top of page

Buku Haram Kerja Kaum Fasis

  • Hadri Shah
  • Mar 31, 2017
  • 3 min read

Baru tadi aku dapat berita berbelas belas buku diharamkan. Semalam pula kisah Siti Aishah, pelajar UM Yang ditahan kerana didakwa memiliki buku-buku subversif. Tengahari tadi semasa bahang matahari melempiaskan sinarnya, aku terima satu mesej dari seorang kenalan baru dari Sabah. Dia bertanya, "apakah erti sebenar kebebasan bersuara dan adakah menjadi satu kewajipan menghentikan buku-buku atau dakwah kaum fasis?".

Ketika kakak kedai makanan meletakkan semangkuk laksa di meja makan, aku balas mesejnya " serius betul soalan tengahari ni. Nanti lepas makan, petang-petang sikit aku beri pandangan aku".

Dua kejadian termasuk satu soalan berkaitan terjadi dalam satu masa. Dan ia melibatkan perkara paling sensasi iaitu; nasib senaskah buku.

Saudara saudari sekalian,

Hari ini mereka yang memegang autoriti cuba-cuba berniat suci dengan berpakaian resah-fikir mengambil langkah mengharamkan buku-buku yang katanya terdapat kandungan yang berpotensi menggugat ketenteraman awam. Mereka kata buku itu buku ini bakal menggemparkan pemikiran orang ramai, memudaratkan moral dan kepentingan publik dan juga mungkin menggugat keselematan negara. Langkah pengharaman buku-buku itu selari dengan tanggungjawab mereka sebagai khalifah qudus manusia.

Kisah Siti Aishah juga begitu. Soalan kepadanya seperti di mana bom dan bendera yang Aishah simpan oleh pihak keselamatan semasa diangkut ke dalam trak sememangnya satu penghinaan kepada seorang individua yang menganggap buku sebagai punca pendidikan.

Mengapa Kementerian dan Penguasa begitu mengambil berat perihal sebuah buku?

Siapa yang akan menerima kemudaratan selepas membaca sebuah buku? Siapa pula yang akan tergempar pemikirannya? Siapa yang akan terpesong moral dan akidahnya? Dan apakah hanya kerana membaca buku, Siti Aishah layak dimalukan sebegitu rupa?

Inilah kerja kaum fasis tuan-tuan. Kerja mereka ialah untuk merencatkan proses intelektual masyarakat melalui pembacaan. Kerja mereka untuk arahkan itu dan ini. Kerja mereka jugalah untuk tentukan apa yang boleh dan apa yang tidak. Paling tidak bermoral, mereka menyeragamkan kita mengikut acuan, aturan yang digarispandu oleh mereka sendiri.

Kerja-kerja begini nampak seperti mulia, mengatasnamakan fikir-resah terhadap masyarakat. Takut-takut jika tidak dikawal, masyarakat membaca buku-buku yang mengakibatkan akidah mereka terpesong lalu berakhir di neraka kelak.

Saudara, saudari sekalian,

Kerja kerja begitu melalui kementerian, pegawai pegawai terlibat, pasukan keselamatan dilibatkan untuk mempertahankan status quo - mempertahankan hegemoni menteri-menteri yang bersalut rasuah dan salah guna kuasa, ia mempertahankan monarki, kelas atasan yang memperbudak kelas masyarakat melalui ketentuan yang ditetapkan mereka.

Buku-buku yang dianggap subversif memang dianggap menyeleweng kerana didikan yang terkandung di dalamnnya ditulis untuk memandaikan masyarakat. Tulisan dari buku-buku begitu dikarang siang dan malam berniat membebaskan kelas masyarakat dari terus diperbudak dalam hal ehwal ekonomi, sosial mahupun politik. Namun seandainya senaskah buku berkisar hal selain politik/ekonomi dan sosial sekalipun - apa hak mereka untuk menghentikan kelangsungan proses pembacaan?

Jadi, pengharaman buku-buku, penulis yang terpaksa melayan kerenah mahkamah atas birokrasi undang-undang sepatutnya sudah menjelaskan kepada kita sememangnya pemerintah, si pemegang autoriti, kaum fasisme mesti dicabar.

Tugas masyarakat bukanlah untuk menuruti arahan. Tugas masyarakat juga bukannya rela diseragamkan mengikut ajaran-ajaran mereka yang merugikan individualitas masyarakat. Masyarakat mesti memikul tanggungjawab untuk mencabar tindakan-tindak pengharaman bahan bacaan. Masyarakat tidak lagi boleh membiarkan pilihan mereka ditentukan apa yang boleh apa yang tidak oleh kelas atasan.

Sehingga kebebasan memilih bahan bacaan, timbul persoalaan seperti kenalan Sabah tanyakan tadi. Adakah selepas ini, di hari fasisme tidak lagi berkuasa, apakah kita pula menghalang mereka mencetak buku bagi mereka menghidang pemikiran mereka?

Masyarakat yang terlahir dari asas percaya kepada kebebasan memilih, bertoleransi dan meraikan perbezaan adalah masyarakat yang sudah dibangunkan atas kemenangan terhadap kaum fasisme.

Di hari itu, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan masyarakat kerana fasisme, fahaman yang membangsatkan itu sudah lama termansuh.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page