top of page

Pendidikan dan Anti Pendidikan

  • ZF Zamir
  • Mar 30, 2017
  • 5 min read

Aku pernah ditanya oleh seorang teman lewat Whatsapp, perihal buku Manifesto Komunis yang disita di Jakarta Oktober tahun lalu. Teman itu bertanya perlahan, bahawa mungkinkah Thukul Cetak sengaja membawa naskhah terjemahan versi Bahasa Malaysia itu ke Jakarta, sebuah kota yang (mungkin) anti-komunisme untuk tujuan provokasi?

Aku menjawab ringkas dan perlahan, bahawa aku melihat Manifesto Komunis ini sebagai sejenis pendidikan. Dan tidak benar sama-sekali untuk mengatakan kami tidak sensitif. Seterusnya aku berpendapat lebih baik berdiam diri, dengan menulis secebis pengalaman itu di dalam majalah Tumbuh versi offline Bilangan 1.

Hari ini apabila menerima berita larangan terhadap buku ini oleh Kementerian Dalam Negeri, aku sekali lagi jadi bingung. Bingung kerana naskhah ini juga disertakan Pengenalan Kritis, serta dipakejkan dengan menghitung korban-korban revolusi Sosialisme di kulit belakangnya, berjumlah ratusan juta yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana perang di dalam dunia ini sekalipun. Apakah mereka yang membuat kerja haram-mengharamkan ini – membaca serta memahami ilmu pengetahuan, diskusi serta pendidikan yang ingin disampaikan lewat buku tersebut?

Dan aku masih percaya, buku ialah pendidikan. Idea ialah pendidikan. Dan kerja haram-mengharamkan ini ialah kerja anti-pendidikan, kerja sang penakut yang fobia dengan idea serta kerja golongan tidak berpengetahuan, yang kini mengisi posisi penting di tampuk pemerintahan negara.

***

Manifesto ini pada awalnya tidaklah terjual laris, tetapi hanya menjadi kitab utama ideolog-ideolog komunis ketika Marx sendiri diangkat menjadi figura ketua dalam perjuangan komunis. Ini kerana Marx dan Engels bukanlah setakat intelektual yang duduk di sebalik papan kunci menghamburkan komentar-komentar 140 patah perkataan, tetapi turut sama turun beraktivis dan berorganisasi dengan kaum pekerja.

Namun, karya ini tidaklah bebas dari kritikan.

Antara salah satu masalah aku sendiri dengan Marx dan Engels ialah mereka terlalu menitikberatkan aspek material, iaitu penghasilan produk oleh manusia dalam telahan mereka mengenai apa yang memandu sejarah. Budaya, politik, dan agama dalam fahaman ini sekadar hasil daripada hubungan antara kumpulan manusia atas dasar ekonomi. Tetapi bolehkah sesuatu yang rumit seperti ini disimpulkan sebegini mudah? Persoalan kedua yang dapat kita timbulkan adalah apakah sebuah negara Sosialis hanya dapat dicapai melalui konflik dan revolusi? Bukankah contoh negara-negara di Eropah Barat dapat menunjukkan bahawa Sosialisme juga mungkin mampu dicapai melalui demokrasi?

Dan kembali kepada peristiwa yang awal tadi aku sebutkan, konflik komunis yang menghasilkan pertumpahan darah, wajarkah aku jika mengambil peristiwa berdarah ini untuk menempelak karya Marx dan Engels? Jika tidak, apakah boleh dipisahkan secara absolut, karya-karya Marx dan peristiwa-peristiwa hitam yang membawa nama komunisme dan Marxisme setelah Marx?

Persoalan-persoalan ini merupakan kritis biasa terhadap Marxisme, dan sudah tentu pendokong idealogi Marxisme sudah jemu menjawabnya. Namun, menjawab kritikan itu adalah satu hal, dan satu hal lagi ialah kekuatan argumen yang digunakan. Diskusi-diskusi ini lah yang kita perlu adakan dalam kalangan muda-mudi kita yang kini sudah diperkasakan dengan ideologi-ideologi alternatif, bukannya diskusi tahap superfisial akan siapa yang lebih radikal mahupun siapa yang lebih awal lagi membaca manifesto Marx dan Engels. – Pengenalan Kritis oleh Dayang Sifar, Manifesto Komunis, Thukul Cetak, 2016.

***

KAMI melewati lorong sunyi malam itu dengan suhu di bawah 10 darjah Celcius. Ianya adalah malam Isnin, dan jalan di sekitar kawasan sub-urban Brussels ini sunyi tanpa kereta. Kami masing-masing memasukkan tangan ke dalam jaket, dan sesekali meletakkannya di mulut dan menghembus wap panas dari badan. Dari hujung simpang kelihatan bangunan bertingkat dengan lohong api yang tak kunjung habis. Di bahu kiri jalan beratur kereta yang diparkir kemas mengikut petak masing-masing.

Khabarnya, imigran Afrika menduduki kawasan ini.

Yang satu masa dahulu, menjadi rumah kebanggaan penulis, kaum borjuis pemakan kek dan artis di zaman Belgium maju dengan kejayaan industri dan sektor pengangkutannya. Di pintu-pintu bawah, kelihatan plastik sampah berlonggok tak berkutip. Hampir di setiap pintu. Semua rumah kelihatan sama melalui bangunan ini.

