top of page

Kad Tersangkut Di Atm!

  • Hariz Hazwan
  • Mar 23, 2017
  • 5 min read

lebanoninapicture.com

1.

Aku mahu check out pada pagi itu dan berkira mahu ke arah utara dari Beirut dan meninjau Byblos yang hanya aku lawati pada waktu malam untuk konsert Alt+J bersama Aisha dan saudara-maranya beberapa hari lepas. Apabila aku tiba di kaunter Saifi Urban Gardens, hostel yang tidak lah berapa murah itu, aku dikhabarkan yang mereka hanya menerima wang tunai. Aku pun tak pasti kenapa, padahal mereka turut mempunyai sebuah institut bahasa Arab yang besar juga. Takkanlah pelajar-pelajar asing di situ pun semuanya datang bayar dengan wang tunai.

Lalu, aku pun keluar menelusuri daerah Gemayze yang dipenuhi bar dan pub di dalam bangunan-bangunan lama dan terjaga rapi untuk mencari mesin ATM. Setibanya aku di sana, aku menjalankan rutin yang biasa di mesin ATM. Masuk kad. Tekan pin kata kunci. Tekan jumlah wang yang mahu dikeluarkan. Tunggu kad keluar. Tunggu wang keluar. Masukkan wang dalam poket dan rasa gembira bercampur kecewa.

“Transaction is not succesful” terpampang di skrin biru di depan aku.

Ah pulak?

Kemudian tiba mesej di telefon aku yang menyatakan aku baru sahaja menjalankan transaksi sebanyak JOD 100 (sekitar 70 USD). Eh? “Transaction is not succesful”, duit aku tak keluar, tapi kenapa ada mesej masuk ni? Apa duit aku dikira keluar ke? Mana boleh jadi. Aku yang tak berpuas hati pun memasukkan kad aku lagi sekali ke dalam mesin ATM Banque Libano-Francaise itu untuk melihat baki di dalam akaun aku. Sebaik sahaja memasukkan pin kad aku, tiba-tiba mesin ATM terpadam. Hah, terputus elektrik! [if !supportLineBreakNewLine] [endif]

2.

Ini bukan kali pertama Beirut terputus elektrik. Malah, hampir setiap malam di musim panas seluruh bandar Beirut akan terputus bekalan elektrik selama beberapa jam. Setiap malam aku di rumah Ribal, yang tak jauh dari Roundabout Dawra, sekitar jam 8 seluruh kawasan perumahannya akan gelap gelita selama sejam dua. Bagi aku yang pertama kali mengalami perkara ini, ianya amat kelakar dan menarik. Kau bayangkan, kau duduk dan memerhati begitu banyak kereta-kereta mewah di tengah bandar Beirut dan mereka yang kelihatannya begitu fancy sekali. Tak lupa dengan awek-awek cun dan makcik-makcik yang berpakaian pakaian jenama mahal dan kelihatan begitu classy merata-rata. Loghat Bahasa Arabnya bercampur dengan bahasa Perancis, dan dianggap chic dalam kalangan dunia Arab. Hatta, wanita-wanita muda di Jordan dan negara Arab sekitar, terkadangnya meniru slang bahasa Arab Lebanon untuk kelihatan bergaya. Ini kerana Beirut dan Lubnan merupakan pusat industri hiburan dan kebudayaan dunia Arab. Kebanyakan pemuzik-pemuzik terkenal, pelakon, pemuisi dan filem yang tersebar ke seluruh dunia Arab datangnya dari Lubnan. Nizar Qabbani dan Khalil Gibran yang terkenal seantero dunia juga asalnya dari Lubnan. Jadi pada mata kasarnya, Beirut ini kelihatannya begitu gah dan berbudaya. Kos sara hidup juga amatlah tinggi.

