top of page

Dari Seorang Aku

  • Nursyuhaidah A. Razak
  • Mar 22, 2017
  • 5 min read

Hujan ataupun tidak, Aku akan tetap di sini. Satu-satunya tempat yang menjadikan Aku seperti anak kecil, yang boleh bermain dengan bebas tanpa berasa takut untuk jatuh dan menangis. Seperti kata bonda, buatlah apa yang Aku mahu, lorong kecil ini telah menjadi kepunyaan Aku sepenuhnya. Waktu siang Aku akan keluar dari lorong ini, dan berdiri di luarnya. Namun sebelum berdiri, kotak-kotak lusuh dan sudah sedikit berbau ini Aku susun dahulu di tepi dinding yang sudah remuk ini, tempat di mana bonda meninggal. Entah dilanggar apa, bukan hal penting untuk diberitakan. Di sinilah Aku, menunaikan janji Aku kepada bonda, lorong ini berhak gembira.

Kadang Aku pelik juga dengan orang-orang di luar sana, entah apa sebenarnya kehidupan itu pada mereka. Apa mereka tahu tempat yang mereka suka berkunjung ketika siang ini, malamnya penuh dengan tikus-tikus gemuk membawa bangkai? Apa mereka sedar lorong yang penuh dengan warna di siang hari ini adalah tempat perempuan-perempuan menjadi buas ketika malamnya? Agaknya jika mereka tahu, pasti mereka jijik untuk melintasi apalagi duduk di atas kotak-kotak yang Aku susun tadi. Namun semua itu tidak menjadi hal yang besar buat Aku. Ya, buat apa peduli apa yang mereka fikirkan tentang kehidupan, di lorong ini mereka hanya mengghairahkan lagu-lagu dan suara Aku, dan itu sudah cukup.

Cahaya yang kau janjikan

tertutup dengan awan

kucuba untuk bertahan

dengan dua tapak tangan

Ohh aku hitam tiada cahaya

terang kelam membusuk dada

Ohh aku hitam tiada cahaya

terang kelam membusuk dada Habis saja Aku melengkapkan baris terakhir nyanyian, Dyana datang lagi menegur. Gadis yang sering berbaju kurung itu selalu menggalas beg tangan kulit yang berkilat tiap kali terkena cahaya matahari, wajahnya sentiasa terlihat segar, hari ini dia memakai hijau perlahan bersama corak bunga-bunga kecil berwarna kuning, nampak seimbang betul dengan warna kulitnya yang sedang-sedang itu. Sudah masuk bulan kedua Aku menyanyi di sini, Aku kira sudut kecil ini diberkati Tuhan, selalu dipenuhi orang-orang yang entah datang dari mana. Kalau tidak lama pun, orang-orang ini akan singgah untuk merakam atau mengambil gambar Aku kemudian pergi. Aku sudah biasa melihat orang-orang di sini bertukar ganti, hanya saja Dyana tidak. Ini sudah kali ketujuh dia datang untuk mendengarkan Aku.

"Siapa namamu?" "Sudah biasa dipanggil Aku." "Aku? Seperti aku berbual dengan diriku sendiri nantinya." "Agaknya bondaku sengaja memanggil begitu. Supaya aku terdidik melihat ke dalam diriku dahulu, barulah orang lain." “Mendalam cara bondamu. Namun tidakkah nanti engkau menjadi orang yang pentingkan diri? Oh ya, aku Dyana.”

“Engkau boleh menilai aku nanti. Marilah dahulu kita berkawan?” Perbualan yang terjadi tiga hari lalu, Aku mengingat kembali. Tiga hari itu boleh jadi tempoh perkenalan yang masih baru, namun Aku sudah banyak tahu tentang Dyana. Rupanya Dyana anak usahawan besar yang tinggal di tengah-tengah kota, ayahnya mengusahakan kilang beg tangan kulit yang dahulunya diurus datuknya. Sebagai anak lelaki yang mempunyai Ijazah dari kota Edinburgh, ayahnya menjadi orang yang dipercayai untuk meneruskan perniagaan keluarga. Dua, tiga tahun segalanya lancar sehingga masuk tahun kelima, hutang-hutang yang berlebihan sudah tidak dapat lagi ditampung menyebabkan ramai pekerja diberhentikan segera. Enam bulan kemudian, kilang pusaka itu dijual ayahnya kepada seorang Cina.

Aku menyimpan cerita Dyana itu baik-baik. Ada ketikanya Aku merasakan cerita Dyana sungguh melucukan, apalagi ketika dia mengatakan ibunya sekarang sering marah-marah dan bertengkar dengan ayahnya, butir-butir perkara kadang tidak dapat didengarnya jelas. Namun ibunya selalu menempelak dengan menyebut miskin miskin.

“Hanya berpindah dari rumah 13 bilik kepada rumah yang mempunyai 6 bilik, cuma itukah kemarahan besar ibumu?” Aku akhirnya ketawa, anak tekak Aku sudah gatal-gatal kerana menahan dari tadi. Mujur Dyana tidak tersinggung, malah dia masih boleh memandangi Aku dengan bibirnya yang menipis. Dyana turut tertawa.

“Hiburkanlah aku dengan lagumu, lagu tentang Lin. Bawalah aku berjumpa dengannya.”

“Bukan aku tidak mahu, tetapi lihat, pakaian kita sendiri sudah berbeza.”