Dan diantara rumah-rumah yang sama ini, kelihatan sebuah plak kecil di sebelah pintu; ‘Ici vecut Karl Marx 1846-1848,’

“Here lived Karl Marx 1846-1848,”

Rumah ini hanyalah sebahagian dari deretan bangunan di kejiranan ini. Kami berada di Elsene, 20 atau 30 minit dari tengah bandar Brussels menaiki kenderaan. Rumah ini tidak menunjukkan sebarang tanda yang ia satu masa dahulu pernah diduduki oleh manusia yang bakal menulis pamplet yang bakal mencetuskan pertumpahan darah dan peperangan paling dahsyat dalam dunia moden.

1846, hampir separuh dari populasi Brussels ketika itu dikhabarkan miskin, dengan kehidupan para buruh sangat mengerikan. Kebanyakan dari mereka bekerja selama 15 jam sehari dan menghantar anak perempuan mereka ke jalanan untuk bekerja sebagai pelacur. Inilah yang menjadi inspirasi kepadanya bersama Engels yang ketika itu menginap di nombor 3, di sebelahnya yang bernombor 5 untuk menulis pamplet The Communist Manifesto.

1 Oktober 2016, Okky Madasari di dalam kolumnya di The Jakarta Post memulai dengan ayat; “Saya adalah bagian dari generasi yang lahir dalam kebutaan,”

Dia menyambung; “Saat peristiwa 30 September 1965 terjadi, lalu disusul pembantaian ratusan ribu –bahkan mungkin jutaan– orang di berbagai wilayah, termasuk di kampung halaman saya di Magetan, Jawa Timur, ibu saya baru berumur dua tahun. Ibu saya dan ibu-ibu dari kawan segenerasi saya masih terlalu muda untuk mengerti segala yang terjadi,”

Begitulah Okky memulai eseinya, dengan memaklumkan ibunya sendiri baru 2 tahun ketika pembantaian 7 orang Jenderal Tentera Nasional Indonesia (TNI) saat malam 30 September 1965 oleh Gerakan 30 September (G30S).

Kebetulan, pada hari yang sama, buku terjemahan Bahasa Malaysia Manifesto Komunis terbitan Thukul Cetak diambil tanpa kebenaran oleh pihak polis. Sehingga kerjasama diberikan oleh pihak penganjur iaitu ITBM selaku ketua delegasi Malaysia di Indonesia International Book Fair (IIBF) 2016 yang menempatkan buku tersebut dari jam 12 tengah hari sehingga jam 7 malam, tidak ada surat sitaan malah tidak ada surat tangkapan diberikan kepada penerbit pada hari tersebut.

Malangnya tepat jam 8 malam, DetikNews.com melalui Facebook mereka mengeluarkan laporan berita menyatakan beberapa individu dari Malaysia telah ditahan berkait dengan buku berlambang ‘palu & arit’. Dan berita ini kemudian seperti biasa, tersebar dan menyebabkan cakap-cakap yang luar biasa di media sosial.

Sebahagian besar rakan dari Indonesia mengirimkan kata solidariti berkait hal ini. Teman dari Social Movement Institute (SMI) di Jogjakarta, penerbit Marjin Kiri, Bentang, Mizan, penulis Khoer Jurzani, Okky Madasari dan ramai lagi.

Insiden rampasan buku ini berlaku sesudah 51 tahun G30S dan 168 tahun setelah buku The Communist Manifesto ini pertama kali diterbitkan. Buku ini dengan mudahnya boleh diakses di laman web, boleh dimuat turun secara percuma dalam bentuk PDF, diterjemah ke ribuan bahasa seluruh dunia dan telah dibahas oleh sekian ramai orang sejak dia diterbitkan.

Buku ini juga ialah buku ke-3 paling banyak diajarkan oleh Universiti dan Kolej di Amerika berdasarkan majalah Quartz.com pada 2015, bahkan antara buku paling banyak dibaca di seluruh dunia. Lenin pada 1914 menulis;

"With the clarity and brilliance of genius, this work outlines a new world-conception, consistent materialism, which also embraces the realm of social life; dialectics, as the most comprehensive and profound doctrine of development; the theory of the class struggle and of the world-historic revolutionary role of the proletariat—the creator of a new, communist society."

Berdiri di hadapan rumah yang menghasilan pamplet ini di Brussels (yang hanya ditulis dalam 6 ke 7 minggu sahaja) mengingatkan kami kepada insiden yang berlaku di Jakarta dan mungkin, antara tanda betapa Kuala Lumpur lebih liberal dari Jakarta.

Dan betapa kerja menerbitkan buku, serta menjual idea selama beratus tahun ialah kerja hakiki pendidikan, di dalam dunia yang anti-pendidikan ini.

*Artikel ini pertama kali terbit di seksyen Perspektif, Tumbuh Bilangan 1 (versi offline), dan ditambah sedikit penyesuaian untuk edisi online terbitan 30 Mac 2017

** Frasa ‘betapa Kuala Lumpur lebih liberal dari Jakarta’ hancur musnah hari ini, 30 Mac 2017 apabila Perintah Larangan Melalui Warta Kerajaan P.U (A) 383 – 398 & P. U (A) 23-25 melarang buku Manifesto Komunis dan beberapa tajuk yang lain diterbitkan & menjual di bawah seksyen 8 (2) Akta 301. Kini Kuala Lumpur mengikut jejak Jakarta menjadi kota yang (juga) anti-pendidikan.


 
 
 

Comentarios


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page