Mana mungkin aku dapat bayangkan perkara yang begitu asas seperti elektrik pun dijadualkan untuk tidak diputuskan? Ada sesetengah kawasan yang mendapat 20 jam eletrik sehari, ada sesetengahnya 21-22 dan ada sesetengahnya 16 jam. Jadi bagi pemilik-pemilik bisnes dan restoran, mereka akan menggunakan generator elektrik bagi mengatasi masalah ini ketika bekalan eletrik diputuskan bagi memastikan kelancaran bisnes mereka. Kelihatannya lebih seperti perkampungan pedalaman di benua Afrika berbanding sebuah bandar yang bergemerlapan dan dinobatkan sebagai Paris of The East ataupun Las Vegas of Middle East. Bezanya, kerana kita hidup dalam tahun 2017, mereka mempunyai apps di telefon canggih mereka untuk melihat jadual bekalan elektrik diputuskan.

Masalah ini bermula ketika perang saudara di Lubnan dalam tahun 1975 sehingga 1990 namun masih lagi berlaku kerana terdapat jurang di antara permintaan dan bekalan elektrik. Yang mana pada tahun 2013 dicatatkan sebanyak 1.1GW setiap hari, iaitu sekitar 40% daripada permintaan dan permintaan senantiasa meningkat 6-8% setiap tahun walaupun sebelum kedatangan pelarian Syria ke Lubnan. Kerajaan Lubnan menunding jari kepada pertempuran di bahagian selatan negara dengan Israel yang menjadi sebab pembaikian grid tidak dapat dilakukan dengan pantas.

Tapi, rakyat mereka rata-rata percaya ini tak lain tak bukan kerana korupsi dan permainan politik orang atasan. Ahli politik masih bercakaran sehinggakan kerusi jawatan Presiden masih kosong walaupun sudah 2 tahun. Kerajaan punya monopoli dan kuasa penuh ke atas bekalan elektrik negara walaupun tidak mampu untuk menampung permintaan. Orang-orang besar dan syarikat yang mempunyai kabel (pun intended) yang kuat dapat mengelakkan diri dari membayar bil elektrik. Syarikat pembekal harus turut menanggung lintah-lintah berkereta mewah dan berkot cantik semua ini. Bunyinya tak jauh beza dari negara kita. Beberapa orang yang berkuasa menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk kesenangan peribadi dan orang sekitar mereka, yang menanggungnya golongan marhaen. Mereka dapat elektrik percuma yang mana ditanggung oleh 4 juta penduduk yang perlu menghadapi bekalan elektrik terputus. Darah yang disedut berupa keperluan asas dan salah satunya elektrik.

3.

Dan salah seorang daripada yang terpaksa menghadapi kesan itu adalah aku. Sekarang, kerana korupsi dan ketidak cekapan mereka yang mentadbir, kad ATM aku ditelan oleh mesin ini. Aku pula tak pasti bila mesin ini akan hidup kembali. Jadi, perlukah aku menunggu mesin ini? Kalau hidup kembali apakah aku kad aku akan keluar? Bagaimana aku mahu membayar sewa hostel aku yang tak berapa nak hostel? Dan juga, apakah wang aku, yang tadinya dicatat untuk ditolak dari akaun aku, sememangnya ditolak?

Aduh, baru sahaja 4 hari lepas aku tertinggal kad aku, dan bercerita panjang keesokannya cuba mendapatkan kad kembali. Hari ni kad aku ditelan pula. Tapi dalam kekecewaan, aku sebenarnya agak teruja setiap kali aku terlibat dalam masalah-masalah begini. Adrenalin mencanak naik, ada masalah untuk diselesaikan juga ada pengalaman untuk aku ingat. Tapi, mungkin juga aku ini punya masalah mental. Siapa yang tahu?

Aku kemudiannya bergegas kembali ke hostel dan cuba menghubungi pihak bank. Berpuluh kali aku cuba menelefon dan terpaksa aku menghadap operator dari India yang bertanyakan pelbagai soalan pengesahan. Akhirnya dapat disahkan yang tidak dicatatkan wang aku dikeluarkan. Syukur.

