Percuma Dari Matahari
- Izzah Dejavu
- Mar 23, 2017
- 3 min read
BERAHIM mengaku gemar menghulurkan bantuan kerana menurutnya tidak ada masalah. Manusia memang digalakkan berbuat baik. Dia sentiasa merasakan yang Tuhan akan sentiasa membalas segala kebaikannya dengan berlipat puluh kali ganda.
“Ibu saya selalu berpesan, saat kita membantu seseorang,nanti Tuhan akan membalas kebaikan kita dua kali ganda, dan sentiasa, ibu saya benar. Bahkan saya mengalami ‘dejavu’, yang Tuhan bahkan membantu saya lebih dari apa yang saya perlukan.” Kata sosok yang memiliki Trak Mek yang dibuat khas dari luar negara.
Rimli yang mendengar di corong-corong radio tentang bantuan percuma malam semalam di warung hujung kampung segera pulang ke pondok kecilnya. Dilihatnya Aman, anak lelaki seusia dua tahun itu sedang tidur nyenyak di samping isterinya. Perlahan-lahan dinaiki perlahan pondok kecil atap nipah itu mengambil ruang berbaring di sisi isterinya. Kadang-kadang bila musim hujan tiba, mereka sekeluarga akan beratapkan langit dan bayang-bayang pokok sawit. Malam ini cuacanya bagus.
Pernah suatu malam, Aman, anak kecil itu merengek-rengek kerana terlepas barang permainanan dari tangan. Terus, saat melihat Rimli pulang, Aman membuat satu permintaan yang tidak mampu dia tunaikan sebagai seorang bapak.
“Bapak, aku mahu cahaya. Mahu cari permainan.” Aman meronta-ronta di hujung kaki Rimli.
Tidak mahu mengecewakan hati anak itu, Rimli berhenti mengeluarkan kepulan-kepulan asap kecil rokok di bibirnya.
“Kenapa berhenti merokok, bang? Kau dan rokok bukankah sudah sebati ?” Isteri Rimli bersuara dari arah belakang.
“Ah, bukan untuk sihat. Kau sendiri tahu. Tapi untuk anak, aku sendiri sanggup buat apa saja” balas Rimli perlahan.
Nyalaan kecil api di hujung putung rokok di bawa menghampiri permukaan lantai pondok kecil. Cahaya bulan malam itu sedikitpun tidak membantu. Rimli meraba-raba mencari alat permainan dengan cahaya di hujung rokok. Sudah 7 putung rokok habis, tapi hasilnya, Rimli belum menemukan alat permainan Aman. Seketika dia menolehnya ke sisi, anak kecil Aman itu sudah terlelap bersama dengkuran halus di penjuru. Badannya melekit-lekit sambil air peluh seperti petani tua deras membasahi dahi.
“Esok sahaja dicari lagi… Maafkan bapak Aman.” Cuma sekadar naluri kebapaan Rimli yang merasa bersalah.
Rimli tidak dapat tidur lena. Esok dia akan pergi ke bandar dengan membawa RM1 seperti yang di war-warkan oleh Berahim tempoh hari. Seawal 7 pagi, dia sudah terpacak di hentian bas usang di kampung. Wang yang berjumlah RM1 itu sudah 10 hari dia kumpulkan dengan bermain kutu bersama teman-teman warung kopi. Rupanya bukan Rimli saja yang sibuk ke bandar waktu itu. Kak Ton, Kak Mah, Haji Salleh, dan Jenab Si Janda pun ada sekali. Cita-cita mereka untuk memiliki rumah sendiri lambat laun akan tercapai dalam beberapa detik seusai menandatangani perjanjian di atas kertas kecil.
Sekarang, sudah sebulan, Rimli dan keluarga menetap di rumah baru. Mereka meninggalkan pondok yang mereka duduki sepanjang 10 tahun lamanya. Berhijrah. Aman-lah yang paling gembira kerana mereka sudah punya lampu. Jadi, setiap kali barang permainan terlepas atau tercicir, bapak sudah tidak perlu mencucuh rokok dan berpanas mencari barang permainannya.
Kecuali pada malam ke-31, bekalan letrik di rumahnya terputus. Rimli mencuba mengintai di luar rumah.Tapi, rumah-rumah lain bercahaya, kecuali rumah mereka. Rimli tidak puas hati setelah hal letrik di rumahnya tidak selesai walaupun telah masuk genap hari ke-40.
Hati Rimli benar-benar mendidih. Kali ini dibawa sekali api kemarahannya berjumpa Berahim. Berahim yang sedang minum kopi tersenyum memandangnya. Rimli bercekak pinggang.
“Berahim, rumah yang aku duduk itu tidak ada letrik. Sama sahaja seperti pondok aku di kampung dulu.” Pekik Rimli di halaman rumah, tidak peduli akan mata-mata yang mengerlingnya, tidak senang.
“Kahkahkah.” Gelak syaitan Berahim bergema sampai gugur daun-daun kering pokok rambutan. Anak benih bendi yang baru disemai juga seperti tidak berani tumbuh hari itu.
“Kau ini kelakar,Rimli. Dari dulu kau kelakar. Sudah lewat 8 hari, kau tak bayar bil elektrik. TNB sekatlah. Kau ingat semua benda percuma. Jangan pulak kau buat-buat lupa 1 April 2015 nak dekat ni, lebih 300kWh tambah 6% GST tau.” Hilai tawa Berahim semakin galak di muka pintu.
Rimli terkesima. Dia pulang ke rumah. Di pintu isteri dan anaknya menunggu dengan penuh pengharapan menanti kepulangannya membawa cahaya. Aman merengek lagi di muka pintu meminta dicarikan alat permainannya yang tercicir. Rimli bahkan tidak mencucuh putung rokok untuk membantu Aman mencari permainannya.
Rimli mendekatkan wajahnya pada Aman, dipeluknya Aman erat-erat. Air matanya diseka laju, kerana menurut Rimli, seorang bapa dilarang menitiskan air mata di tubuh anaknya. Rimli merenung dalam mata anaknya, kemudian dikucup perlahan dahi itu. Separuh berbisik Rimli berkata,
“Bapak tidak akan mencucuh rokok untuk mendapatkan cahaya. Esok kita akan mengembara, anakku.”
“Mengembara ke mana?”
“Ke matahari…”
“Untuk apa bapak, kita harus pergi sejauh itu?”
“Kerana hanya matahari percuma.”
“Kita akan mengambara jauh, mengambil matahari, supaya kita tidak perlu lagi memakai letrik kan?”
Rumah jadi sunyi. sepi, bisu, gelap. Hidup terasa digula-gulakan,manis.
Comments