top of page

Menumpang Untuk Pulang Dari Padang Pasir

  • Hariz Hazwan
  • Mar 24, 2017
  • 4 min read

Setelah meminta diri dan mengucapkan selamat tinggal dan semoga Audeh berjaya walaupun aku tak pasti apakah perasaan aku sebenar, aku terus menyambung perjalanan. Cuba menahan beberapa kereta tapi tidak berhenti dan mereka menunjukkan isyarat tangan yang aku sendiri tak fahami.

Jadi aku berjalan di pinggiran jalan dan padang pasir. Dua buah bukit besar di kiri kanan aku. Beberapa minit perjalanan, sebuah jeep berhenti.

“Kau nak ke mana?”

“Jalan besar luar sana. Highway Amman-Aqaba”

“Naik, tapi aku hanya boleh drop kau di simpang tiga ke Diseh. Aku nak ke Diseh”

“Takdahal,” terus aku lemparkan beg di tempat duduk belakang dan memulakan hitchhike aku ini.

Mereka memperkenalkan diri, Abdul Rahman atau dipanggil ‘Abboud dan Audeh, kedua-duanya berumur 16 tahun dan mereka adalah sepupu. Bukanlah sesuatu yang aneh kerana mereka di sini tinggal di dalam satu keluarga yang besar. Sekitar 2000 orang penduduk di Kampung Rum ini dan 95 peratus daripadanya adalah berasal dari keluarga Zalabieh.

“Bagus, kau dah jadi macam Badwi, tahan kereta (hitchhike) macam ni”

“Hah, harapnya selamat lah”

“Eh, konfem selamat. Jordan memang selamat, tentera kami kuat. Raja kami bagus,” ah, memang biasa aku dengar perbualan macam ni. Orang Jordan memang rata-ratanya sangat patriotik sehinggakan mendengar lagu memuja raja untuk suka-suka.

Jeepnya bergerak terus melepasi simpang tiga Diseh.

“Aku tak jadi ke Diseh, jadi aku boleh hantar kau ke luar sana”

“Cantik”

Tiba di lebuhraya, aku berdiri menghulurkan tangan aku menanti mana-mana kereta ataupun lori yang akan berhenti. Ada beberapa kereta yang menyalakan lampu melihat aku, dan aku menunjukkan isyarat untuk menumpang. Tapi mereka tak berhenti.

Setengah jam menunggu, akhirnya sebuah teksi berhenti.

“Kau nak ke mana?”

“Amman”

Penumpang di hadapan bagitahu aku untuk masuk saja. Jangan risau dengan bayaran. Aku pun mendengar akan itu, terus gembira dan tak berfikir panjang.

Aku memperkenalkan diri dan lelaki separuh umur itu mula bercerita.

“Aku asal dari Nablus..,” lelaki yang berjambang lebat duduk di kerusi sebelah pemandu itu memulakan bicara. Jambangnya putih dan penuh di muka dan tangan kiri dan kanannya bersulam tatoo.

“..tapi sekarang ni aku tinggal di Aqaba. Dan aku nak pergi ke Amman. Mak aku baru saja mati,” sambungnya sambil menangis teresak-esak. Dia kelihatannya tidak begitu stabil.

Walaupun dia ini mungkin telahpun mencecah umur 50 tahun, tapi kesedihan apabila mengetahui ibunya meninggal dunia tidak sedikitpun berkurang. Mungkin kehidupannya tidaklah berubah secara drastik berbanding anak kecil yang kematian ibunya, namun kesan emosi tetap dirasai.

Dia terus mengulang-ulang beberapa kali yang ibunya telah mati.

“Kau tak payah risau akan bayaran teksi ini, sebab mak aku mati. Aku bayarkan untuk kau. Siapa nama kau?,” serba salah aku jadinya. Patutnya aku rasa gembira dibelanja trip yang mungkin saja mencecah 40 JD, tapi dia ini sedang kesedihan.