Seterusnya, misi untuk mendapatkan kad kembali. Aku kembali ke mesin ATM tersebut yang terletaknya kira-kira 20 minit berjalan kaki dan mendapatkan nombor telefon dan nombor siri mesin ATM tersebut. Aku cuba hubungi HQ Banque Libano Francaise dan pergi ke cawangannya merentasi bandar Beirut. Dalam perjalanan dengan van kecil, ada penumpang yang terdengar akan perbualan akan permasalahan aku di telefon. Dia kemudiannya membantu dan membayar tambang aku yang ketika itu kesempitan wang. Terima kasih, perempuan yang tak aku kenali! Jasamu aku hargai. Aku masuk dan menceritakan masalah aku kepada pengurus bank tersebut dan kata beliau, beliau tidak punya kuasa akan ATM yang berada di luar cawangannya. Maka mereka tidak dapat membukanya sekarang. Pembukaan mesin dijalankan berkala dan mana-mana kad yang ditelan akan dihantar ke pejabat pusat. Memandangkan hari itu hari Khamis, keesokan harinya cuti. Maka aku tidak dapat untuk menuntut semula kad aku. Aku hubungi kembali Standard Chartered dan mengesahkan yang aku ingin mematikan kad tersebut, satu-satunya sumber wang aku selama aku di Lubnan. Agak ironik, kerana beberapa hari sebelumnya, sudahpun pihak Standard Chartered bertanyakan kepada aku untuk mematikan kad aku tersebut dan berjaya aku selesaikan masalahnya. Tapi hari itu, aku terpaksa akur. Mungkin inilah yang orang sebut sebagai, “kau tidak mampu terlepas daripada takdir”?

4.

Aku masih mempunyai beberapa hari di Beirut. Jika tak diselesaikan masalah aku ini, terpaksalah aku merempat di tepi jalan tanpa makanan sebelum menunggu tarikh pulang dengan kapal terbang.

Jadi tanpa membuang masa, aku bergegas untuk ke Kedutaan Malaysia di Lubnan untuk mencari apa-apa bantuan saja yang aku dapat. Inilah dia manusia, mencari apabila kesusahan. Ketika kesenangan, dilupakan. Pejabatnya Kedutaan letaknya di Ras Beirut, iaitu di hujung Beirut berdekatan dengan tanjung yang menghadap laut lepas. Memang kawasannya begitu cantik. Sempat juga aku menikmati pemandangan cliffhanger dan lautan lepas walaupun dalam kekalutan. Sesampainya aku dilayan dengan baik dan berbual dengan beberapa staf Kedutaan. Yang mereka cadangkan hanyalah cuma untuk menghubungi mana-mana pihak untuk dihantarkan kepada aku wang. Dengan bantuan pihak kedutaan, aku kemudiannya menghubungi Danial, rakan serumah aku untuk menghantarkan aku sejumlah wang supaya aku dapat hidup tanpa perlu merempat.

Kemudian petang itu, dapatlah juga aku wang daripada Danial yang dihantar melalui Western Union untuk dibayar kepada pihak hostel.

Gila, semuanya berlaku kerana mesin ATM tiba-tiba terpadam dan keputusan bekalan elektrik. Dan ini adalah kerana kelemahan pemimpin negara untuk menyediakan keperluan asas. Haru biru jadinya hidup aku. Ini baru hidup aku seorang, kau belum fikir lagi kesannya terhadap 4 juta rakyat Lubnan yang seluruh hidupnya nun di sana. Jadi, kau rasa apa memastikan negara diperintah oleh orang yang layak dan bertanggungjawab, kerja main-main?

Sumber: http://www.economist.com/news/middle-east-and-africa/21582570-power-cuts-are-symptom-deeper-malaise-blackout


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page