top of page

Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar

  • Orizuka F
  • Mar 20, 2017
  • 3 min read

Sumber: nationals.org.au

Manusia secara fizikal dan emosinya sentiasa bergantung kepada alam semulajadi, tetapi tindakan dan kelalaian yang meminggirkan alam sekitar telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu bumi, kepupusan flora dan fauna, pencemaran air, dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan penting untuk kemajuan negara, namun jika tidak dikawal dan diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar, kita sebenarnya telah memusnahkan ekosistem sedia ada. Lupakah kita akan peristiwa kebocoran loji nuklear di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 yang telah merosakkan alam sekitar, masih menghantui rakyatnya hingga kini? Kenapa kita masih berdepan segala macam kesukaran untuk memujuk manusia menjaga planet ini, dunia dimana tempat kita membesar dan bergantung? Kenapa kita masih gagal mendidik dan menyuburkan budaya mencintai alam sekitar sebagaimana kita mencintai diri sendiri? Kata Evo Morales, “sooner or later, we will have to recognise that the Earth has rights, too, to live without pollution. What mankind must know is that human beings cannot live without Mother Earth, but the planet can live without humans.”

Sebuah kajian dilakukan oleh International Social Survey Programme (ISSP) di 33 buah negara dari tahun 1993 hingga 2010, responden diminta mengkelaskan lapan isu mengikut tahap kepentingan: kesihatan, pendidikan, jenayah, alam sekitar, imigrasi, ekonomi, keganasan dan kemiskinan. Melalui kajian tersebut, alam sekitar berada di tempat keenam iaitu hanya sebanyak 4.7 peratus. Ini berlaku kerana kita sibuk menunding jari mengatakan tanggungjawab menjaga alam sekitar ini tugas pihak berkuasa atau kata mudahnya, tugas orang lain. Kita tidak sanggup untuk mengutip sampah sebagaimana kita berani untuk membuang sampah merata-merata kerana kita masih dengan mindset ‘itu tugas pengutip sampah’. Kita belum mampu untuk mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) ketika membuang sisa pepejal kerana merasakan tindakan itu sangat melecehkan. Lihatlah, ketika kerajaan Selangor menjalankan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ pada 1 Januari lepas, berapa ramai yang mengkritik dan tidak bersetuju sedangkan negeri Melaka telahpun mengamalkannya pada Januari tahun lepas. Tahap kesedaran kita terhadap alam sekitar ini penting untuk jangka masa panjang kerana dengan timbulnya kesedaran dalam diri, maka terhasillah pengetahuan lalu membentuk pemikiran dan pemahaman yang baik terhadap mutual-interaction antara kita dan alam sekitar.

Pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia (Nelson Mandela). Namun, di sekolah-sekolah, pendidikan alam sekitar secara formal mahupun tidak formal belum mencapai matlamat dan seringkali diabaikan kerana dianggap sebagai subjek elektif yang tidak penting. Dalam menjayakan pendidikan alam sekitar, pihak sekolah memerlukan guru yang tinggi komitmennya untuk menghasilkan pelajar berliterasi alam sekitar. Pihak sekolah dan guru boleh mengambil inisiatif dengan menganjurkan program seperti Minggu Alam Sekitar, Projek Kitar Semula atau apa-apa program yang membawa pelajar lebih dekat dengan alam. Ini menggalakkan pembelajaran secara bebas yang membenarkan pelajar lebih terbuka kepada pendekatan dan idea baru dan secara tidak langsung lebih sensitif terhadap alam sekitar. Melalui pendidikan dari peringkat awal, kita boleh menyemai sikap mencintai alam sekitar dan mendidik cara-cara untuk mengurus alam sekitar dengan baik kepada masyarakat dan generasi muda. Kurangnya keprihatinan, penghayatan dan kefahaman masyarakat tentang sistem ekologi boleh menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar meningkat. Sebagai contoh, pada tahun 2014, Sinar Harian melaporkan terdapat 2402 kes pembakaran terbuka dikesan, berapa banyak pula yang melakukannya tanpa pengetahuan pihak berkuasa?

Sikap tamak terhadap wang ringgit oleh sesetengah pihak yang melakukan penebangan untuk perdagangan kayu hutan dan kemajuan sektor pembangunan telah menyebabkan pencemaran kerana gas karbon dioksida yang dibebaskan manusia tidak dapat diserap oleh flora untuk tujuan fotosintesis. Kesedaran untuk menjaga kepentingan hutan terabai dek desakan taraf hidup yang tinggi dan tuntutan ekonomi. Tambahan lagi, golongan seperti pemaju pula memanfaatkan kawasan ini dengan membina tapak perumahan dan ada juga pemaju yang mengambil kesempatan membina tapak perumahan di kawasan lereng bukit tanpa menyoroti tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada tahun 2009. Perlombongan haram di Pahang yang bermula pada tahun 2014 dilaporkan telah memperoleh hampir sejuta tan bauksit. Ini mencemarkan kualiti air dan kehidupan akuatik dan menambah risiko untuk meracuni konsumer yang boleh menjejaskan hasil tanaman berdekatan dengan kawasan perlombongan kerana habuk yang akan menyelubungi dan mengurangkan produktiviti tanaman-tanaman.

Bumi yang kita duduki pada hari ini bukanlah diwarisi daripada nenek moyang kita, sebaliknya kitalah yang meminjamnya dari anak-anak kita. Serahkanlah bumi ini kepada anak-anak kita sepertimana kita menerimanya pada mula. Sebanyak 7.5 bilion penduduk yang mendiami di muka bumi ini, cintailah bumi yang telah memberikan kehidupan kepada kita, flora, fauna dan lain-lain. Jadikanlah penjagaan alam sekitar ini tugas setiap seorang dari kita. Reflek dan berfikirlah sebelum membuang sampah merata-rata, melepaskan asap kenderaan melebihi 50 peratus Hartridge Smoke Unit (HSU) atau apa-apa tindakan yang mampu mengancam alam sekitar. Pihak berkuasa juga sepatutnya lebih tegas dalam pelaksanaan dan tidak hanya memandang masalah yang serius sahaja tetapi turut mengambil berat segala bentuk pencemaran walaupun masih dalam peringkat yang tidak serius dan kemungkinan kemusnahan yang bakal berlaku. Peliharalah, puliharalah bumi ini bukan pada Earth Day atau Earth Hour sahaja. Jika kita semua memainkan cakna dan memainkan peranan dalam meminimakan pencemaran alam, mengapa tidak untuk mengatakan Malaysia bakal sifar pencemaran suatu hari nanti?


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page