“Aku tak percaya akan syurga, neraka dan alam barzakh. Tiada benda yang dinamakan roh, kita ini debu sahaja. Kau mati, tanam di dalam kubur, maka kau dah tak wujud. Pabila manusia mati di dunia, maka tamatlah kisahnya. Roh, alam barzakh, syurga, neraka - semua ini rekaan dan khayalan manusia saja. Kau tau, mak aku dah mati!” sambung lelaki itu menangis. Tangannya dikeluarkan dari tingkap dan dibiarkan bergerak ke atas dan ke bawah dengan angin yang merentang. Matanya merah berkaca-kaca.

Selain dari apa yang diberitahu kepada kita melalui sumber-sumber agama, tiada cara lain untuk kita mengetahui kewujudan roh. Betul, saintis dan pengkaji masih lagi tidak dapat menyelesaikan hard problem of consciousness. Ada yang beranggapan inilah sentient kita. Kau merasai. Tak mungkin kita dapat merungkai persoalan roh dan alam selepas mati ini dengan hanya berpandukan empiricism. Kerana empiricism itu sendiri bergantung kepada pemerhatian dan deria kita. Yang hidup sudah tentulah tidak ada yang pernah mati. Jadi bagaimana kau mahu membuat pemerhatian akan alam selepas mati dan bergantung kepada empiricism. Yang kita mampu lakukan dalam persoalan-persoalan sebegini adalah hanya bergantung kepada teks-teks yang menceritakan kepada kita apa yang berlaku di alam sana, dan kau haruslah percaya akan teks-teks ini terlebih dahulu, sebelum kau dapat percaya apa yang diceritakan.

Ataupun jika kau tak percaya akan agama, alat yang kau ada hanyalah spekulasi-spekulasi akan apa yang akan berlaku, ataupun pilihan lain yang tinggal adalah kau persetankan persoalan ini kesemuanya. Tapi adalah naluri manusia untuk menyoal akan soalan-soalan sebegini. Soalan-soalan yang cuba mencari makna eksistensial hidup kita.

Apapun agama yang ada dalam dunia ini, semuanya mempunyai persamaan dalam mempercayai bahawa kehidupan tidak terhenti di dunia ini. Akan ada hidup selepas mati, baik dalam bentuk alam lain seperti barzakh dan akhirat dalam Islam, ataupun reinkarnasi seperti yang dipercayai oleh Buddha. Seolahnya kehidupan selepas mati ini merupakan sesuatu kepercayaan yang sentral dalam kehidupan beragama. Apakah kerana untuk menanam ke dalam jiwa penganutnya bahawa apa yang mereka lakukan di dunia ini tidak akan terlepas dari pembalasan - baik mahupun buruk? Pembalasan atau apa yang dinamakan sebagai reinforcement di dalam ilmu psikologi?

“Tapi, macam mana pun, kalau syurga ada, sekarang aku tetap harap mak aku masuk syurga,” sambungnya.

Heh, mungkin sekali terlalu berat untuk manusia fikirkan bahawa orang yang paling disayanginya hilang begitu sahaja. Poof. Sekelumit harapan juga diperlukan yang orang kesayangan kau berada di tempat yang baik ketika kau vulnerable, walau seateis manapun engkau. Mungkin.

Aku terdiam.

“Aku dari Nablus” ulang lelaki itu lagi.

“Ah aku pun ada beberapa kawan di Universiti yang berasal dari sana. Dengar katanya, kuih-kuih dan manisan dari sana sedap dan terkenal,” aku cuba menyambung perbualan, agak kekok.

“Kau nak ke mana? Kau dari mana?” ulangnya lagi untuk kali keenam atau ketujuh. Ah, sah! Dia ni mabuk. Aku ingatkan dia kelihatan tak stabil kerana sedih saja.

“Mak aku dah mati, kau tak payah risau bayaran teksi” ulangnya lagi buat kesekian kalinya.

Jauh sangat lagi perjalanan aku ke Amman ni. Adalah tiga jam lagi!

************************

2 jam perjalanan, pemandu teksi berhenti di tepi kedai. Lelaki yang kematian ibunya itu tengah tidur lena. Kepenatan mungkin.

“Kau jangan buat layan apa yang dia cakap. Dia mabuk dan tak sedar tu. Kau bayar aku 15 Dinar,” kata pemandu teksi.

Ah, sudah! Kan dah terkena.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page