Pemikiran Mitologis, Satu Renungan Semula.
- Wan Khuzairey
- Mar 24, 2017
- 2 min read

Tanpa perlu berselindung, kita semua pernah mengetahui atau mendengar cerita mengenai kisah-kisah mitos. Antara kisah yang paling popular sehingga di angkat menjadi filem adalah kisah mitos yang diambil daripada kepulauan Scandinavia dan diberikan tajuk sebagai Thor. Thunder atau “Thor-don” dalam bahasa Norway membawa erti jeritan Thor. Dalam bahasa Sweden pula, perkataan untuk Thunder ialah ‘aska’ asalnya daripada perkataan ‘as-aka’ yang bermakna perjalanan dewa di langit.
Bagi petani Viking, Thor sangat penting kerana bagi mereka Thorlah yang menurunkan hujan dan petir menerusi hayunan penukulnya. Hal ini penting bagi kesuburan tanaman mereka. Maka penyembahan dan pemujaan terhadap Thor pun berlaku dan Thor dianggap sebagai dewa kesuburan. Jadi secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa, pada awalnya manusia tidak mengetahui tentang bagaimana tanaman itu boleh tumbuh dan subur, tetapi oleh kerana kesuburan tanaman itu ada kaitan dengan hujan maka secara tidak langsung Tuhan Thorlah yang disembah.
Namun begitu, pemikiran yang bercorak mistis ini jika dilihat merupakan satu kongkongan pada diri manusia. Hal ini kerana manusia menyandarkan semua perkara hanya pada kekuatan ghaib alam dan para dewa. Di sini, secara jelas kita dapat melihat bahawa pemikiran mereka seperti pemikiran primitif, kerana mereka bergantung hidup hanya pada para dewa sebagai sumber kekuatan atas bumi yang penuh dengan misteri ini. Faktor semua ini berlaku adalah disebabkan tiada campurtangan ilmu pengetahuan dan teknologi. Budaya primitif pula sering kita andaikan diisi oleh sikap pasrah, menyerah kepada kuasa-kuasa ghaib.
Kehidupan mereka yang sederhana dan hanya mengikuti hukum alam menyebabkan mereka kelihatan statik, tidak ada perubahan dan perkembangan. Namun begitu, jika direnungi semula kehidupan mereka tidaklah terlampau primitif kerana mereka telah menetapkan beberapa kaedah sebagai satu pedoman dalam bertingkah laku sosial. Contohnya berkaitan dengan masalah sosial politik, dimana terdapat pembunuhan dan pengusiran terhadap orang yang melanggar kaedah sosial yang telah digariskan, kadangkala terjadi juga perang antara suku dan sebagainya.
Di dalam pemikiran mitologis ini, ternyata sudah ada permusuhan antara dua kekuatan,kekuatan manusia di satu pihak dan kekuatan alam di suatu pihak yang lain. Kepasrahan kepada alam semata-mata tidak boleh dijamin kebenaranya. Tambahan lagi, pemikiran primitif ini digambarkan sebagai satu pemikiran yang tidak logik dan tidak berilmiah. Pemikiran ini juga selalu difahami sebagai pemikiran yang awal pada perkembangan manusia. Pemikiran Mitologis ini kemudian disebutkan sebagai pemikiran “pra-logik”. Sifat kesederhanaan sangat menonjol. Contohnya, ketika mereka ditimpa oleh wabak penyakit, mereka memikirkan bahawa dewa sedang murka pada mereka. Maka mulalah upacara-upacara malah penyajian makanan dilakukan. Jika diteliti, perkara ini dilakukan bukan sahaja untuk mendapatkan keampunan tetapi juga satu cara untuk mendidik diri agar tabah dalam mendapatkan kekuatan ghaib untuk meghadapi ancaman dari para dewa mahupun dari alam. Dapat kita lihat, dengan konsep logik yang amat sederhana itu, masyarakat primitif telah ada sikap menghadapi dan mengatasi alam, tidaklah hanya pasrah dan menyerah.
Mitos sebenarnya bukan sahaja terdiri daripada cerita-cerita penghibur atau laporan berbagai peristiwa alam sahaja. Mitos adalah satu rangkaian peristiwa yang panjang dan mampu menggetarkankan jiwa yang kemudian boleh menolong manusia memandu tingkahlakunya sehingga mewujudkan kebijaksanaan. Jadi sebenarnya pemikiran mitologi ini telah memberikan kefahaman kepada manusia bahawa manusia merupakan subjek kepada alam, Cuma manusia masih tidak mampu berdiri sebagai satu subjek yang teguh. Masih ada lagi pengaruh kekuatan alam sebagai objek mempengaruhi pemikiran. Disebabkan itu, kebergantungan manusia pada alam masih dominan di dalam kehidupan.
Comments