaan diterjemahkan kepada kami.

Tapi tidak hari itu, 6 April. Ribut, guruh, hujan, petir dan semua makhluk di bumi UIAM marah-marah. Gunung mula menyoal matahari. Matahari mula menyalahkan pantai. Pantai berang lalu berombak lebih kuat. Dan tiba-tiba tsunami melanda UIAM kerana keperluan asas penduduk negeri ini dihalang. Dan Rektor hanya senyap seribu bahasa. Keadaan menjadi lebih tegang apabila bunda begitu lewat membendungnya. Sengaja, menunggu amarah sampai ke puncak.

“Kenapa anakanda negeri UIAM bunda? Kenapa? Kenapa kalian marah-marah sama bunda? Tidakkah kalian tahu bunda telah melakukan yang terbaik untuk kalian?”

“Tapi bukan ini yang kami mahu. Tahukah bunda perut yang diganggu akan cepat marah?”

“Dengarkan bunda anakanda sekalian tentang isu pagar ALB ni…” bunda selaku Rektor mula melembutkan suaranya. Nadanya lebih tenang seketika seperti memujuk perlahan.

Nasihat Bunda 1

Mahasiswa ibarat botol jernih. Bundalah yang akan memicunya ke kiri dan kanan, meletakkannya di tempat yang indah agar dia disanjung, membersihkannya dari debu-debu melekat, lalu menutup botolnya rapi-rapi agar mereka akan selalu dilihat tinggi oleh masharakat. Biar, tidak ada siapa yang berani menyentuh mereka kerana kejernihan adalah lambang kesucian. Sambung Bunda lagi, tangan masharakat adalah tangan yang kotor, maka itu bunda membina pagar agar keduanya,saling berpisah dan tidak menyatu.

Beberapa orang pelajar jurusan agama mengangguk setuju. Jiwa yang tadi datang dengan ketidakpuasan hati cepat sekali reda mendengar pujuk rayu bunda. Berpuas hati dengan jawapan, mereka laju melangkah pulang menikmati roti canai pisang di HS Kafe. Riak girang di muka mereka tidak dapat disembunyikan. Aku mendengar salah seorang daripada mereka berbual sesama sendiri dari jauh,

“Benar kata Bunda, pagar ini harus ada kerana nanti masharakat hanya akan mencelit nama buruk kepada kita.Debu-debu kotor akan melekat. Dan kau tahu kan, kita semua di ajar benci pada kekotoran .Jijik.”

Namun demikian,dalam Dewan Senat ketika itu, kelihatan beberapa orang pelajar masih membuat bising. Tidak berpuas hati dengan jawapan Bunda. Bunda senyum melirik memandang pihak OSeM, seolah memberi petanda agar pihak OSeM, yang kami anggap seperti ayah kami sendiri pula memulakan bicara.

Nasihat Ayah 1

Mahasiswa bukan botol kosong, tapi bir yang berharga. Tahu kenapa ia berharga? Kerana orang yang mabuk bisa melakukan apa sahaja di setiap ruang. Begitu juga mahasiswa mabuk, disekat-sekat tidak akan mati. Jangan sekali kita memandangnya seperti malaikat kecil yang tidak berdosa, kerana dihujung kita akan mulai sedar, meskipun ia tidak punya dosa, tapi berbisa. Ini sangat bahaya pada masa depan kamu semua.

Maka,pagar ALB ini kami bina kerana selaku bunda dan ayah kalian, tidak mahu mereka mabuk-mabuk lagi. Pagar adalah kunci kepada kelumpuhan yang akan bikin mereka cacat seumur hidup. Biar mereka tidak lagi ghairah dan mendamba-damba pada kebebasan. Ini adalah langkah paling efektif, sebelum mahasiswa sempat mabuk kerana bir, mereka mabuk dalam ilusi dan fantasi indah sendiri.

Belum sempat ayah kami menamatkan bicara, tiba-tiba telah datang suara perempuan mencelah dari arah belakang,

“Sudahlah, Bunda dan ayahanda! Janganlah kalian menjaga hati kami. Kita semua tahu hakikatnya mahasiswa seperti permainan. Kalian boleh bermain dengannya mengikut kehendak kalian. Lihat sahaja pemimpin suara-suara yang kami lantik dari sistem demokrasi universiti ini. Lemah. Lebam. Lesu. Lemau.(4L)”.

Aku bangun dari tempat duduk. Wajahku merah menahan amarah mendengar suara pemudi itu. Aku melempar perasaan geram ke dalam botol sekudrat tenaga sebelum meneguk bir dengan rakus. Biar kacanya retak dan pecah berdarah dibibirku merakam peristiwa merah ini.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page