Cinta? Bullshit. (Bahagian 1)
- Aqilah Abd Samad
- Apr 4, 2017
- 4 min read
Aku terpanggil untuk menulis perkara ini sebab kebelakangan ini banyak sangat kebodohan sehari-harian yang aku terpaksa hadapi sama ada kebodohan ini berpunca daripada orang lain mahupun yang lebih besar kebodohan diri sendiri. Aku malas mahu berbicara mengenai kebodohan orang lain sebab bak kata bijak pandai, “Tend your own garden first before minding other people weeds.”
Kalau mahu diukur betapa obsesnya manusia dengan Cinta elok sahaja kita tengok betapa banyak kisah, penulisan, lagu, filem, buku, teori dan falsafah Cinta yang diangkat dan dijulang. Maka untuk menidakkan fitrah kemanusiaan ini bagi aku ialah satu tindakan tolol dan pengecut.
Tetapi kenapa apabila kita berbicara mengenai Cinta hanya kisah-kisah tragik sahaja dijulang tinggi? Paling mudah, Romeo dan Juliet sama-sama bunuh diri atas nama Cinta. Kalau nak berbicara kisah nusantara dan yang paling hip sejak dua menjak ini kisah Hayati dan Zainudin bagi karya Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Kalau nak ulas satu per satu kisah cinta tragik aku kira penulisan ini tidak cukup ruang dan peluang untuk berbincang tentang satu karya dengan adil.
Kalau benar Cinta itu segalanya dan memberi makna kepada kehidupan seseorang kenapa wujud hati yang terluka? Kenapa berlaku perkhianatan? Yang lebih jelas dan aku paling suka, kenapa statistik penceraian meningkat saban tahun? Kenapa dua orang yang pada mulanya sangat mencintai satu sama lain sanggup saling melukai? Kenapa ada orang yang sanggup membunuh diri atas nama Cinta? Adakah Cinta yang sebenar-benarnya, buruk dan menakutkan?
Soalan-soalan ini aku ulang dan ulang lagi setiap kali aku sendiri mengalami kegagalan dalam proses bercinta.
Mekanisme aku untuk merasionalkan perkara yang menjadi beban fikiran aku setiap kali aku gagal dan lost dalam menjalani kehidupan seharian adalah dengan berdepan empat mata dengan masalah tersebut. Berdepan empat mata bagi aku bukanlah dengan menyalahkan diri atau makhluk yang satu lagi. Juga bukan dengan cara menyalahkan takdir. Juga pernah suatu masa dahulu disebabkan ketakutan yang melampau aku melarikan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti dan memenuhkan jadual seharian dengan banyak pekerjaan. Setelah ditilik-tilik kejayaan-kejayaan yang aku tempa semasa proses aku melarikan diri itu bukanlah perkara besar dalam hidup aku. Aku sebenarnya seorang pengecut. Aku lari.
Sekarang ini aku sudah berani. Aku sudah tidak takut. Maka apa yang aku lakukan adalah dengan mendefinisikan Cinta dari sudut pandang aku sendiri. Aku baca, kaji dan satu langkah yang aku benar-benar aku rasa besar adalah dengan menghadiri kursus perkahwinan. Rata-rata orang datang kursus adalah untuk mendapatkan sijil dan dengan pasangan masing-masing. Aku datang semata-mata untuk ilmu atau yang lebih tepat aku datang dengan hati yang terluka. Aku datang kelas dengan perasaan skeptik dan sinis dengan Cinta dan perkahwinan, berbeza sekali dengan kebanyakkan yang hadir pada hari tersebut.
Ada satu kisah menarik yang aku hendak kongsikan. Sewaktu menjamah mee goreng semasa minum pagi tiba-tiba aku disapa oleh seseorang yang aku kira Kakak setelah ditilik fizikal dan gaya pemakaiannya. Kakak tersebut meminta izin untuk menjamu selera bersama ku. Walaupun pada mulanya aku malas berbicara dengan sesiapa disebabkan aku agak penat, atas dasar budi bahasa aku iyakan sahaja. Kakak tersebut memulakan bicara perkenalan kami. Perbualan yang pada mulanya hanyalah sekadar perkenalan tiba-tiba berubah kepada satu emotional outburst apabila dia menangis. Kata-katanya yang paling aku tidak boleh lupa, “Doakan akak, Dik.”Aku pada waktu itu tidak tahu untuk berbuat apa-apa, hanyalah bertindak dengan menggosok belakang Kakak tersebut. Sungguh aku tidak tahu apakah beban perasaan dan kehidupan yang ditanggungnya sehingga lewat usia 30-an barulah dia memilih untuk menjadi peserta kursus perkahwinan. Perbualan kami diakhiri dengan “Kamu tak bergraduasi lagi Dik, tapi aura psikologi kamu tu sangat Wow. Terima kasih ya.” Aku hanya mampu tersenyum dan aku berharap hanya yang baik-baik sahaja yang bakal mendatang dalam kehidupan Kakak tersebut.
Sebenarnya banyak yang ingin aku kongsikan daripada teori-teori Cinta yang aku belajar dalam kelas psikologi. Falsafah Cinta daripada pelbagai tokoh falsafah yang aku kaji dan baca, juga hasil daripada pembelajaran aku daripada kursus perkahwinan. Aku rasa kursus perkahwinan ini merupakan satu platform pendidikan formal yang baik untuk memahami Cinta dari sudut pandang Islam. Aku juga tidak menidakkan bentuk-bentuk pendidikan seperti penulisan, muzik, filem, drama dan lain-lain kerana bagi aku kepelbagaiaan ini harus dirai bukanlah ditakuti.
Cuma apa yang paling aku ingin tekankan ialah betapa silapnya masyarakat yang kononnya moden dan membangun pada hari ini dalam menghadapi dan mengurus perkara yang berkaitan Cinta. Kesalahan pertama dan paling besar ialah penekanan yang keterlaluan terhadap aspek perasaan. Kita salah guna kuasa Cinta dan kasih sayang ini untuk mengawal dan menindas orang lain dengan menipu dan mengkhinati walhal Cinta yang sebenar-benarnya ialah perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Adakah dinamakan Cinta sekiranya hasil perhubungan tersebut hanyalah bebanan emosi, kewangan dan fizikal yang keterlaluan sehingga kadang-kala menyebabkan kehilangan kewarasan akal? Adakah Cinta hanyalah tragedi yang sering kali diangkat dalam lagu-lagu dan filem-filem pada hari ini? Adakah Cinta hanyalah manifestasi kebodohan dan kerakusan nafsu manusia?
Aku sampai tidak tahu untuk memberi rujukan terbaik tetapi aku sama sekali tidak menyokong Cinta itu buta, menghilangkan kewarasan akal, manifestasi kebodohan dan kerakusan nafsu. Aku tidak menyokong sama sekali kisah Hayati dan Zainudin diangkat sebagai kisah Cinta. Hayati dan Zainudin merupakan manifestasi kebodohan manusia (baca : lelaki dan perempuan) serta kepincangan sistem masyarakat.
Comments