“Aku boleh mengotorkan bajuku dengan air sampah itu, supaya engkau tidak boleh lagi membanding-bandingkan kita.”

“Kalau engkau masih berkeras, baiklah. Cuma engkau perlu setuju satu syarat.”

“Apa syaratnya?”

“Biarkan Lin saja yang bercakap denganmu nanti, engkau jangan bertanyakan apa-apa.”

Petang sudah jingga, bila-bila masa saja langit akan sembunyikan cahayanya. Aku harus sampai ke tempat Lin sebelum senja, sebelum perempuan-perempuan buas masuk ke dalam lorong dan menarik Aku seperti selalu. Jika Aku membiarkan hal itu berlaku, sudah nanti apa pula yang dianggap Dyana tentang diri Aku. Aku berjalan cepat, meninggalkan Dyana agak jauh di belakang. Mungkin gadis itu sendiri berjaga-jaga, biarpun dia dan Aku sudah saling percaya, lorong busuk ini lagi penuh dengan sumpahan, sesiapa saja boleh diubahnya menjadi orang terhina. Aku berjalan lagi, lebih cepat. Biarlah gadis itu tetap dengan kejernihannya, lorong kecil yang semakin sempit ini tidak perlu difahaminya apa-apa.

Di hujung sana ada cerita

cerita gadis yang selalu

duduk di jendela

melihatmu yang di dalam

dari hujung sana

selalu melihatmu

selalu mengharapkanmu

sayangnya kau tak pernah tahu

soalnya pada Langit

di mana cahaya yang kau janji

manusia sudah luntur budi

dia gadis yang kau keji, cuma itu

selalu melihatmu

selalu mengharapkanmu

Ini cerita gadis, kau tak pernah tahu

dia selalu ada di jendela, melihatmu

memahami kehidupanmu.

Cerita Gadis, lagu yang selalu Aku nyanyikan pada waktu petang, sebagai penutup kepada lagu-lagu yang lain. Orang-orang akan bersorak, kadang itu ada yang menari mengikut rentaknya yang rancak, liriknya sudah dihafal orang-orang. Ya, orang-orang di luar lorong ini pandai sekali menghargai kehidupan dengan cara mereka. Kerana itu Aku tidak merasa pelik jika Cerita Gadis hanya meniti dibibir mereka sebagai sebuah lagu, memang hanya itu cara mereka menghargai. Buat apa Aku harus ceritakan kisah di sebalik lagu ini, mereka sendiri tidak pernah ada keinginan untuk tahu. Orang-orang sudah mabuk berhibur, buat apa Aku harus peduli?

Begitulah Aku menghanyutkan fikiran sehinggalah gadis berkening tebal dengan matanya yang bulat tetapi kecil seperti guli itu datang bertanyakan Aku. Dia memperkenalkan dirinya Dyana, dan Aku tiba-tiba menjadi berani untuk mempelawa diri menjadi kawannya. Agaknya Aku sampai lupa bagaimana cara Aku sendiri berpakaian ketika itu, kerana Aku terlalu percaya dia satu-satunya gadis yang mahu mengenal Aku sebagai Aku, bukan Aku yang dikenal orang-orang lain.

Gadis itu, begitu memaknai kejujuran.

“Kita sudah sampai. Kenalkan Lin, inilah Dyana.” Sambil membetulkan duduknya, Lin menyambut Dyana dengan matanya yang curiga. Anak yang dikendong dengan kain beribu tampalan itu ditepuk-tepuk kasar. Aku duduk di tepi, memerhatikan air keruh yang berderas laju di bawah kaki. Aku sekarang hanya perlu menyendiri sebentar, Lin mesti akan menyenangi Dyana. Gadis itu benar jujur, kejujuran selalu dapat menemukan apa yang hilang. Lampu jalan dari seberang parit besar ini pun sudah menyala, menandakan senja. Lorong Aku lalui tadi mesti sudah berubah gelap, di sini juga berubah cuma selalu terang.

“Manis anakmu Lin. Matanya segar.”

“Buat apa ke mari?”

“Aku menyukai lagu Cerita Gadis. Itu yang buat aku ke mari.”

“Itu saja?”

“Ajarlah aku tentang kehidupan, Lin. Aku tidak ada apa yang engkau ada. Ketenangan, Lin. Ketenangan. Aku tidak pernah ada itu.”

“Ah engkau ini lucu. Aku pula yang mesti mengajar. Aku tidak ada apa, dulu ada suami. Tapi sudah mati, bergaduh dengan lelaki yang lagi besar darinya, mestilah kalah. Sudah mati, mayatnya di campak saja dalam parit itu. Siapa nak peduli orang macam kami, orang-orang kau kata kami gila. Siapa nak percaya aku ini berlaki. Ini, anak ini. Ini sajalah cahaya yang aku ada, tapi orang-orang kau mana peduli. Sebab aku gila. Mujur Aku pandai menyanyi, dialah yang mahu membawa ceritaku depan orang-orang kau.

Aku ini tidak ada apa, gadis muda. Ketenangan itu engkau ada. Orang-orang kau pun ada. Tapi tersimpan. Kuncinya manusia kena cari. Aku tahu engkau mesti tahu nak cari di mana.”

“Maksudmu, kuncinya dalam diri aku sendirikah Lin? Diri aku?... Aku?”

“Sudahlah, baliklah.”

“....Aku.”


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page