Menentang Arus
- Nik Fatehah
- Mar 20, 2017
- 4 min read

Sumber: The Huffington Post
Saat orang di seluruh dunia memperkatakan tentang kebebasan, wanita tampil sama memperjuangkan hak-hak mereka. Sepantas teknologi yang bergerak, apakah sepantas itu juga wanita mendapatkan haknya? Mungkin ramai menyatakan bahawa wanita sudah cukup bebas. Wanita sudah mendapatkan kesemua kebebasan yang ia impikan suatu ketika dulu. Wanita sudah bebas memilih jalan hidupnya sendiri. Kedudukannya dalam masyarakat hampir sama dengan lelaki.
Tetapi mengapa tidak henti-henti juga nasib wanita diperjuangkan? Gerakan-gerakan wanita semakin hari semakin bertambah bukan berkurang.
Wanita seperti kepercayaan semua orang adalah makhluk Tuhan yang lemah. Yang perlu, bahkan harus dilindungi! Baik secara fizikal atau dari segi emosinya wanita itu lebih lemah. Kerana itu, lelaki yang kononnya lebih kuat dan beranilah yang diterima sebagai ketua dalam sistem masyarakat. Sistem yang didominasi lelaki atau biasa digelarkan sistem patriarki ini sudah diterima dengan baik.
Ada sebuah kata-kata berbunyi, ‘women are so opressed, they don’t even know it’. Wanita begitu tertindas sehingga mereka sendiri pun tidak menyedari wujudnya penindasan. Sebenarnya idea tentang watak dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada seorang wanita sudah ditanam secara tidak langsung melalui adat Melayu dan agama Islam.
Islam menuntut wanita taat kepada suami. Tuntutan agama yang disebarkan dalam masyarakat banyak menggambarkan wanita sebagai watak yang perlu tunduk kepada pemerintahan lelaki. Contohnya ‘syurga isteri di telapak kaki suami’, ‘seorang isteri ketika diajak tidur oleh si suami, walau di belakang unta, perlu tunduk taat kepada suami’, ‘lelaki berhak berpoligami’, ‘wali berhak menikahkan anak perempuannya tanpa izin’. Cerita tentang seorang isteri yang taat yang memilih untuk tidak meninggalkan rumah kerana mentaati larangan suaminya ketika mendapat berita kematian si ayah walaupun si ayah hanya tinggal di tingkat bawah sangat terkenal dan diketahui umum.
Pantang larang dan adat Melayu juga banyak ditujukan kepada perempuan. Contohnya anak gadis ditegah menyanyi di dapur, dilarang berbual ditangga nanti dapat suami tua. Waktu orang datang meminang, si perempuan akan diminta duduk di dalam bilik menunggu disarungkan cincin. Dalam hal jodoh pula wanita diingatkan supaya tidak ‘mencari timba’.
Di dalam sastera Melayu pula, watak wanita dipaparkan sebagai watak yang pasif,sopan, lemah lembut, setia, tekun, pasrah, submisif dan suci. Wanita juga sering digambarkan sebagai suatu watak yang sabar menanti kepulangan suami atau menunggu dipinangkan jejaka idaman. Wanita dilihat bergantung kepada lelaki. Kita juga akan mendapati karya-karya sastera Melayu yang memaparkan wanita sebagai golongan yang lemah dan sering menjadi mangsa penindasan. Sebagai contoh, watak pelacur yang hidupnya menjadi permainan lelaki. Seorang lelaki yang baik, kuat dan berani digambarkan sebagai watak yang akan menyelamatkan watak wanita yang lemah. Sastera yang ditulis pada satu-satu zaman banyak dipengaruhi oleh bentuk dan gaya hidup masyarakat pada latar masa tersebut. Ia menunjukkan realiti dan idea tentang wanita yang diterima oleh masyarakat.
Walaupun sudah banyak perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan semua sedang menuju kepada gaya hidup moden, tetapi idea yang sudah lama dianuti dari satu generasi ke satu generasi yang lain mempengaruhi cara fikir dan tindakan masyarakat tidaklah mudah untuk hilang. Kesan-kesannya dapat masih dapat dilihat hari ini. Ia membina persepsi dan streotaip tentang wanita sehinggakan wanita sendiri pun mempercayai dan meyakini idea tersebut. Ia sudah menjadi bagian dari darah daging masyarakat. Bahkan tidak pelik jika kita melihat wanita sendiri mempertahankan ideologi yang jika diteliti sebenarnya menindas diri mereka sendiri.
Idea stereotaip tentang wanita yang diperturunkan dari generasi demi generasi ini yang menjadi punca masalah. Wanita secara konsisten dilihat sebagai satu subjek yang harus tunduk dan patuh kepada suami, yang harus menjaga tingkah laku dan tutur kata, yang tugas dan tanggungjawapnya adalah mengurus rumahtangga dan anak-anak. Wanita adalah suatu figura yang lemah yang perlu dilindungi.
Ketika suami isteri kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menyara keluarga, isteri tetap juga diberatkan dengan tugasan menguruskan rumahtangga. Isteri masih dinafikan hak untuk menentang poligami sedangkan dalam hal poligami, wanitalah mangsanya. Seorang wanita dirogol, malah wanita juga yang dipersalahkan kerana berpakaian tidak sopan. Masih ramai wanita yang menjadi mangsa kegagalan rumahtangga. Mereka takut hendak keluar daripada kongkongan hidup berumahtangga biarpun terpaksa menanggung derita kerana takut dengan pandangan masyarat dan ada juga yang takut tidak mampu mandiri disebabkan sudah lama bergantung pendapatan suami.
Wanita harus berhenti memandang dirinya sebagai subjek yang lemah dan perlu dilindungi. Novel-novel popular bodoh yang memaparkan keterdesakan wanita mencari pasangan hidup perlu dihentikan. Yang perlu dipaparkan dalam drama, filem dan tulisan adalah wanita yang berintelektual, beradab, berilmu, berani dan terkehadapan. Wanita perlu membebaskan dirinya daripada belenggu streotaip yang negatif. Wanita perlu berani hidup mandiri bahawa ia tidak perlu bergantung kepada kudrat lelaki untuk mencapai tujuan penciptaan.
Pendidikan tentang patriaki harus dibina dengan asas yang baru. Mangsa streotaip tidak hanya wanita, lelaki juga termasuk. Contoh mudahnya apabila lelaki terpaksa menjadi suri rumah dan bertukar tugas dengan si isteri, masyarakat akan memandang sinis. Patriarki secara literalnya bermaksudnya ‘the rule of the father’. Merujuk maksud literalnya, ia tidak salah, ia boleh difahami sebagai pelindung dan bukan sebagai penguasa.
Nota akhir, emansipasi wanita bukan menafikan kecenderungan biologi seseorang wanita atau lelaki. Wanita tetap seorang wanita yang mempunyai naluri keibuannya dan cenderung kepada kanak-kanak. Atau bukan juga menafikan kecenderungan lelaki untuk melindungi. Kenapa tidak kita memandang perbezaan ini sebagai suatu faktor untuk saling melengkapkan kewujudan dan bukan untuk bersaing siapa lebih terkuat daripada siapa.
Comentários